Pengenalan dua peranti baharu dalam siri Galaxy A sebagai satu kesinambungan kepada siri A terdahulu menyaksikan beberapa penambahbaikan dibuat menerusi model Samsung Galaxy A34 5G.

Prebiu.com sekali lagi terpilih menjadi antara media pertama oleh Samsung Malaysia untuk menguji peranti pintar inovatif Galaxy A34 ini sebelum dilancarkan secara rasmi kepada umum.

Apa yang menarik pada peranti terbaharu dalam keluarga Galaxy A ini? Dalam ulasan sisi pandang pertama pada peranti ini ialah rekaan luaran lebih segar dan spesifikasi lebih terkini sekali gus menarik minat pengguna yang sedang mencari peranti berharga di bawah RM2,000.

Sistem rekaan tri-kamera tanpa bonggol yang tidak terlalu besar menjadikan peranti ini kelihatan lebih kemas dengan mengetengahkan rekaan Floating Camera.

Rekaan kamera disusun menegak dan sebaris dengan sebuah lampu flash menjadikan peranti ini nampak ringkas ditambah dengan dibalut binaan kekemasan glastik dan bingkai logam pada bahagian sisi.

Selain itu, hayat bateri peranti ini sebesar 5000 mAh juga menjangkaui tempoh penggunaan lebih daripada dua hari dan dibekalkan dengan pengecasan berwayar 25W.d

Rekaan Kamera Baharu

Seakan menjadi satu ciri standard kepada Samsung apabila rekaan lensa kamera belakang model Siri A kali ini seakan sama dengan rekaan pada model Samsung Galaxy S23 tanpa sebarang bingkai berbeza berbanding model A33 terdahulu.

Bagi penulis, rekaan luaran semua telefon pintar hampir sama cuma membezakannya adalah spesifikasi yang ditawarkan. Tentu sekali jurutera Samsung sudah melakukan terbaik untuk menghasilkan peranti mampu milik Galaxy A34 ini pada harga bawah RM2,000.

Ciri kamera dipertingkatkan

Samsung Galaxy A34 dilengkapi ciri tri-kamera belakang gabungan 8MP + 5MP +  48MP, sementara kamera swafoto 16MP (f/2.2). Konfigurasi kamera pada peranti ini ialah 48MP (f/1.8) – (lebar); 8MP (f/2.2) – (Ultra-Lebar) dan 5MP (f/2.4).

Kamera utamanya disokong oleh OIS (optical image stabilization) dan zoom digital sehingga 10 kali ganda.

Tidak kira siang atau malam, peranti ini menawarkan pakej kamera yang lebih baik sekali gus menghasilkan imej yang menakjubkan dengan kualiti yang dipertingkatkan, dengan menggunakan keupayaan Nightography dan AI terkemuka Samsung Galaxy.

Sama ada untuk rakaman swafoto yang sempurna atau bersambung melalui panggilan video yang tersangat lancar, Galaxy A34 menawarkan perincian visual yang menakjubkan menerusi kamera hadapan 13MP.

Telefon pintar baharu ini juga membenarkan pengguna merakam video sehingga UHD 4K (3840 x 2160)/30fps dengan ciri penstabilan terbina, di samping kebolehan zum digital mencapai 10X.

Menerusi sensor yang dipertingkatkan, mengambil gambar dalam suasana pencahayaan malap, mod Malam membantu merakam visual yang lebih terperinci dengan memperluaskan saiz piksel kamera.

Buat julung kalinya, untuk peranti dalam siri Galaxy A, pengguna juga boleh menghapuskan bayang-bayang dan pantulan yang tidak diingini dalam rakaman dengan menggunakan alat penyunting imej (object Eraser) yang dipertingkatkan.

Peranti juga membenarkan pengguna merakam video sehingga UHD 4K (3840 x 2160)/30fps dengan ciri penstabilan terbina, di samping kebolehan zum digital mencapai 10 kali.

Rekaan Kontur Badan

Pada pandangan mata kasar penulis, kemasan pada peranti yang berukuran 161.3 x 78.1 x 8.2 mm ini lebih ringkas dan minimalis bersama penggunaan satu tona warna penuh secara menyeluruh seakan sebuah peranti untuk golongan muda yang aktif.

Skrin sebesar 6.6-inci digunakan adalah lebih besar berbanding 6.4-inci pada pendahulunya iaitu Galaxy A33 5G.  Penambahbaikan paling ketara lain yang turut boleh ditemui pada skrin peranti ialah sokongan kadar segar semula dipertingkatkan menjadi 120Hz.

Samsung turut meningkatkan tahap kecerahan skrin sehingga 1000nits untuk prestasi skrin cukup baik digunakan di bawah cahaya matahari terik. Ini kombinasi yang menarik apabila turut dipadankan dengan penggunaan panel dari keluarga Super AMOLED berteknologi FHD+.

Walaupun kelihatan ringkas, kemasan licin kusam pada bahagian belakang yang digunakan nampak premium dan tidak mudah meninggalkan kesan cap jari atau mudah kotor.

Peranti seberat 199 gram ini ditawarkan dalam empat pilihan warna berbeza yang menarik – iaitu Awesome Lime, Awesome Violet, Awesome Graphite dan Awesome Silver. Memang Ohsemkan!

Susun atur butangnya adalah standard dimana, butang kuasa dan laras suara hanya diletakkan pada bahagian sisi kanan manakala terdapat satu lubang mikrofon dan slot untuk SIM pada bahagian atas.

Ruangan ini menyokong slot dwi-sim namun ia direka berasaskan hibrid melalui slot Nano-SIM (SIM1) + Nano-SIM/microSD (SIM2).

Peranti ini disambungkan dengan port USB-C pada bahagian bawah dengan lubang mikrofon dan juga pembesar suara. Lebih menariknya di sini, pembesar suaranya adalah stereo dengan sokongan Dolby Atmos. Bagaimanapun, untuk peranti terbaharu ini tiada lagi bicu audio dibekalkan malah tiada juga kepala pengecas disertakan.

Spesifikasi 

Samsung Galaxy A34 5G hadir dengan skrin bersaiz 6.6 inci Super AMOLED FHD+ (1080 x 2340) dan kadar segar semula 120 Hz.

Kapasiti storan adalah yang terbesar diberikan iaitu 256GB dan turut disediakan kemudahan untuk tambahan slot kad storan sehingga 1TB.

Untuk spesifikasi dalaman, Samsung Galaxy A54 menggunakan cip pemprosesan lapan teras MediaTek Dimensity 1080. Ia merupakan cip berteknologi 6nm dengan konfigurasi dua teras Cortex-78, enam teras Cortex-A55 dan GPU GPU Arm Mali-G68.

Samsung turut memberi nilai tambah pada peranti ini menerusi penarafan kalis air dan debu IP67 terbina.

Harga pasaran

Samsung Galaxy A34 5G yang baru diperkenalkan di pasaran negara ini ditawarkan pada harga RM1,599 untuk 8GB RAM/256GB storan dalam empat warna menarik iaitu Awesome Lime, Awesome Silver, Awesome Violet dan Awesome Graphite.

Apa yang ada dalam kotak:

  • 1x Samsung Galaxy A54.
  • 1x Kabel pengecas USB-C ke USB-C.
  • 1x Manual.
  • 1x Pin SIM

* Nantikan ulasan lebih mendalam Samsung Galaxy A34 5G