Bagaikan satu trend setiap tahun pasti ada generasi baharu telefon pintar dilancarkan dengan beberapa penambahbaikan sama ada bahagian luaran mahupun dalaman.
Tidak terkecuali Samsung yang tidak ketinggalan memperkenalkan peranti kelas premium siri Galaxy S24 yang merangkumi S24, S24+ dan S24 Ultra.
Untuk sekian kalinya, Prebiu.com diberi peluang menguji peranti flagship terbaharu S24 Ultra yang dilengkapi dengan ciri S Pen berwarna titanium gray yang cukup elegan.
Walaupun menampilkan beberapa penambahbaikan seperti bingkai titanium, sistem kamera Quad-Tele 200MP dan banyak lagi, ciri termaju pada generasi baharu Galaxy S Series ini adalah kecerdasan buatan Galaxy AI.
REKABENTUK LUARAN
Samsung Galaxy S24 Ultra menjadi telefon pintar Samsung untuk tampil dengan bingkai yang diperbuat daripada titanium dan ini meningkatkan lagi ketahanan peranti selain memberikan penampilan yang lebih premium sambil mengekalkan ciri penting penarafan kalis air dan habuk IP68.
Samsung juga mengekalkan rekaan panel belakang yang kelihatan berpetak namun bersama kombinasi paparan rekaan kamera jenis timbul. Lima bonggol kamera jelas kelihatan sekali gus menyebabkan peranti ini tidak rata apabila diletakkan di atas meja.
Bahagian hadapan, Samsung Galaxy S24 Ultra juga menyaksikan penggunaan paparan yang rata mengikut jejak dua model Galaxy S Series yang lain. Rekaan rata pada bahagian atas peranti ini juga membolehkan ia berdiri tegak dengan sendiri.
Dalam pada itu, paparan yang rata membolehkan S Pen digunakan dengan lebih menyeluruh termasuk pada sisi dan ini juga menjadikan pemasangan filem atau gelas perlindungan skrin lebih mudah.
Melihat kepada bahagian sisi pula, S24 Ultra memiliki butang kelantangan suara dan butang kuasa pada sisi kanan yang mana ianya mempunyai kemasan berkualiti tinggi setimpal dengan status peranti flagship ini. Pada bahagian bawah terdapat slot S Pen, lubang pembesar suara stereo, port pengecasan USB-C dan slot SIM serta mikrofon.
Peranti seberat 232gram ini hadir bersama ukuran dimensi 162.3 x 79.0 x 8.6mm yang mana ianya adalah lebih rendah dan lebih nipis berbanding Galaxy S24 Ultra namun generasi baharu ini adalah lebih lebar.
SKRIN
Galaxy S24 Ultra masih lagi menggunakan skrin bersaiz 6.8 inci QHD+ Dyanmic AMOLED 2X dengan kadar segar semula sehingga 120Hz dari jenis LTPO. Tahap keterangan skrin kini melonjak ke 2600 nits berbanding 1750 nits pada model tahun lalu.
Kandungan HDR10+ kini nampak lebih terang pada skrin baharu S24 Ultra. Yang menariknya tahun ini ialah skrin S24 Ultra juga digunakan pada S24 dan S24+ yang menjadikan pengalaman skrin pada ketiga-tiga peranti adalah sama.
Galaxy S24 Ultra juga dilengkapi lapisan Gorilla Armor Glass yang ditawarkan secara eksklusif pada telefon pintar ini dan ianya juga meningkatkan ketahanan dan mengurangkan silau sehingga 75% pada pelbagai keadaan cahaya. Ianya juga 4x lebih kalis calar berbanding generasi sebelum ini.
Sebuah pengimbas cap jari ultrasonik turut dikekalkan di bawah skrin yang mana kedudukannya masih lagi sama dan masih mudah untuk diakses dengan jari yang ingin diimbas.
Dalam pada itu, Samsung juga telah meningkatkan tindak balas sentuhan skrin sebanyak 12%, ini membolehkan pemprosesan input dan tindak balas yang lebih pantas semasa bermain permainan video.
Selain itu, Galaxy S24 juga memiliki bezel yang lebih nipis yang simetri pada setiap bahagian dan penggunaan paparan flat juga bermaksud anda dapat memaksimakan setiap inci skrin samada melalui sentuhan atau S Pen.
Secara keseluruhanya, paparan yang digunakan pada Galaxy S24 Ultra adalah antara yang terbaik dipasaran dan Samsung sudah pastinya menggunakan teknologi yang terbaik keluaran Samsung Display untuk peranti flagship mereka.
CIRI S-PEN
Tiada perubahan spesifikasi dilakukan pada S Pen yang kini memasuki tahun ke empat ia ditawarkan pada siri Galaxy. Masih ada sokongan dijadikan alat kawalan jauh untuk mengawal kamera dan melakar terus pada skrin.
Walaupun sudah lama tidak ditambah baik, S Pen pada S24 Ultra masih lagi yang terbaik pada sebuah telefon pintar pada waktu ini.
Tahap sensitiviti S Pen juga semakin baik dan kelebihan penggunaan pen elektronik ini mampu mengubah tulisan tangan kepada huruf abjad dengan mudah. Peranti ini sesuai digunakan oleh mereka yang terbabit dalam bidang fesyen, grafik mahupun sebagai penulis lagu yang memerlukan kreativiti tanpa batasan.
TAHAN LASAK
Rekaan tubuh S24 Ultra kini diperbuat daripada logam titanium menggantikan Armor Aluminium. Menurut Samsung dengan penggunaan titanium peranti ini lebih tahan lasak tetapi lebih ringan.
Satu lagi perubahan kecil ialah bahagian belakang S Pen juga lebih rata supaya seragam dengan tubuh peranti yang seperti saya katakan tadi lebih rata. Tubuh peranti melepasi piawaian IP68 maka tidak perlu risau ia mengalami kerosakan jika terjatuh dalam kolam air sehingga 15 minit.
PERISIAN
Jika tahun lalu Samsung telah menggunakan cipset Snapdragon 8 Gen 2 for Galaxy pada kesemua model Galaxy S Series, Samsung telah menggunakan pendekatan berbeza pada siri telefon pintar flagship mereka tahun ini.
Samsung Galaxy S24 Ultra tampil secara eksklusif dengan cip Snapdragon 8 Gen 3 manakala Samsung Galaxy S24 dan Galaxy S24+ pula hadir dengan cip Exynos 2400 dan Snapdragon 8 Gen 3 yang mana ianya bergantung kepada pasaran.
Selain itu, Samsung Galaxy S24 Ultra tampil dengan 12GB RAM bersama tiga storan dalaman iaitu 256GB, 512GB dan 1TB. Ciri RAM Plus juga disertakan dan ini memberikan sehingga 8GB tambahan RAM maya yang pasti anda tahu kegunaanya.
Tahun ini, Galaxy AI adalah fokus utama adalah kecerdasan buatan yang dibawakan oleh Samsung adalah antara yang paling berkuasa pada industri telefon pintar. AI bukanlah sesuatu yang baharu, malah terdapat beberapa ciri Galaxy AI pada Google Pixel 8 namun ianya tidak menyeluruh seperti yang disampaikan oleh Samsung.
Galaxy AI memperkenalkan kecerdasan yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti setiap aspek kehidupan, terutamanya peranan telefon pintar yang paling asas iaitu komunikasi.
Ciri pertama Galaxy AI yang boleh kita perkatakan adalah Live Translate, iaitu suatu penyelesaian penterjemahan suara dan teks masa nyata dua hala,bagi panggilan telefon terbina pada aplikasi panggilan. Pengguna tidak memerlukan sebarang aplikasi pihak ketiga dan AI terbina akan memastikan perbualan pengguna adalah selamat dengan sepenuhnya.
Ciri ini sudah pastinya berguna apabila anda menghadapi kekangan bertutur bahasa asing, samada semasa berbual dengan pelajar atau rakan sekerja lain dari luar negara selain mempermudahkan proses membuat tempahan semasa bercuti di negara lain.
Selain itu, ciri Interpreter pula membolehkan perbualan diterjemahkan dengan serta-merta menerusi transkripsi teks yang tertera pada paparan skrin terpisah supaya orang yang berdepan boleh saling memahami. Ia juga berfungsi tanpa data selular atau Wi-Fi.
