Regas Premium Sabah telah merungkaikan fasiliti pengecasan kenderaan elektrik (EV) awam yang sulung di negeri Sabah, terletak di ruang parkir bawah tanah T1 @ Bundusan.

Detik yang bersejarah ini mencerminkan komitmen Regas Premium Sabah dalam merintis solusi-solusi mobiliti elektrik di negeri tersebut, sejajar dengan pelan perluasan infrastruktur pengecasan yang digagaskan oleh BMW Group Malaysia untuk seluruh negara.

Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkongsi, “Dengan perungkaian rasmi fasiliti pengecasan tersebut, kami ingin mengucapkan tahniah kepada Regas Premium Sabah yang telah lama bersama dengan kami sebagai rakan pengedar, atas langkah berani yang diambil ini untuk meluaskan aksesibiliti terhadap mobiliti lestari buat para pelanggan dan semua pemilik EV di Kota Kinabalu.

Kemustahakan langkah ini terletak pada potensinya untuk mencorak semula tabiat mobiliti di samping memacu penerimagunaan kenderaan elektrik di rantau ini.”

Datuk Matthew Tan Yaw Tzuu, Prinsipal Pengedar merangkap Pengarah Urusan bagi Regas
Premium Sabah berkata, “Kami membayangkan Sabah di mana gaya hidup yang berasaskan kepentingan terhadap alam sekitar menjadi satu norma, dan perungkaian fasiliti pengecasan EV awam yang sulung di sini merupakan satu langkah yang besar ke arah visi itu.

Ia bukan sahaja menggalakkan penggunaan EV tapi juga berjajaran dengan insentif kerajaan yang dirumus untuk menggalakkan kaedah pengangkutan lestari. Kami di Regas Premium Sabah percaya bahawa bekalan infrastruktur pengecasan yang mudah diakses akan membolehkan lebih ramai individu untuk beralih ke arah pemilikan EV dengan lebih yakin.”

Regas Premium Sabah telah berkolaborasi dengan JomCharge, iaitu pemain utama dalam arena solusi pengecasan EV, bagi mewujudkan rangkaian pengecasan serba canggih yang lebih meluas, memudahkan, serta selari dengan kenaikan permintaan ke atas mobiliti lestari di seluruh negara.

Fasiliti pengecasan baharu ini menampilkan dua lot dengan keupayaan pengecasan AC 11 kWj, terletak di ruang parkir bawah tanah T1 @ Bundusan, Jalan Bundusan, Taman Cemerlang, 89500, Kota Kinabalu, Sabah.

Fasiliti pengecasan tersebut kini dibuka 24 jam sehari untuk kegunaan orang awam, dengan kadar standard bernilai RM6 sejam.