Subang Parade kini giat menguruskan kesan banjir kilat yang di luar jangkaan akibat hujan lebat semalam.
Pihak pengurusan pusat membeli-belah itu sedang bekerja keras menjalankan usaha bantuan banjir dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan pengunjung, penyewa dan pekerjanya dalam tempoh yang mencabar ini.
Banjir kilat akibat hujan lebat itu berlaku semalam iaitu kira-kira jam 5 petang dan menjejaskan bahagian tingkat bawah dan tingkat bawah tanah pusat beli-belah itu.
Walaupun tiada sebarang laporan kecederaan, Subang Parade telah mengalami kerosakan di beberapa bahagian, termasuk stor, kawasan umum dan kemudahan parkirnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Hektar Property Services Sdn. Bhd. (Pengurus Harta Hektar REIT), Aldela Puspa Nordin berkata pihaknya komited untuk menjaga keselamatan dan kebajikan pengunjung, penyewa dan pekerja mereka.
“Pasukan kami giat berusaha mengurangkan sebarang gangguan perniagaan dan mempercepatkan proses membaik pulih pusat beli-belah untuk kemudahan semua.
“Kejadian ini telah dilaporkan kepada pihak berkuasa tempatan yang berkaitan, termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Majlis Bandaraya Subang Jaya, untuk siasatan dan langkah mencegah berulangnya peristiwa yang tidak diingini seperti ini di masa akan datang,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau menambah Subang Parade sudah beroperasi kembali seperti biasa pada hari ini.
Subang Parade merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak berkuasa tempatan dan masyarakat atas sokongan mereka dan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat atas tindak balas pantas dan segera.
Aldela berkata, Subang Parade kini beroperasi seperti biasa selepas pekerja dan krew pembersihan membersihkan kawasan yang dilanda banjir manakala tingkat bawah, yang terjejas teruk, akan beroperasi sepenuhnya esok.
“Kami akan terus menyalurkan maklumat terkini mengenai situasi itu melalui platform media sosialnya,” katanya lagi.