Lebih lanjut, Samsung Galaxy S24 Series juga menjadi telefon pintar pertama di dunia untuk hadir dengan ciri Circle to Search yang mana sesuai dengan namanya, anda boleh memulakan carian dengan menekan lama butang utama, pengguna boleh membulatkan sesuatu yang hendak dicari untuk melihat hasil carian berkualiti tinggi.
Ianya lebih mudah daripada carian search by image yang memerlukan anda melakukan screenshot dan memuatnaik gambar tersebut.
Bercakap mengenai kerjasama dengan Google, Samsung telah mengesahkan bahawa Galaxy S24 Series akan menerima sehingga 7 kemaskini Android dan 7 tahun kemaskini keselamatan yang menjadikanya setaraf dengan apa yang ditawarkan pada peranti Google Pixel.
Selain daripada itu, Samsung Galaxy 24 Ultra di Malaysia juga disertakan dengan sokongan 5G, Wi-Fi 7, dual-band GPS, Bluetooth 5.3 dan UWB.
Ke bahagian antaramuka, Samsung Galaxy S24 Ultra tampil dengan One UI 6.1 yang berasaskan Android 14 dan kematangan Samsung didalam penawaran UI yang memenuhi keperluan penggunaan jelas untuk dirasai. Ianya sama seperti generasi One UI yang lain namun penambahbaikan daripada segi visual dan dalaman telah diberikan.
Satu lagi aspek yang akan memastikan Snapdragon 8 Gen 3 for Galaxy berfungsi pada pretasi terbaik adalah sistem penyejukan dan Galaxy S24 Ultra mempunyai sistem penyejukan yang dioptimumkan dengan ruang wap yang hampir dua kali ganda (1.9x) lebih besar berbanding pada Galaxy S23 Ultra untuk mengawal suhu peranti sambil memaksimumkan kuasa prestasi.
NOTE ASSIST
Perlukan bantuan menulis nota dalam Samsung Notes? Note Assist boleh melakukan rumusan untuk nota yang panjang, dan mengubah nota ke format yang menggunakan bantuan AI. Beberapa templat akan dijana yang kemudiannya dipilih sendiri oleh pengguna mengikut citarasa.
CALL ASSIST
Dengan Call Assist panggilan telefon dengan rakan yang tidak bercakap dengan bahasa yang sama boleh dilakukan. Misalnya panggilan suara dalam bahasa Inggeris yang kemudiannya diubah ke bahasa Korea secara automatik.
Jawapan dalam bahasa Korea kemudian dialih bahasa ke bahasa Inggeris. Ia seakan Universal Translator dan ketika pelancaran hanya 17 bahasa utama dunia seperti Inggeris, Korea, Jepun, Mandarin, dan Hindi disokong. Tiada maklumat bila pula bahasa Melayu akan diberikan. Call Assist dilakukan terus dari dalam telefon tanpa memerlukan internet.
TRANSCRIPT ASSIST
Aplikasi rakaman audio Samsung boleh menghasilkan transkripsi audio secara automatik. Selepas rakaman dan transkripsi selesai diambil, Transcript Assist boleh menjana rumusan pendek tanpa memerlukan sambungan internet.
Amat menjimatkan masa kerana topik dan kandungan dapat dicari menggunakan transkrip yang dihasilkan. Tak perlu lagi mendengar semula rakaman audio panjang ketika saya melakukan temubual bagi tujuan kerja.
Ini ciri yang saya rasakan paling berguna. Pernahkah anda terjumpa gambar beg tangan tetapi tidak tahu di mana ia boleh dibeli? Atau sekadar ingin mengenal pasti objek dalam gambar? Circle To Search with Google boleh melakukan carian dengan hanya menekan butang home (atau palang tatalan gestur di bawah skrin) dan kemudian lukis bulatan pada objek yang ingin dicari.
Ketika ini ramai sudah menggunakan ChatGPT atau Bard untuk membantu menulis emel yang intonasinya lebih formal. Chat Assist memberikan penggunaan yang sama dengan pilihan tona penulis formal, media sosial, santai atau emojify.
Dengan ini mesej yang lebih serasi dengan insan ia akan dihantar boleh ditulis dengan bantuan AI yang juga terbina dalam peranti tanpa memerlukan internet. Chat Assistant menyokong lebih 100 bahasa yang kini disokong oleh Samsung Keyboard untuk melakukan alih bahasa automatik dalam aplikasi seperti WhatsApp, Messenger, dan Line.
EDIT GAMBAR DAN VIDEO DENGAN AI
AI generatif Samsung digunakan untuk melakukan suntingan pada gambar yang diambil. Objek boleh dipadam, diubah kedudukan dan objek lain pula ditambah ke dalam gambar menerusi aplikasi Gallery. AI turut boleh memberikan saranan suntingan yang boleh dilakukan seperti membuang pantulan cermin, silau dan bayang-bayang.
Bahagian luar gambar juga boleh dijana seperti Generative Expand pada Photoshop. Ciri ini memerlukan sambungan internet oleh itu mengambil masa sekitar 45-60 saat untuk melakukan proses penjanaan imej generatif.
Video gerak perlahan juga boleh dihasilkan daripada video yang tidak dirakam menggunakan mod ini.
Proses mencari objek yang relevan hanya mengambil masa sekitar satu saat sahaja. Anda tidak lagi perlu mengambil tangkapan layar yang kemudiannya dimuat naik ke Google Lens. Tidak seperti ciri AI Samsung di atas, Circle To Search memerlukan sambungan internet.
KAMERA
Samsung Galaxy S24 Ultra menampilkan sistem kamera yang hampir sama seperti Galaxy S23 Ultra namun terdapat penambahbaikan ketara yang telah dilakukan.
Menariknya, kami kagum dengan aplikasi kamera pada Galaxy S24 Ultra dimana setiap operasi kamera kelihatan lebih lancar tanpa sebarang lag atau isu yang boleh dilihat pada model-model sebelum ini.
Samsung Galaxy S24 Ultra menampilkan teknologi ProVisual Engine yang dikuasan AI yang meningkatkan kebolehan menangkap imej dan memaksimumkan kebebasan pengguna untuk lebih kreatif.
Kamera utama menggunakan konfigurasi lensa sudut lebar 200MP, ultra sudut lebar 12MP, telefoto 5X 50MP dan telefoto 3x 10MP. Hanya lensa ultra sudut lebar tidak dilengkapi sistem OIS.
Di hadapan pula kamera swafoto 12MP digunakan. Tiada perubahan besar di sini kecuali penggunaan telefoto 50MP menggantikan sensor 10MP tahun lalu. Kamera utama boleh melalukan zum pada tetapan 0.6X, 1X, 3X, 5X, 10X, 30X dan 100X.
Yang kami sedari ialah mod potret bolah dilakukan pada tetapan zum 5X baharu. Rakaman video 8K juga boleh dilakukan pada tetapan zum 5X berbanding hanya 1X sebelum ini. Walaupun pada tetapan 100X, kamera masih mampu mengekalkan viewfinder yang stabil.
Terdapat peranti lain dengan kemampuan zum yang sama tetapi sistem penstabilan imej Samsung adalah yang paling hebat.
Bagaimanapun, gambar yang dihasilkan dengan zum 100x tidak begitu jelas namun kekal cantik jika pada tahap zum 30X ataupun 10X. Lihat hasil gambar sekitar Bandaraya Kuching, Sarawak yang sempat dirakam penulis menggunakan peranti ini.
BATERI
Bateri kekal dengan kapasiti 5000 mAh yang boleh dicas secara berwayar dengan kuasa 45W, nirwayar dengan kuasa 15W dan pengecasan nirwayar berbalik.
Di Malaysia pratempahan Samsung Galaxy S24 Ultra ditawarkan dengan harga jualan RRM6,299 untuk 12/256GB, RM6,799 untuk 12/512GB dan RM7,799 untuk 12/1000GB. Pilihan warna ialah Titanium Gray, Titanium Yellow, Titanium Violet, dan Titanium Black. Pembeli atas talian mempunyai pilihan warna tambahan Titanium Blue, Titanium Orange, dan Titanium Green.