Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menganjurkan Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Mereka Cipta Video Pendek Kefahaman Islam (VIPKI) untuk Penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) 2023 telah diadakan di Ballroom, Hotel Premiera Kuala Lumpur.
Majlis dirasmikan oleh Prof. Dato’ Dr. Muhammad Nur Manuty, Pengerusi IKIM dan ucapan aluan disempurnakan oleh Dr. Mohd Zaidi bin Ismail, Timbalan Ketua Pengarah IKIM.
Johan pertandingan telah dirangkul oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) iaitu Nur Faisal Nordin, Joekryno Anak Joni, Nur Rahmatina Abd. Rahman dan Muhammad Ariff Muhammad Khalidi yang membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM15,000.00, trofi dan sijil penyertaan.
Naib Johan adalah dari Multimedia Universiti, iaitu Syukri Azri dan Syukri Zaki yang membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10,000.00, trofi dan sijil penyertaan dan tempat ketiga jatuh pada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) iaitu Muhammad Syakir Ahmad Sazali, Muhammad Yusry Haigal Yusof, Muhammad Haziq Agmar Amril Nurman dan Faiz Danial Faizan yang membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM 5,000.00, trofi dan sijil penyertaan. Manakala bagi saguhati turut membawa pulang wang tunai sebanyak RM 1,000.00.
Pertandingan Mereka Cipta Video Pendek Kefahaman Islam (VIPKI) untuk Penuntut IPT 2023, ini telah dilancarkan pada 10 Februari 2023. Tempoh pertandingan adalah selama lebih kurang enam bulan dan tarikh akhir untuk menghantar penyertaan adalah pada 31 Julai 2023.
IKIM menganjurkan pertandingan ini bertujuan untuk menggalakkan penghasilan video pendek kefahaman Islam bagi membina minda Islami dan menanamkan nilai-nilai murni sejagat dalam kalangan masyarakat. Pertandingan ini juga turut mendapat penajaan daripada Permodalan Nasional Berhad, Pusat Pungutan Zakat (PPZ) dan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB).