Berselarasan dengan upacara pemecahan tanah bagi bilik pameran terbaharu mereka di Alor Setar, Lee Motors juga bakal memperkenalkan tiga fasiliti BMW i Charging baharu di Kedah – dua berjenis pengecas pantas DC dan satu pengecas AC, dikuasakan oleh RExharge.

Lee Motors telah mengadakan upacara memecah tanah bagi bilik pameran Auto Care baharu miliknya di Alor Setar, Kedah, yang akan mula menyambut tetamu menjelang suku pertama tahun 2024.

Fasiliti berkeluasan 50,000 kaki persegi ini memiliki ruang yang bersaiz dua kali ganda lebih besar berbanding lokasi mereka yang sebelumnya dan akan direka suai berdasarkan konsep BMW Retail NEXT terkini.

Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia menyatakan, “Tahun 2023 baru sahaja membuka tirainya dan kami berasa amat teruja untuk mengalu-alukan pembangunan bilik pameran Lee Motors di Alor Setar, serta penyebarluasan rangkaian infrastruktur pengecasan kita melalui fasiliti-fasiliti BMW i Charging baharu yang telah didirikan di Kelab Kedah Diraja.

Pembangunan bilik pameran Lee Motors yang baharu dan bersaiz lebih besar juga merupakan bukti pertumbuhan pasaran yang kukuh bagi segmen premium di rantau ini.

Sehubungan itu, kami yakin bahawa Lee Motors dapat membekalkan standard Pengalaman Pemilikan Premium yang tertinggi bagi para pelanggan kita di sini.”

Eugene Lee, Pengarah Urusan Lee Motors berkongsi, “Sebagai wakil pengedar BMW bertauliah selama 20 tahun setakat ini, dan satu-satunya wakil jenama ini di Kedah, kami komited untuk membekalkan Kenikmatan Pemanduan Sempurna seperti yang dijanjikan oleh BMW, yakni buat para penduduk di rantau utara Malaysia.

Hasrat kami adalah bukan sahaja untuk mempertemukan para pemilik baharu dengan kenderaan BMW idaman mereka, tapi juga berusaha untuk mewujudkan akses yang lebih luas ke atas Mobiliti Berelektrik di Kedah.

Pada tahun 2022, kami berjaya menyerahkan lebih daripada 270 buah kenderaan premium daripada portfolio BMW Group, dan kami membidik untuk meningkatkan lagi bilangan penyerahan ini seiring dengan perluasan fasiliti dan perkhidmatan kami di sini.”

Bilik pameran Lee Motors Auto Care yang baharu dapat mempamerkan sebanyak 16 buah
kenderaan premium baharu dan terpakai daripada portfolio BMW dan BMW Premium Selection.

Dirumus untuk dilengkapi dengan fasiliti pascajualan yang serba ekstensif, bilik pameran baharu ini juga akan menempatkan dua ruang penghantaran, lapan ruang kerja – turut berpotensi untuk ditingkatkan kepada 12 ruang pada masa akan datang – berserta dua ruang untuk khidmat resepsi di kereta (RATC).