Lebih 1,000 peminat bintang K-Pop popular, Rain hadir memenuhi lokasi sesi bertemu peminat di Old Courthouse Gardens, Kuching, Sarawak hari ini.

Meskipun sesi itu dijadualkan kira-kira jam 3.30 petang, peminat sudah mula memenuhi lokasi berkenaan seawal jam 2 petang dalam keadaan cuaca panas terik dan setia menunggu tanpa berganjak.

Rain, menjadi artis antarabangsa pilihan yang mewarnai kegamatan Festival Anugerah Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) 2023 yang diadakan di Kuching, Sarawak bermula 2 hingga 4 Ogos ini.

AIFFA ialah pertandingan dwitahunan untuk pembikin filem dari 10 negara ASEAN dan diluluskan oleh Sekretariat ASEAN sebagai salah satu aktiviti bersama untuk kumpulan serantau.

Ia pertama kali dianjurkan pada 2013 dan kini dalam edisi keenamnya.

Acara ini diadakan di Kuching, Sarawak selama 3 hari dan dinilai oleh juri antarabangsa serta ASEAN. Ia menawarkan anugerah dalam 17 kategori meliputi semua aspek utama bidang kreatif dan teknikal pembikinan filem.

Rain atau nama sebenarnya Jung Ji-hoon dipilih kerana dia sememangnya menjadi ikon fenomena K-Pop serta bintang filem cukup disegani baik di negaranya mahupun di peringkat global.

Selain seorang penyanyi, Rain juga berbakat besar sebagai penulis lagu, penari, pelakon, dan penerbit rakaman.

Album Korea ketiganya, ‘It’s Raining’ pada tahun 2004, terjual sejuta salinan di Asia dan menjadikannya bintang antarabangsa.

Selain sesi bertemu peminat, penganjur juga mengadakan sesi ‘Red Carpet’ di Pullman Kuching pada 7.30 malam, diikuti dengan makan malam gala, yang merangkumi tetamu jemputan khas negeri.

Selebriti VIP antarabangsa lain pada edisi AIFFA yang lalu termasuk Steven Seagal, Jackie Chan, Donnie Yen, Tan Sri Michelle Yeoh dan Henry Golding.

AIFFA dianjurkan oleh World Communications Sdn Bhd disokong oleh Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak. Antara penaja utama ialah Sarawak Energy dan Regas Premium Auto selaku kenderaan rasmi BMW sempena AIFFA 2023.