Petron membuktikan komitmen syarikat terhadap keselamatan masyarakat melalui kerjasamanya bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam program Go-To-Safety-Point (GTSP).
Petron meneruskan program kesedaran GTSP ini bersama PDRM kontinjen Sabah dengan melakukan simulasi situasi kecemasan di Petron Minintod, Sabah pada 20 Oktober 2022.
“Program GTSP ini merupakan salah satu cara Petron menyumbang kepada keselamatan dan kesejahteraan masyarakat. Kami ingin meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap program GTSP dan ingin orang awam menjadikan Petron sebagai lokasi selamat dimana mereka boleh mendapatkan bantuan awal sekiranya berlaku kecemasan.

Kerjasama kami bersama PDRM ini memberi peluang untuk kami menyumbang semula kepada masyarakat,” kata Shaliza Mohd Sidek, Ketua Perniagaan Runcit Petron.
Diketuai oleh PDRM, Program GTSP ini merupakan inisiatif kerajaan di bawah “United Against Crime” yang bertujuan untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat setempat.
Program ini meningkatkan kehadiran polis di stesen Petron dan panggilan yang dibuat dari stesen Petron menerima respon yang lebih cepat, menjadikan stesen itu tempat perlindungan yang selamat untuk orang ramai sewaktu berada dalam situasi kecemasan.
Majlis tersebut telah dilancarkan oleh Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, DCP Datuk Jauteh Dikun yang mensimulasikan situasi kecemasan.

Latihan itu juga berfungsi sebagai latihan nyata kakitangan stesen untuk mempraktikkan pengetahuan mereka apabila berhadapan dengan situasi yang sama pada masa hadapan.
Aspek GTSP yang dipamerkan termasuklah penggunaan sudut ‘de-stress’ yang menyediakan ruang selesa untuk orang ramai mendapatkan perlindungan, bantuan awal dan untuk bertenang.
Sudut tersebut dilengkapi dengan peti pertolongan cemas, kerusi, selimut dan papan maklumat keselamatan yang mengandungi nombor telefon kecemasan.
“Saya berbesar hati kerana stesen saya dipilih sebagai lokasi pelancaran GTSP negeri Sabah. Kakitangan stesen saya telah dilatih untuk memberi bantuan awal kepada orang ramai semasa kecemasan sementara kami menghubungi agensi kerajaan yang
berkaitan untuk mendapatkan bantuan lanjut.

“Saya berharap simulasi yang ditunjukkan pada hari ini dapat meningkatkan pemahaman orang ramai mengenai program GTSP dan memberi jaminan bahawa mereka akan dibantu oleh kakitangan stesen Petron sekiranya berada dalam situasi kecemasan” kata Yong Shiaw Yeou, pengusaha Petron Minintod.
Petron Malaysia merupakan syarikat minyak pertama yang menguatkuasakan GTSP di
stesen-stesen servis. Sejak 2013, semua stesen servis Petron di seluruh negara telah sedia GTSP dan mempunyai pelekat tingkap GTSP telah ditampal pada dinding kaca stesen tersebut.
Kakitangan stesen servis Petron menerima latihan berkala yang dianjurkan oleh Petron bersama PDRM.
Latihan berkala ini adalah untuk memastikan bantuan yang diberikan oleh kakitangan stesen servis sentiasa dikemas kini dan sedia dengan secukupnya untuk menghadapi situasi kecemasan.

Program GTSP di stesen servis Petron menyokong keselamatan sebagai tanggungjawab bersama orang ramai dan kepentingan membantu antara satu sama lain.
Kesedaran ini diperkukuhkan dengan pelancaran 10 reka bentuk mural dan poster keselamatan menggunakan peribahasa Melayu untuk menyampaikan mesej keselamatan kepada orang ramai, di Petron Nilai Impian pada September 2022.
Program ini juga menyokong aspirasi kelestarian sosial Petron tentang penglibatan masyarakat, juga selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari PBB (SDG) 17, perkongsian untuk matlamat tersebut.








































