Momentum pengeluaran dan jualan Perodua kekal kukuh apabila mencatatkan rekod tertinggi pengeluaran iaitu sebanyak 33,666 unit kenderaan manakala divisyen jualannya pula mencatatkan pendaftaran sebanyak 32,179 unit kenderaan pada bulan Mac.

“Pencapaian ini disumbangkan oleh beberapa faktor, antaranya adalah menerusi usaha kami untuk memenuhi tempahan PENJANA sebelum 31 Mac 2023, selain penambahbaikan
pengeluaran di seluruh ekosistem pembekal dan penyelarasan yang lebih baik dalam
rangkaian jualan kami,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri
Zainal Abidin Ahmad.

Pada asas suku tahunan, pengeluaran meningkat sebanyak 33.9 peratus kepada 84,800
unit berbanding 63,325 unit yang dikeluarkan pada suku yang sama tahun 2022.

Bagi aspek jualan, pendaftaran meningkat sebanyak 27.5 peratus kepada 78,564 unit dalam tempoh tiga bulan pertama 2023 berbanding 61,624 unit dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Pada asas bulanan, Perodua merekodkan peningkatan sebanyak 20.2 peratus kepada 32,179 unit berbanding 26,759 unit yang dijual pada Mac tahun lalu. Jumlah itu juga
meningkat sebanyak 29 peratus berbanding 24,936 unit yang dijual pada Februari tahun ini.

“Di sebalik pencapaian berkenaan, terdapat sejumlah kecil tempahan PENJANA yang tidak
dapat kami penuhi dan kepada pelanggan yang terlibat, kami akan meneruskan jumlah
pengecualian jualan sebagaimana yang dijanjikan di bawah inisiatif terbabit. Kami juga
memohon maaf di atas tempoh menunggu yang lama,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Zainal berkata prestasi Perodua dijangka terus meningkat di masa
hadapan memandangkan jumlah tempahan bagi model keluarannya terus kukuh.

Beliau berkata, pertumbuhan pengeluaran yang berterusan berjaya mengurangkan tempoh
menunggu untuk beberapa model tertentu.

“Malah, bagi sesetengah model kami, tempoh menunggu telah berkurangan dengan
signifikan, hanya beberapa model seperti Bezza, Axia dan Alza yang mempunyai tempoh
menunggu yang lebih panjang, bergantung kepada pilihan varian dan warna,” katanya.

Bagi aspek pengeluaran pula, beliau berkata penurunan harga bahan mentah di peringkat
global baru-baru ini telah memberikan kelegaan kepada pembekal, Perodua serta
kebanyakan pemain industri automotif.

“Situasi ini memberi kelebihan yang mana kami boleh memanfaatkannya dengan
menyiapkan stok kenderaan lebih cepat dan dalam masa yang sama mengurangkan tempoh menunggu pelanggan kami,” katanya.

Pada hujung Januari lalu, Perodua mengumumkan sasaran pengeluarannya sebanyak
330,000 kereta dan sasaran jualan sebanyak 314,000 kereta pada tahun 2023.