Pengerusi NGO Antarabangsa merangkap Profesor Adjung Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dato Dr Mustapha Ahmad Marican mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Istiadat Kerajaan, Datuk Rozainor Ramli di pejabatnya di Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa Jabatan Perdana Menteri pada Jumaat lalu.
Beliau berkata, antara perkara yang dibincangkan termasuk berkaitan isu terkini semasa, serantau dan antarabangsa selain mengenai jatidiri dan protokol.
Mustapha berkata, beliau sudah lama mengenali Rozainor semasa bertugas di Istana Negara malah beliau juga banyak mengendalikan lawatan pembesar dari luar negara dan adat istiadat kerajaan.
Justeru, keperluan pendidikan mengenai protokol perlu didedahkan kepada graduan dan kakitangan awam supaya mereka ada asas apabila berhadapan dengan pemimpin negara termasuk kaedah menghadap atau berhadapan dengan Sultan dan Tuan Yang Terutama Gabenor.
“Apabila belia dan mahasiswa didedahkan dengan asas protokol ini, maka lebih mudah mereka untuk menyesuaikan keadaan tersebut.
“Penampilan kita adalah imej yang boleh dilihat oleh banyak pihak. Apatah lagi apabila kita ke luar negara ataupun mereka yang berkhidmat di barisan hadapan negara bagi menyambut ketibaan pemimpin luar ke negara kita,” katanya.
Mustapha yang pernah berkhidmat di Wisma Putra memiliki pengalaman luas dalam perkhidmatan kerajaan hampir 34 tahun berharap, asas protokol ini diperluaskan di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) supaya universiti dapat melahirkan graduan yang mempunyai pelbagai Ilmu pengetahuan khususnya pendidikan protokol dan asas jatidiri.