Malaysia sudah bersedia untuk menempa kejayaan dalam dunia skuasy menerusi pelancaran jelajah Satelit 12 siri Persekutuan Skuasy Sedunia (WSF).
Kejohanan tempatan ini bermatlamat untuk meningkatkan kedudukan pemain tempatan di
peringkat antarabangsa, dan ia mampu dilaksanakan menerusi penajaan dan sokongan
syarikat telekomunikasi RedONE Network Sdn Bhd.
Kejohanan Skuasy Satelit PSA dan WSF redONE, jelajah 12-sirkit yang diperakui oleh kedua-dua badan pentadbir skuasy berkenaan, bakal menyaksikan RedONE mengendalikan kesemua 12 kejohanan dengan menyediakan sejumlah wang tajaan untuk menjayakan kejohanan terbabit.
Ketua Pegawai Eksekutif redONE, Farid Yunus, menyatakan komitmen syarikat untuk memupuk bakat pemain bertaraf dunia menerusi peruntukan dana bagi meningkatkan
kemahiran dan kebolehan atlet yang berbakat.
Pada masa ini, redONE menaja pemain kebangsaan S Sivasangari, yang berada pada kedudukan membanggakan di peringkat antarabangsa.
“Ramai pemain muda yang masih baru dalam sirkit profesional ini berasa agak sukar
menjelajah ke negara seperti Mesir, United Kingdom atau Australia untuk bertanding bagi
memperoleh mata kedudukan.

“Justeru, kejohanan yang berlangsung di negara kita sendiri ternyata sesuatu yang sangat baik. Ia menyediakan peluang yang luar biasa untuk pemain kita menunjukkan peningkatan,” katanya dalam kenyataan.
Sirkit tempatan yang terdiri daripada 12 siri berkenaan, diuruskan oleh ACE Sports and
Management, bermula pada Februari tahun ini. Sejak itu, kejohanan berkenaan sudah diadakan di beberapa lokasi termasuk Negeri Sembilan, Bukit Jalil, dan Pulau Pinang.
Kejohanan terkini diadakan di Sungai Ujong, Negeri Sembilan yang bermula pada 8 hingga 11 Jun lalu, yang mana Goh Zhi Xuan muncul sebagai pemenang dalam kategori wanita, manakala Harith Danial meraih kemenangan dalam kategori lelaki.
Penyertaan dalam pelbagai jelajah penting bagi pemain skuasy profesional kerana ia
membolehkan mereka mengumpul mata kedudukan antarabangsa, mendapat pendedahan, dan meraih wang kemenangan. Platform ini juga menjadi laluan untuk menarik penajaan dan mewakili negara masing-masing dalam kejohanan antarabangsa yang disegani, sekali gus menyumbang kepada perkembangan dan kejayaan kerjaya mereka dalam sukan ini.
Apabila ACE Sports & Management memperoleh kebenaran daripada WSF untuk
menganjurkan kejohanan ini, redONE bersedia memikul tanggungjawab dari segi kewangan.
Farid mengetengahkan kisah kejayaan legenda skuasy Malaysia, Datuk Nicol Ann David,
sebagai bukti bahawa negara mempunyai potensi untuk melahirkan juara dunia dalam sukan ini, asalkan ia mempunyai sokongan kewangan yang mencukupi untuk menjalankan usaha penambahbaikan kemudahan dan pendedahan dalam kalangan pemain.
Minat Farid yang juga Presiden Persatuan Skuasy Selangor (SRAS) sejak lapan tahun lalu
dalam skuasy terbukti menerusi sokongan kepada anak lelakinya, Aidan Yunus, yang meraih kejuaraan dalam Kejohanan Junior Kebangsaan Lelaki Bawah 19 di Bukit Jalil
pada Mac lalu.
Baru-baru ini, RedONE melabur lebih daripada RM200,000 untuk memperbaiki kemudahan
yang rosak di Astaka Petaling Jaya, yang sebelum ini digunakan oleh SRAS untuk tujuan
latihan.
Farid turut menggesa syarikat berkaitan kerajaan dan perbadanan untuk melakukan
penajaan acara sukan dengan lebih serius. Beliau menyarankan amalan penajaan seperti yang dilakukan pada masa lalu apabila syarikat berkaitan kerajaan menaja sukan tertentu.
Beliau memberikan contoh Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang menaja acara sukan hoki, Telekom Malaysia (TM) menaja bola sepak dan Maybank pula bersama atlet balapan dan padang.
Kejohanan Satelit keenam PSA WSF dijadualkan berlangsung pada 13 Julai ini di Kompleks
Sukan Astaka yang telah diperbaharui kemudahannya di Petaling Jaya.







































