Pengerusi NGO Antarabangsa Datuk (Dr) Mustapha Ahmad Marican membuat kunjungan hormat ke atas TYT Tun Seri Setia (Dr) Haji Mohd Ali Mohd Rustam Yang di Pertua Negeri Melaka yang juga merupakan Presiden Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) di Phnom Penh, Cambodia.

TYT Tun berada di Phnom Penh bagi menghadiri Konvensyen Dunia Melayu Dunia Islam kali ke-21 yang melibatkan 12 buah negara. Matlamat utama konvensyen ini adalah untuk ‘Memperkasakan Keusahawanan Dunia Melayu Dunia Islam’.

Mustapha turut memaklumkan DMDI ditubuhkan pada tahun 2000 hasil daripada resolusi Konvensyen Dunia Melayu Dunia Islam pertama serta dipimpin oleh TYT Tun selaku Presiden DMDI.

Ia bertindak untuk mempromosi kesatuan dan perpaduan di antara umat Melayu-Islam di samping menggalakkan kerjasama dalam segala aspek pembangunan di antara umat-Melayu Islam dengan bangsa-bangsa lain di dunia.

Menurut Mustapha lagi, beliau berkesempatan untuk membuat kunjungan hormat bagi menyatakan bahawa selain keterlibatan NGO dalam memberi bantuan dari segi pendidikan, kebajikan, bencana melalui palang merah antarabangsa dan United Nations bagi negara yang berlaku pergolakan, fokus NGO Antarabangsa di ASEAN turut juga melibatkan ekonomi umat islam khususnya di negara-negara di mana bilangan umat islam adalah minoriti.

Beliau juga turut memberi sedikit penerangan berhubung keterlibatan beliau dalam NGO Antarabangsa selama 24 tahun semenjak berkhidmat dalam Kerajaan. Beliau banyak terlibat dlm pembinaan masjid, surau, telaga, sekolah-sekolah tahfiz, rumah anak-anak yatim dan menyediakan kawasan tapak untuk dijadikan sebagai tanah perkuburan islam di beberapa buah negara di Asean.

Pembinaan perigi antara yang paling banyak dibuat dan hampir 4,100 buah telaga. Selama 24 tahun keterlibatan NGO di negara-negara asean beliau turut terlibat dalam operasi menyelamatkan 47 Rakyat Malaysia yang ditipu scammer yang menawarkan pekerjaan di luar negara pada tahun 2019 sehingga beliau diancam.

Peristiwa itu merupakan sejarah dan kejayaan terbesar beliau untuk negara sepanjang terlibat dalam aktivit-aktiviti NGO. Kelemahan pencapaian ekonomi merupakan suatu masalah yang sering dikaitkan dengan umat Islam.

“Antara faktor yang menyebabkan perkara ini terjadi adalah kurang berusaha dan sentiasa meyakini kerajaan akan membantu mereka. Boros berbelanja dan tiada duit simpanan untuk masa depan, kurangnya ilmu pengetahuan dalam sesuatu bidang sehingga senang ditipu dengan mudah, sentiasa ingin berada dalam zon yang selesa sehingga takut untuk menghadapi risiko bagi meningkatkan taraf ekonomi.

“Akhir sekali ialah umat islam tidak bersatu dan tidak saling menyokong antara satu sama lain. Mereka sentiasa iri hati dengan kejayaan orang lain dan membawa punca kegagalan kebanyakan perniagaan milik pengusaha islam. Diharapkan konvensyen seperti ini akan menjadi titik perubahan terhadap ekonomi umat islam,” kata Mustapha lagi.