Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) hari ini memperkenalkan Golf GTI yang telah dikemas kini dan dilengkapi IQ.

Drive, satu Sistem Bantuan Pemandu (ADAS) inovatif.

Bahagian luaran juga menerima naik taraf dengan ciri-ciri baharu seperti pengecasan tanpa wayar, serta sulaman logo GTI pada tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan. Golf baharu kini hadir dengan harga cadangan bermula RM244,990.

Sistem IQ. Drive direka untuk membantu pemandu menjadikan perjalanan mereka lebih selamat dan selesa. Antara ciri-ciri keselamatan termaju termasuklah Travel Assist dan Adaptive Cruise Control (ACC) yang menggunakan radar serta pelbagai alat pengesan untuk mengesan kenderaan di hadapan.

Tidak ketinggalan ciri Side Assist yang berfungsi sebagai pemantau titik buta dan Rear Cross Traffic Alert yang memberi amaran kepada pemandu tentang potensi bahaya apabila gear undur diaktifkan.

Golf GTI juga hadir dengan Front Assist yang merupakan ciri Autonomous Emergency Braking (AEB). Ia menggunakan satu unit sensor radar yang diintegrasikan pada bahagian hadapan kenderaan untuk sentiasa memantau jarak kereta di hadapan.

Selain mengesan kenderaan, versi terbaharu ciri Front Assist turut mengenal pasti kehadiran pejalan kaki dan penunggang basikal yang melintas jalan.

Fungsi Lane Assist pula memastikan pemandu sentiasa berada dalam laluan yang betul dengan menggunakan ciri bantuan pengekalan lorong berasaskan kepada kamera.

Sekiranya kenderaan bergerak ke lorong lain ketika lampu isyarat membelok digunakan oleh pemandu, sistem ini akan berfungsi secara automatik dengan menarik semula stereng
kembali ke lorong yang betul.

Bukan itu sahaja, terdapat juga fungsi Adaptive Lane Guidance yang memastikan kenderaan sentiasa berada di tengah-tengah lorong setelah sistem belajar daripada corak
pemanduan pemandu.

Cukup dikenali sebagai sebuah hot hatchback sebenar, Golf GTI kini dilengkapi pelbagai ciri
baharu pada bahagian dalaman dan luaran. Antaranya termasuklah lampu kabus, cermin sisi boleh laras bersama ciri pemanas dan penambahan sehingga tujuh beg udara.

Golf GTI mengutamakan keterujaan dalam setiap pemanduan yang ditawarkan oleh enjin turbo berkuasa 245PS dan tork 370Nm. Ia menjanjikan pengalaman pemanduan mengujakan dan sukar dilupakan bersama penambahan beberapa ciri keselamatan untuk pemandu.

Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter memberitahu syarikat komited untuk meningkatkan tahap keselamatan kenderaan menerusi kemajuan dari segi rekaan dan teknologi seperti sistem IQ. Drive.

“Kami sentiasa berusaha untuk menawarkan pengalaman pemilik terbaik kepada para
pelanggan. Ciri keselamatan baharu pada Golf GTI terkini merupakan satu lagi bukti komitmen kami untuk menawarkan tahap keselamatan serta prestasi kepada para pemilik.”

Warna

Terdapat lima warna ditawarkan iaitu merah (Kings Red) dan biru (Atlantic Blue) dalam kemasan metalik; kelabu (Moonstone Grey) bukan metalik, selain warna hitam (Deep Black) dan putih (Oryx White) mutiara tanpa sebarang penambahan harga.

Harga

Golf GTI ditawarkan pada harga cadangan iaitu RM244,990. Ia hadir bersama penyelenggaraan percuma selama tiga tahun, serta jaminan tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan selama lima tahun.