Ramai yang bertanya apa kelebihan menggunakan telefon pintar dengan skrin lipat terbaharu Samsung Galaxy Z Flip4 ini? Adakah ia mudah, praktikal atau hanya mementingkan gaya semata-mata.

Persoalan ini begitu subjektif untuk dijawab kerana ia bergantung kepada pelbagai pandangan kerana ada yang lebih gemar telefon pintar yang konvensional dimana paparan skrin sudah sedia terbuka.

Namun, jika diimbau kira-kira lebih 15 tahun lalu, telefon skrin lipat ini bukannya sesuatu yang baru kerana sebelum ini pernah telefon seperti ini diciptakan tetapi bukannya skrin penuh tetapi skrin separuh dengan selebihnya ialah papan kekunci nombor.

Antara perintis telefon lipat pada era tahun 2000 itu ialah Motorola Razr yang pertama kali diperkenalkan pada 2004 dan pernah menjadi ikon serta kegilaan ramai satu ketika dahulu.

Justeru, tidak hairanlah anak-anak muda kini memilih telefon dengan skrin lipat sebagai pilihan kerana saiz yang kompak, trendy dan memiliki gaya tersendiri yang mahukan kelainan luar daripada kebiasaan.

Revolusi Hideaway Hinge, yang diperkenalkan pertama kali pada Galaxy Z Flip, membolehkan peranti kekal berada pada kedudukannya di sebarang sudut untuk pengalaman pengguna yang inovatif dengan mod Flex.

Nah…apa yang menarik pada ciri telefon lipat ini sebenarnya? Salah satu ialah ciri FlexCam. Ia adalah ciri yang membolehkan aplikasi kamera peranti dan penggunaan kamera pada Facebook, Instagram dan WhatsApp dikawal tanpa menggunakan tangan.

Menerusi ciri ini juga, pengguna bebas menyerlahkan kreativiti masing-masing untuk mengambil gambar atau merakam video daripada pelbagai sudut menarik tidak kira seorang diri atau berkumpulan.

Dengan adanya ciri ini, pengguna juga tidak lagi memerlukan aksesori tambahan seperti tripod atau pemegang peranti kerana semuanya boleh dilakukan dengan Samsung Galaxy Z Flip4 sahaja.

Kelebihan Skrin Kedua

Apa yang membezakan Samsung Galaxy Z Flip4 dengan telefon konvensional ialah peranti ini mempunyai skrin kedua di luar yang digelar sebagai Cover Screen yang kini menyokong pelbagai mod rakaman berbeza seperti sudut ultra-lebar, mod potret atau terus rakaman video dengan kawalan gestur yang sangat ringkas.

Cover Screen turut membantu pengguna untuk melihat sama ada sudut pandangan yang diingini sudah cukup baik atau perlu diubah.

Apabila peranti berada dalam mod lipatan separa atau berbentuk “L”, pengguna boleh pegang peranti seakan memegang perakam video dan merakam video pada kualiti yang tinggi yang telah dioptimasikan untuk terus dikongsi pada tiga platform media sosial tadi.

Jika pengguna ingin menggunakan aplikasi kamera Samsung, terus buka peranti pada sudut 75 darjah atau 115 darjah dan tekan butang Quick Shot hanya dua kali klik pada kekunci kuasa untuk mula merakam atau mengambil gambar terus dari skrin penutup.

Kamera utama pada bahagian belakang adalah kombinasi 12+12 MP f/1.8+f/2.2 (sudut lebar dan ultra sudut lebar) dan kamera swafoto pula sebesar 10 MP f/2.4. Kamera utama menggabungkan lensa sudut lebar f/1.8 dan lensa ultra sudut lebar f/2.2 dengan dilengkapi sistem OIS.

Ciri Mod Flex

Mod Flex pada Samsung Galaxy Z Flip4 turut tidak terhad kepada penggunaan aplikasi media sosial sahaja. Ia juga telah dihubungkan secara pintar untuk kegunaan kerja dan hiburan.

Misalnya, jika anda seorang yang aktif di media sosial dan mahu berkongsi pengalaman bersama pengikut-pengikut anda, gunakan sahaja Facebook live atau aplikasi TikTok untuk membuat sebarang reviu dengan mudah.

Jika mahu membuat panggilan video atau Google Meet, gunakan sahaja ciri Live Sharing dan untuk menonton filem bersama dengan meletakkan peranti di permukaan rata dan saksikan bersama-sama rakan lain.

Kelebihan Mod Flex ini membolehkan anda sentiasa bersedia pada bila-bila masa untuk menghadiri persidangan atau mesyuarat secara maya di mana-mana sahaja tanpa perlu mencari tripod atau pemegang telefon. Mudah bukan!

Kesemua ciri dan fungsi ini disokong oleh perisian One UI 4.1.1 yang digunakan dibina berasaskan Android 12L dan memuatkan pelbagai ciri produktiviti sekali gus melancarkan tugasan harian anda.

Spesifikasi

Skrin boleh lipat peranti ini sebesar 6.7″ Dynamic AMOLED 2X menyokong kadar segar semula 120Hz secara adaptif lengkap dengan lapisan kaca Ultra Thin Glass (UTG) generasi terbaru.

Bagaimanapun, skrin di luar pula adalah bersaiz 1.9″ Super AMOLED yang agak kecil tetapi cukup memadai untuk merakam gambar atau memaparkan mesej atau notifikasi.

Skrin peranti ini turut menyokong mod HDR10+ untuk aplikasi seperti Netflix dan YouTube. Kandungan nampak terang dan jelas ketika digunakan untuk tempoh masa yang pendek.

Kesimpulan

Samsung Galaxy Z Flip4 pula boleh dibeli di Malaysia pada harga bermula RM4,099. Samsung menawarkan pilihan warna Bora Purple, Graphite, Pink Gold dan Blueatau Bespoke Edition dengan panel yang warnanya boleh dipilih oleh pembeli sendiri (hanya di Samsung.com).

Pada peranti terbaharu Samsung ini menawarkan rekaan yang lebih rata, padat dan nipis berbanding model terdahulu.

Peranti juga menggunakan engsel yang sedikit lebih nipis dengan rasa selesa, tidak licin, dan secara keseluruhan terasa lebih kukuh ketika dipegang pada setiap masa.

Menggunakan peranti ini anda akan sentiasa menjadi perhatian ramai kerana ia berbeza berbanding telefon pintar yang konvensional lain, nampak bergaya, mudah dan praktikal dibawa ke mana-mana sahaja.

Bagi anda yang tidak mahu membebankan kocek seluar atau beg tangan (untuk wanita) dengan peranti yang besar khususnya ketika bersukan atau beriadah seperti berjogging atau berbasikal, peranti ini mungkin pilihan terbaik untuk dimiliki.

Bagaimanapun, pada tanda harga RM4,099 peranti ini dilihat mempunyai kelas tersendiri.  Tepuk Dada Tanya Selera!

Harga Jualan Samsung Galaxy Z Flip4

RM4,099 (8/128GB)
RM4,399 (8/256GB)
RM4,899 (8/512GB)
RM4,599 Bespoke Edition (8/256)