ASEAN International Film Festival & Awards (AIFFA) membuka tirai tahun ini dengan penglibatan dari 10 buah negara rantau ASEAN. Acara gilang gemilang dengan kehadiran penggiat filem dari serata Asean yang berkampung di Kuching, Sarawak selama tiga hari bermula 2 hingga 4 Ogos ini bersama-sama meraikannya disamping merancakkan lagi sambutan yang dianjurkan dua tahun sekali ini.

Pengarah festival AIFFA, Livan Tajang dalam ucapannya melahirkan rasa teruja dengan kecemerlangan dan peningkatan kesemua filem yang disenarai pendek. Keupayaan filem-filem ini mampu meneroka tema dengan nuansa dan keaslian dalam penghasilan sesuatu karya yang berkualiti.

Livan turut melahirkan rasa terujanya untuk menganjurkan AIFFA 2023, dengan menyatakan, keindahan dan kekayaan budaya Sarawak yang mempesonakan menjadikannya persekitaran yang sempurna.

AIFFA 2023 untuk edisi keenam sejak 2013, mengalu-alukan pembikin filem dan peminat untuk sambutan unik acara ini agar dapat mengangkat lebih banyak karya filem ke peringkat lebih tinggi.

Pembukaan festival ini dirasmikan oleh Menteri di Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau turut mengalu-alukan lebih banyak penglibatan penyertaan dari seluruh negara-negara Asean dan penggiat profesional dalam industri perfileman.

“AIFFA sebuah festival filem yang meraikan semua penggiat industri perfileman untuk diiktiraf dan dihargai agar kita mampu sebaris dengan filem-filem di peringkat antarabangsa.

“Selain itu, ini juga peluang untuk Kerajaan Negeri Sarawak mempromosi pelancongan negara ini yang terkenal dengan hutan hujan yang subur, tradisi yang meriah dan layanan mesra. Sarawak adalah lokasi yang unik untuk pengalaman mengasyikkan yang meraikan bukan sahaja pawagam yang cemerlang tetapi juga permaidani budaya yang kaya di rantau ASEAN terutamanya sempena sambutan ulang tahun ke-60 Sarawak” katanya dalam ucapan perasmian di sini hari ini.

Pada malam pembukaan ini, turut diumumkan calon-calon bagi kategori Best Screenplay, Best Film Editing, Best Director of Cinematography, Best Supporting Actress, Best Actress, Best Supporting Actor, Best Actor, Best Director dan Best Film.

Sementara itu, festival AIFFA menyaksikan penyertaan 120 filem dari negara Asean dan 34 daripadanya dari Malaysia. Kesemua filem-filem ini dihasilkan dari tahun 2020 hingga 2022.

Majlis Malam Gala Aiffa akan diadakan pada 4 Ogos ini dan akan menobatkan pemenang bagi Anugerah Filem Terbaik berprestij, Anugerah Inspirasi ASEAN dan Pencapaian Sepanjang Hayat.

Turut hadir pada malam itu nanti, ikon K-Pop dan bintang filem Rain dari Korea Selatan yang juga bakal menemui para peminat disini.

Turut hadir, ketua juri U-Wei Shaari dengan juri terkemuka lain seperti Ihsan Nurullah Kabil dari Turki, Viva Westi dari Indonesia, Pham Thi Hong Anh dari Vietnam dan Effendee Mazlan, dari Malaysia. Hadir sama, selebriti dan penggiat filem dari negara Asean.