Menguji peranti HONOR, pengeluar telefon pintar terkemuka dari China memang sentiasa dinantikan bukan kerana rekaannya tetapi ciri-ciri kejutan yang ditawarkan seperti sensor kamera 200 megapiksel (MP) bagi peranti terbaharu HONOR 90 5G ini.

Meskipun tarikh sebenar pelancarannya belum diumumkan, Prebiu.com cukup bertuah terpilih antara beberapa media yang diberikan peranti ujian.

Peranti ini sebenarnya telah dilancarkan di China pada bulan lalu menerusi dua jenis model iaitu HONOR 90 5G dan HONOR 90 Pro dengan beberapa ciri dan fungsi yang hampir sama. Bagaimanapun, untuk pasaran Malaysia, hanya model HONOR 90 5G diperkenalkan.

Apa yang menarik dengan model terbaharu ini? Paling jelas ciri kamera utama dengan sensor 200 megapiksel (MP) dan kamera swafoto 50MP dicetak pada sekeping kertas kecil yang diberikan kepada setiap media yang terpilih menerima peranti ujian ini.

SKRIN

Peranti ini hadir dengan skrin 6.7-inci AMOLED Quad Curved Floating dengan resolusi 2664×1200 piksel dan 1.07 bilion warna turut menyokong kadar segar semula 120Hz, boleh memainkan kandungan HDR10+ di Netflix dan Prime Video.

Atas kertas, peranti ini juga memiliki ciri untuk keselesaan mata iaitu pengiktirafan TUV Rheinland, menyokong suhu warna dan mod malam Circadian.

Melihat kepada paparan warna, skrin HONOR 90 cukup cantik dan jelas dengan tahap kecerahan amat memuaskan sekali gus meletakkan peranti ini sebaris dengan peranti kelas pertengahan lain.

Terkini, penggunaan skrin OLED digunakan secara meluas menggantikan skrin LCD, kerana skrin OLED menawarkan paparan warna lebih baik, lebih jelas malah menggunakan frekuensi rendah 480Hz atau 240Hz sekali gus tidak memberikan kesan kepada mata.

Malah ketika menggunakan peranti ini di bawah cahaya matahari terik juga tidak akan menimbulkan masalah dan kawalan manual tahap kecerahan boleh mencapai sehingga 1600 nits.

REKAAN LUARAN

HONOR 90 hadir dengan rekaan simitrikal yang nipis dengan saiz 161.9 mm (panjang) X 74.1mm (lebar) X 7.8mm (dimensi) dan berat hanya 183gram termasuk bateri.

Peranti ini hadir dengan rekaan skrin melengkung yang tampil lebih eksklusif dan premium manakala butang bezel tidak terlalu tebal dan ringkas. Peranti ini juga cukup selesa digenggam dan disimpan kemas dalam kocek seluar atau dompet wanita.

Melihat kepada rekaan belakang pula, ciri rekaan kameranya agak unik dengan dua bonggol kamera seakan sepasang mata besar yang diilhamkan dari ciri “Mirror Luna” iaitu fasa pergerakan bulan dan secara kebetulan panel belakang warnanya Emerald Green yang menarik.

Corak pada panel belakang itu kelihatan berubah warna mengikut cahaya yang dibias pada peranti ini seakan corak bulu burung.

Di atas peranti pula terdapat lubang mikrofon, satu lagi lubang sama di bahagian bawah bersama-sama dengan kekisi speaker, slot kad SIM dan port USB-C. Sisi kanan peranti dilengkapi dengan semua butang kuasa dan butang laras suara sementara tiada apa-apa di sisi kiri.

HONOR 90 menawarkan tiga pilihan warna di Malaysia. Setiap warna mempunyai corak berbeza seperti Emerald Green dengan warna cerun hijau dengan kemasan kusam dan warna Diamond Silver pula seakan dwi-tona kosong di atas, di bawah corak seakan kain songket dengan tekstur yang timbul dan Peacock Blue.

KAMERA

HONOR 90 dilengkapi dengan tri-kamera di belakang yang menggabungkan sensor 200MP Ultra-Clear Camera, f/1.9, sudut lebar + 12MP, f/2.2, sudut ultra lebar/makro + 2MP, f/2.4, sensor kedalaman dan kamera swafoto 50MP.

Aplikasi kamera turut dilengkapi dengan banyak ciri AI baharu seperti AI Vlog Assistant, AI Video Quality Enhancement, menyokong mod HDR tersendiri, ciri gambar mod resolusi tinggi dan banyak lagi ciri menarik termasuk pengurangan bunyi bising video.

Memliki ciri sensor 200MP memberikan kelebihan apabila sensornya lebih besar 25 peratus dan peningkatan sensor cahaya sebanyak 14 peratus berbanding IMX766, IMX866, dan IMX890 yang biasa digunakan oleh peranti pintar yang ditawarkan pada harga hampir sama.

Anda boleh lihat sendiri hasil gambar yang dirakam menggunakan peranti ini dalam pelbagai sudut berlatar belakangkan bangunan pencakar langit Kuala Lumpur.

Meskipun ketika itu waktu sudah mencecah senja, gambar yang dihasilkan cukup terang, jelas dan tajam malah cantik sekali.

Menggunakan mod malam juga menghasilkan gambar yang cantik dengan tahap kecerahan warna lebih jitu meskipun zum digital digunakan.

BATERi

Peranti ini dibekalkan dengan bateri sebesar 5000mAh dengan sokongan pengecasan pantas 66W HONOR SuperCharge. Teknologi pengecasan ini boleh mengecas peranti dari 3% – 45% dalam masa 15 minit.

Dengan kuasa bateri penuh, anda boleh menonton video penstriminan sehingga 19.5 jam dan ciri teknologi penjimatan kuasa AI, menjadikan penggunaan peranti ini lebih efisien.

Pengecasan adalah melalui kabel USB-A ke USB-C yang mana kedua-dua kabel dan palam pengecas disediakan di dalam kotak.

Tidak ketinggalan, HONOR 90 dipadankan dengan cip prosesor Snapdragon 7 Gen 1 dan pilihan memori pula mencapai 16GB RAM dan storan dalaman 512GB.

Harga bagi peranti ini ditawarkan pada harga RM2,099.

Spesifikasi HONOR 90 5G:

  • 6.7″ AMOLED Quad Curved Floating Display, 2664×1200, 120Hz, HDR10+
  • Snapdragon 7 Gen 1 Accelerated Edition (4nm)
  • Magic OS 7.1, Android 13
  • Saiz 161.9mm x 74.1mm x 7.8 mm
  • Memori 12 Gigabyte LPDDR5
  • Storan 512GB UFS 3.1
  • Bateri 5000mAh Fast Charging 66W
  • (CPU) 1x 2.5 GHz Cortex-A710, 3x 2.36 GHz Cortex-A710, 4x 1.8 GHz Cortex-A510
  • Kamera belakang: 200MP Ultra Clear Camera, f/1.9, sudut lebar 12MP, f/2.2, sudut ultra lebar/makro 2MP, f/2.4, sensor kedalaman
  • Kamera depan: 50MP, f/2.4
  • Ciri Keselamatan: Pengimbas cap jari, pengecaman muka, nombor pin
  • Warna: Emerald Green, Diamond Silver dan Peacock Blue
  • Harga: RM2,099