Penantian peminat CNBLUE selepas hampir 10 tahun untuk melihat kumpulan pop-rock Korea Selatan itu mengadakan persembahan di Malaysia bakal menjadi kenyataan.
Kehadiran CNBLUE bagi menjayakan konsert bertajuk 2024 CNBLUE Live “CNBLUENTITY” in
Kuala Lumpur di Mega Star Arena, KL pada hari Sabtu, 20 April 2024 jam 8 malam adalah atas usaha Hit Maker Entertainment dan Lo-Fi Entertainment selaku penganjur bersama.
CNBLUE yang dianggotai oleh Yonghwa sebagai vokalis utama dan gitar, pemain dram
Minhyuk serta Jungshin sebagai pemain bass memulakan kerjaya seni mereka pada 2010 di bawah pengurusan FNC Entertainment.
Gabungan nama band dengan perkataan “identity”, CNBLUENTITY adalah untuk
menggambarkan identiti trio tersebut. Sudah pasti band ini akan memikat hati peminat di Malaysia dengan lagu-lagu yang melonjakkan nama mereka seperti I’m a Loner, I’m Sorry, Love and Can’t Stop dan banyak lagi.
Selain itu, CNBLUE juga pasti akan menghiburkan peminat dengan lagu-lagu baharu dendangan mereka dan beramah mesra dengan peminat setia yang digelar BOICE.
Sepanjang kerjaya mereka, CNBLUE telah merakamkan lagu dalam bahasa Korea, Jepun,
Inggeris dan bahasa lain dengan diskografi yang merangkumi 11 album studio, 14 album mini (EP), 33 single dan tiga album kompilasi.
Band ini telah menerima pelbagai anugerah seperti Golden Disc Awards, Mnet Asian Music
Awards (MAMA) dan Melon Music Awards. Selain muzik, ketiga-tiga ahli itu juga berbakat dalam bidang lakonan dan sering muncul dalam K-drama.
Yonghwa melakonkan watak utama dalam drama komedi Brain Works pada tahun 2023, Minhyuk membintangi drama popular Celebrity tahun lepas, manakala Jungshin memainkan peranan utama dalam komedi percintaan Sh**ting Stars pada tahun 2022.
Tiket ke 2024 CNBLUE Live “CNBLUENTITY” in Kuala Lumpur yang menampilkan pelbagai
faedah kepada peminat akan mula dijual pada jam 12 tengah hari, 29 Februari ini.