Perbadanan Nasional Berhad (Pernas), agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) giat membantu jenama Bubbles O2 mengembangkan perniagaan di dalam dan luar negara melalui suntikan pelaburan berjumlah RM5 juta.

Melalui pelaburan ini, Bubble O2 menyasarkan pasaran domestik dan eksport termasuk di Brunei, Thailand, Indonesia, Dubai, Puerto Rico, Amerika Syarikat dan Kanada bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Selain itu, pelaburan ini merangkumi perluasan kawasan kilang serta perbelanjaan operasi dan modal kerja. Bubbles O2 kini juga mengeluarkan pembungkusan baharu yang menggunakan botol kaca premium selain mempunyai perancangan untuk menghasilkan air mineral berperisa dengan vitamin.

Pada tahun 2022, Bubbles O2 telah mencatatkan jualan sebanyak RM3.7 juta menerusi penjualan air mineral tersebut di seluruh Malaysia. Manakala, pada tahun 2023 Bubbles O2 telah mencapai sasaran jualan sebanyak RM6.7 juta. Melalui bantuan pelaburan yang ditawarkan Pernas, jualan Bubbles O2 dijangka meningkat 50% bagi tahun 2024/2025.

Dato’ Hazimah binti Zainuddin, Pengerusi Pernas berkata, sejak skim pelaburan Pernas diperkenalkan mulai tahun 1998 sehingga kini, Pernas telah melabur dalam 85 syarikat dengan jumlah pelaburan sebanyak RM934 juta.

Bagi tempoh lima tahun (2024-2028) Pernas menyasarkan peruntukan RM300 juta untuk tempoh lima (5) tahun iaitu RM60 juta setahun bagi pelaburan ekuiti.

“Jenis pelaburan tidak terhad kepada syarikat francais, malah Pernas mengenal pasti syarikat berpotensi untuk dikembangkan melalui pelaburan seperti Bubbles O2. Melalui aktiviti pelaburan strategik, Pernas dapat membantu syarikat-syarikat ini agar mampu berdaya saing ke peringkat lebih membanggakan,” katanya.