Azrul Reza Aziz telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Automotive, Robotics & IoT Institute (MARii) yang baharu, berkuatkuasa pada 10 April 2023.

Beliau mempunyai pengalaman yang luas hampir 20 tahun di dalam dunia korporat, dan mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang khususnya sektor automotif, kewangan dan perbankan, pembangunan modal insan serta perundingan.

Sebelum menyertai MARii, beliau merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UPM Holdings Sdn Bhd Group (UPM Holdings), anak syarikat milik penuh Universiti Putra Malaysia (UPM) yang disertai pada awal tahun 2021.

Pengerusi MARii, Datuk Phang Ah Tong berkata, “Pelantikan ini adalah bertepatan dengan usaha MARii bagi mencorak masa depan industri negara dengan memperkasa bakat tempatan melalui program-program latihan kemahiran berteknologi tinggi.

Beliau akan turut bertanggungjawab bagi mentakrifkan halatuju yang baharu untuk MARii” “Dengan pengalaman dan pengetahuan mendalam dalam bidang automotif, teknologi serta inovasi, saya yakin Azrul Reza Aziz mempunyai keupayaan dan kredibiliti bagi membawa MARii ke persada yang lebih tinggi,” katanya lagi.

Azrul Reza Aziz merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal Automotif dari Universiti Teknologi Malaysia dan Sarjana Pengurusan Perniagaan dari Universiti Teknologi MARA.

Beliau juga sering dijemput untuk menjadi penceramah jemputan di beberapa persidangan, forum dan seminar tempatan serta antarabangsa memandangkan pengalaman dan pengetahuan beliau dalam pembangunan modal insan serta bidang pelaburan, teknologi dan inovasi.

“Salah satu keutamaan saya adalah bagi memastikan halatuju baharu MARii adalah bertepatan dan seiring dengan agenda nasional dan mandat yang telah ditetapkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Saya percaya bahawa masa depan industri automotif bergantung kepada pembangunan dan penggalakan teknologi, serta sokongan kepada syarikat automotif serta vendor-vendor tempatan dalam bidang pembuatan, perkhidmatan selepas jualan dan pemain ekosistem yang lain. MARii akan terus memperkukuhkan jaringan ekosistem automotif di Malaysia melalui kerjasama rapat dengan MITI serta pemain industri, universiti dan agensi kerajaan lain” katanya.

MENGENAI MARii

MARii (Malaysia Automotive, Robotics and IoT Institute) adalah sebuah institut yang ditubuhkan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI) pada tahun 2010.

MARii ditubuhkan sebagai pusat kepakaran untuk membangunkan industri automotif, robotik dan IoT di Malaysia, serta menggalakkan inovasi dan penggunaan teknologi dalam sektor ini.