Pengeluar kereta nasional PROTON, dengan kerjasama syarikat solusi tenaga bersih Gentari Sdn Bhd, memperkenalkan pengecas pantas DC 100 kW di ibu pejabat Centre of Excellence (CoE) mereka di lebuh raya KESAS.

Pengecas dinamik, yang dipasang oleh anak syarikat milik penuh Gentari, Gentari Green Mobility Sdn Bhd, di tempatkan di kawasan letak kereta pelanggan untuk bilik pameran Proton Crystal, menawarkan akses kepada semua pengguna EV, tanpa mengira jenama.

“Dengan kemasukan kami ke pasaran kenderaan elektrik (EV) melalui smart Malaysia tidak lama lagi, inilah masanya bagi PROTON untuk mengambil langkah seterusnya ke dalam segmen yang berkembang pesat ini.

“Kami bersyukur kerana mempunyai rakan kongsi yang dinamik seperti Gentari, yang telah memasang pengecas DC pertama di tapak ibu pejabat kami dan berharap lebih banyak kerjasama sedemikian pada masa hadapan, dalam rangkaian pengedar kami,” kata Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, PROTON .

“Kami sangat teruja untuk mengambil langkah seterusnya dalam perkongsian strategik kami dengan Proton dengan pelancaran rangkaian kemudahan pengecasan untuk menyokong kemasukan mereka ke dalam pasaran EV Malaysia.

“Bersama Proton, pembuat kereta nasional yang berfikiran sama, usaha gabungan kami boleh mempercepatkan lagi pergerakan mobiliti hijau, meletakkan Malaysia di landasan yang betul dalam perjalanan peralihan tenaganya. Nantikan lebih banyak inisiatif yang dihasilkan daripada perkongsian kukuh ini.,” kata Shah Yang Razalli, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Gentari dan Ketua Pegawai Eksekutif, Gentari Green Mobility.

Sejak pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Gentari dan anak syarikat tenaga baharu PROTON, PRO-NET pada 12 Oktober 2022, kedua-dua syarikat telah meneroka pelbagai penyelesaian untuk memperkukuhkan rangkaian pengecasan di Malaysia.

Ini termasuk kerjasama antara Gentari Green Mobility Sdn Bhd, Proton Global Services dan rakan kongsi lain untuk membangunkan bukti konsep bagi penyelesaian pengecasan EV mudah alih menggunakan Proton Exora.

Tiga unit konsep itu sedang diuji, dengan setiap pengecas menawarkan 30 kW kuasa pengecasan. Kajian pengguna yang berterusan sedang dijalankan untuk menilai permintaan untuk konsep inovatif ini.