Seramai kira-kira 70 penduduk Jalan Pahlawan 22/4 – 46/3, Seksyen 3, Bandar Mahkota Cheras, Selangor menyertai Program Pencegahan Kebakaran Bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang diadakan di Jalan 22/4 pada Ahad, 28 Januari 2024.

Program yang julung kali diadakan itu dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, YB David Cheong Kian Yong dan dihadiri oleh Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ), Lim Kim Eng dan mendapat kerjasama baik serta sokongan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Balai Bomba Tun Hussein Onn, Cheras Selangor.

ADUN Kajang, David Cheong berkata, pihaknya mengucapkan syabas kepada ahli persatuan penduduk yang berjaya menganjurkan program ini kerana ia memberi manfaat kepada penduduk di taman ini untuk mengetahui teknik mencegah dan memadamkan kebakaran jika berlaku di rumah masing-masing.

“Semua penduduk harus mengambil peluang menyertai program ini kerana ia dijalankan secara percuma menerusi ceramah dan demontrasi dijalankan oleh pihak bomba, Saya berharap semua penduduk dapat memanfaatkan program ini untuk keselamatan ahli keluarga masing-masing,” katanya ketika berucap merasmikan program ini.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Penduduk Jalan Pahlawan, Bandar Mahkota Cheras, Peter Loo Chen, wakil pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, Tuan Khairul dan wakil pegawai bomba dari Balai Bomba Tun Hussein Onn, Tn Yahya.

Sementara itu, YB David Cheong turut mengadakan dialog bersama penduduk dan antara isu yang dibincangkan termasuk mengenai keadaan jalan raya yang rosak, kesesakan lalu lintas pada waktu pagi, longkang yang tersumbat, projek pembinaan sekolah dan klinik kesihatan.

Mengenai keadaan jalan raya yang rosak, beliau berkata masalah itu sering diajukan kepada pihak berkaitan termasuk dibincangkan dalam mesyuarat kerajaan negeri manakala kesesakan lalu lintas di waktu puncak, masalah itu turut dimaklumkan kepada pihak berkuasa seperti polis trafik, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Majlis Perbandaran Kajang.

Ketika ditanya mengenai cadangan pembinaan sekolah di Bandar Mahkota Cheras, beliau berkata, perkara itu ada dibincangkan tetapi belum tahu bila sekolah berkenaan akan dibina namun yang pasti sebuah klinik kesihatan telah dicadangkan dibina di kawasan seluas 9 ekar berhampiran tapak cadangan pembinanaan sekolah.

“Untuk pengetahuan penduduk, pemaju telah menyediakan tapak pembinaan sekolah seluas 12 ekar dan 9 ekar akan digunakan untuk pembinaan sebuah klinik kesihatan yang akan memberi manfaat kepada semua penduduk sekitar taman ini,” katanya lagi.

Antara aktiviti menarik yang dijalankan sepanjang program bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat termasuk ceramah mengenai teknik menggunakan alat pemadam api yang betul, bagaimana menjaga jangka hayat alat pemadam api dan demontrasi memadam api menggunakan alat pemadam api.

Penduduk yang hadir kemudian turut dijamukan dengan sarapan pagi dan pek makanan tengahari diberikan secara percuma.

Sementara itu, salah seorang penduduk yang ditemui berasa bertuah kerana dapat menyarung baju bomba dan mencuba api menggunakan alat pemadam api dengan betul.

“Sebelum ini, saya hanya tugas anggota bomba memadam kebakaran, kini saya seronok dan teruja mencuba sendiri memadamkan api yang besar menerusi tunjuk ajar demontrasi oleh anggota bomba,” katanya.

Mari lihat gambar-gambar menarik sekitar program yang diadakan dari jam 8 pagi hingga jam 12 tengahari.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini