Kehadiran Oppo sebagai pengeluar jam tangan pintar dilihat satu petanda baik bahawa pasaran peranti ini semakin diterima ramai pengguna di negara ini.
Jika tahun lalu, peranti ini dikenali sebagai Oppo Watch Free, pada tahun ini Oppo tidak mahu ketinggalan memperkenalkan jam pintar terbaharu, Oppo Band 2 yang diberikan beberapa penambahbaikan.
Setiap jam ini pula memiliki ciri pintar tersendiri yang menjadi mercu tanda dalam membezakannya dengan pesaingnya dan tidak hanya mempertaruhkan sekadar jenama semata-mata.
Oppo Band 2 hadir dengan saiz sebesar 45mm dan berat hanya 33 gram manakala skrin AMOLED bersaiz 1.57-inci bersama kepadatan piksel 500nits digunakan dalam muka jam berbentuk segi empat memanjang.
Prebiu.com yang diberi peluang membuat ulasan ‘pandang pertama’ jam pintar ini cukup teruja melihat kekemasan kotak jam serba putih yang lengkap dengan wayar pengecas dan dua buku panduan dalam pelbagai bahasa.
Rekabentuk
Oppo Band 2 menampilkan panel kaca 2.5D melengkung yang kalis calar dan tali jam yang diperbuat daripada silikon yang tahan lasak.
Sekali pandang, rekaan jam pintar ini kelihatan mewah apabila dihiasi saduran warna kelabu kusam pada bingkainya dan sesuai digayakan sesiapa sahaja apatah lagi warna tali jam tangan hitam ini amat padan dengan pemakainya.
Meskipun jam ini hanya seberat 20 gram dengan berat keseluruhan bersama tali jam ialah 33 gram, tidak terasa beratnya dan amat selesa memakainya disebabkan rekaan talinya tidak melekat pada kulit.
Tali jam kali ini sama seperti tali jam tangan konvensional sekali gus memberikan keselesaan kepada pemakainya.
Kotak jam kali ini lebih kecil dan bersegi empat berbanding Oppo Watch Free yang hadir dengan kotak bersaiz panjang.
Peranti ini didatangkan dalam dua pilihan warna iaitu hitam (midnight black) dan biru (baby blue), dilengkapi rekaan jam tangan bermuka segi empat tanpa sebarang butang fizikal padanya.
Untuk menatal paparan skrin pada jam ini hanya perlu menekan sekali pada permukaan jam dan kesemua ciri tetapan boleh dilakukan dengan mudah.
Dari segi fungsi, penjejak menyokong lebih daripada 100 mod sukan terbina yang merangkumi larian, berenang dan paling menarik terdapat lima jenis data bagi mod tennis profesional boleh direkodkan sepanjang penggunaan peranti ini.
Antara lima data itu termasuk jenis strok pukulan, durasi aktiviti, degupan jantung dan tahap pembakaran kalori.
Ciri Pintar
Ciri pemantauan kesihatan lain turut disokong seperti kadar degupan jantung, pola tidur dan sebagainya.
Cip pemprosesan Apollo 3.5 dengan memori 8MB PSRRAM dan storan 128MB Nand turut disertakan.
Oppo Band 2 mempunyai paparan skrin bersaiz 1.64-inci AMOLED dengan resolusi 256 x 402 piksel.
Menurut Oppo, ia juga menyokong sehingga 150 pilihan muka jam yang boleh diubah mengikut kesesuaian dan gaya pemakai, malah salah satu ciri muka jam membolehkan anda meletakkan gambar sendiri atau sesiapa sahaja. Canggih bukan!
Spesifikasi lain termasuk bateri 200mAh dengan ketahanan maksimum 14 hari, kemampuan kalis air 5ATM (50 meter), bluetooth 5.0 dan sebagainya.
Anda hanya perlukan masa mengecas 5 minit untuk penggunaan bagi tempoh 24 jam manakala 60 minit diperlukan untuk pengecasan selama 14 hari.
Pelbagai fungsi
Jam pintar ini dilengkapi pelbagai ciri terkini antaranya, notifikasi mesej, panggilan masuk, menolak panggilan, penggera jam, kawalan muzik dan ciri mencari telefon.
Oppo Band 2 ini juga akan merekod secara automatik apabila mengesan sebarang pergerakan oleh pengguna apabila melakukan senaman dikenali sebagai ciri Smart Recognition Modes dengan lebih 100 mod senaman disediakan.
Kesimpulan
Jam pintar ini akan dilancarkan di pasaran Malaysia tidak lama lagi dan harganya belum diketahui lagi namun difahamkan ia bakal dijual pada harga yang mampu milik. Nantikan laporan penuh reviu peranti ini di Prebiu.com.