BMW Malaysia telah memperkenalkan varian M Sport bagi jentera BMW X7, menawarkan pengguna iterasi “The President” serba baharu yang kini lebih berpandukan prestasi.

BMW X7 xDrive40i M Sport baharu menambah rencah dinamik dan keagresifan pada barisan jentera BMW X7 yang sinonim dengan keelegenan dan keluasan.

Dipasang di Malaysia, BMW X7 xDrive40i M Sport turut hadir dengan pakej M Aerodynamics sebagai standard, membekalkan SAV mewah ini iras yang lebih lasak dan garang.

Lalu ia disempurnakan dengan rangkuman set roda 758 M Alloy bersaiz 22 inci, di samping brek M Sport dan garisan eksterior aluminium ‘Individual’.

BMW X7 xDrive40i M Sport – Manhattan Metallic

BMW X7 xDrive40i M Sport baharu dikuasakan oleh enjin enam silinder sebaris dengan pengecas turbo berkembar dan kapasiti 3.0 liter, yang mampu menjana 340 kk serta 250 Nm tork, dan ia digandingkan dengan Transmisi Automatik Sport 8 Kelajuan.

Rangkuman yang menjadi tumpuan dalam BMW X7 juga turut dibawakan oleh varian baharu ini, ia meliputi fungsi Executive Drive Pro, Integral Active Steering dan sistem pacuan semua roda xDrive.

Varian SAV premium terbaharu ini juga mengekalkan konfigurasi tujuh tempat duduk, Bumbung Kaca Panorama, BMW Laserlight, serta BMW Display Key.

Di dalam, BMW X7 xDrive40i M Sport masih membawakan aneka komponen yang diperbuat daripada kaca di konsol sentral, selain sistem bunyi keliling Harman Kardon dan BMW Live Cockpit Professional untuk sentuhan kemewahan – disinambungkan dengan rangkuman stereng berkulit M Sport yang terbaharu.

Trim kayu halus dalam rona hitam yang serba baharu juga boleh dilihat menghiasi ruang kabin.

Harga jualan bagi BMW X7 xDrive40i M Sport baharu dengan Inklusif Servis dan Pembaikan BMW serta Cukai Jualan dan Perkhidmatan (atas jalan, tanpa insurans) ialah: BMW X7 xDrive40i M Sport Baharu RM 728,800.