Pembekal solusi tenaga bersih, Gentari Sdn Bhd (Gentari) melalui anak syarikat milik penuhnya, Gentari Green Mobility Sdn Bhd, telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan BMW Group Malaysia (BMW) bagi meneroka pelaksanaan perkhidmatan dan solusi mobiliti hijau, di samping pengerahan tenaga boleh baharu.

Gentari dan BMW ketika ini sedang aktif berganding bahu untuk meneroka peluang-peluang kolaborasi dalam medan seperti pemasangan infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV) di pelbagai fasiliti, termasuk antara lainnya, jaringan wakil pengedar BMW; aneka solusi bagi kumpulan (fleet) kenderaan elektrik di pasaran Malaysia; perkhidmatan nilai tambah bagi pemilik EV BMW termasuk pelan langganan pengecasan EV, ruang persinggahan EV (electric forecourts), kemudahan pengecasan mudah alih; dan pengerahan infrastruktur tenaga boleh baharu secara bersama.

Majlis penandatanganan yang telah diadakan di Mandarin Oriental, Kuala Lumpur tersebut dihadiri oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Gentari & Ketua Pegawai Eksekutif Green Mobility Sdn Bhd, Shah Yang Razalli serta Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia.

“Kami berasa teruja untuk menjalin kerjasama dengan sebuah jenama automotif yang amat berprestij seperti BMW, yakni bagi meluaskan lagi aksesibiliti perkhidmatan dan solusi mobiliti hijau di Malaysia.

Sementara itu, keupayaan Gentari dalam arena tenaga boleh baharu juga akan membantu mewujudkan rantaian nilai tenaga hijau yang komprehensif, dan bersama-sama, kita
dapat membuka haluan bagi alaf yang lebih hijau dan lestari,” katanya.

Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia sementara itu berkata, “Sebagai
pengeluar kenderaan premium terkemuka dengan portfolio Kenderaan Elektrik yang terbesar di Malaysia, kami di BMW Group Malaysia amat berbesar hati untuk berkolaborasi dengan Gentari bagi membangunkan banyak lagi solusi, perkhidmatan dan infrastruktur mobiliti dengan harapan untuk menggalakkan kelahiran dan amalan teknologi yang Bersih dan Bertanggungjawab dalam industri automotif negara.

Sejak pengenalannya pada bulan Jun 2022, Gentari telah giat meluaskan rangkaian mobiliti
hijaunya. Setakat ini, Gentari melalui entiti-entiti sekutunya, telah mengerahkan lebih daripada 160 titik pengecasan di Malaysia dan lebih daripada 170 titik pengecasan di India.