Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia), penyedia perkhidmatan pos dan bungkusan nasional hari ini melancarkan set setem “Palestin Merdeka”.
Setem “Palestin Merdeka” menampilkan imej tangan yang mengibarkan bendera Palestin, berlatarbelakangkan bayang-bayang orang ramai yang bersatu. Gambaran menyentuh
hati ini melambangkan aspirasi rakyat Malaysia untuk keamanan yang berkekalan.
Sementara itu, Sampul Hari Pertama menampilkan seekor merpati putih yang anggun memegang dahan zaitun, melambangkan simbol keamanan sejagat. Sepasang tangan yang memegang erat bersama satu sama lain pada muka folder melambangkan komitmen mendalam Malaysia untuk keamanan sementara motif Keffiyeh yang digunakan sebagai latar belakang merupakan simbol ketekunan dan solidariti.
Pelancaran setem dirasmikan oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan turut dihadiri
Tan Sri Syed Faisal Albar, Pengerusi Pos Malaysia dan Charles Brewer, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia.
Fahmi menegaskan komitmen kerajaan yang teguh menyokong Palestin, memuji Pos Malaysia atas pameran solidariti yang berkesan. Pengenalan setem Palestin Merdeka bukan sahaja menunjukkan belas simpati tetapi juga memberikan rakyat Malaysia cara yang nyata untuk menunjukkan solidariti dengan rakyat Palestin yang mengharungi detik-detik mencabar ketika ini.
Sebahagian daripada hasil jualan akan disalurkan kepada Tabung Amanah Kemanusiaan Palestin yang diurus oleh Kementerian Luar Negeri. Dana tersebut akan disalurkan melalui
inisiatif Ops Ihsan, kolaborasi antara Kerajaan Malaysia dan 53 NGO kemanusiaan untuk
menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di Gaza.
Set setem “Palestin Merdeka” akan dijual secara dalam talian di www.pos.com.my/shop dan di Pejabat Pos dan Biro Filateli Pos Malaysia bermula 18 Januari 2024, pada harga RM1.30 setiap setem, Sampul Hari Pertama pula boleh didapati pada harga RM0.50 dan Folder pada harga RM6.00. Setem juga boleh dibeli dalam bentuk helaian setem, mengandungi 20 setem setiap helaian, pada harga RM26.00.
Peminat setem boleh mendaftar untuk Akaun Simpanan Pesanan Tetap (SODA) bagi menikmati proses pembelian terkini tanpa risau serta menikmati faedah eksklusif yang ditawarkan oleh SODA.
Mereka yang berminat menjadi sebahagian daripada komuniti SODA boleh mendaftar di mana-mana pejabat pos di seluruh negara atau dalam talian di www.posonline.com.my.