Berdasarkan tinjauan terbaru perunding pengambilan professional dunia Robert Walters, fenomena perletakan jawatan besar-besaran atau dikenali sebagai ‘Great Resignation’ yang banyak dilaporkan sebelum ini dilihat tidak terlalu menyerlah di Asia Tenggara.

Golongan professional di rantau ini menghargai jaminan pekerjaan ketika waktu-waktu yang tidak menentu, dengan lebih separuh (59%) menyatakan mereka tidak selesa untuk berhenti kerja tanpa tawaran kerja baru, dan 81% daripada jumlah itu yang terfikir untuk meletakkan jawatan sanggup menukar fikiran jika keadaan membenarkan.

Selain daripada jaminan pekerjaan, profesional di Malaysia menghargai pakej gaji yang tinggi, kepimpinan yang baik dan budaya tempat kerja yang sihat. Ini merupakan faktor-faktor yang mampu mengekalkan bakat.

Menggajikan bakat baharu kekal menjadi cabaran di Asia Tenggara, terutamanya di Malaysia yang menyaksikan 83% syarikat mengalami kesukaran untuk berbuat demikian pada tahun lalu.

Salah satu cabaran besar untuk menggajikan pekerja adalah jangkaan tinggi terhadap gaji dan manfaat , dengan kadar 66%.

Ini merupakan antara dapatan utama tinjauan Robert Walters Great Resignation Reality Check yang merumuskan pandangan lebih 2,600 profesional dan lebih 1,100 syarikat, untuk lebih memahami sikap terhadap peletakan jawatan, situasi pemberhentian dan mendalami motif pekerja yang kekal bekerja.

Ia dijalankan pada Jun 2022 dan menjangkau enam negara Asia Tenggara (Singapura, Malaysia, Filipina, Thailand, Indonesia dan Vietnam).

Menukar kerja berbanding berhenti

Sementara 79% profesional yang ditinjau di seluruh Asia Tenggara berniat untuk meletak jawatan pada 2021, hampir separuh (42%) tidak berbuat demikian.

Malaysia menyaksikan profesional paling ramai (82%) yang terfikir untuk berhenti kerja pada tahun lalu, diikuti Singapura (80%) dan Thailand (80%). Bagaimanapun, 62% profesional di Malaysia tidak akan berhenti kerja tanpa peluang yang lebih baik, meletakkan Malaysia satu kedudukan di belakang Singapura (64%).

Bisnes boleh menjangkakan pasaran kerja yang menggalakkan di seluruh Asia Tenggara pada tahun akan datang, berbanding fenomena perletakan jawatan besar-besaran.

Golongan profesional tidak akan berhenti kerja begitu sahaja, sebaliknya mereka mencari peluang menukar kerja. Berdepan dengan kemungkinan kemelesatan ekonomi,
kami menjangkakan profesional akan lebih berhati-hati, dan hanya akan tukar kerja jika ada tawaran kerja lain,” kata Gerrit Bouckaert, Pengarah Urusan Robert Walters Asia Tenggara.

Malaysia: Budaya kerja positif termasuk pimpinan yang baik, jadual kerja fleksibel sangat dihargai oleh pekerja

Daripada 82% profesional di Malaysia yang terfikir untuk meletak jawatan tahun lalu, 39% akhirnya kekal kerana tidak menjumpai kerja baru (58%), tidak yakin dengan budaya dan kesesuaian tempat kerja baru (26%) dan risau mengenai jaminan pekerjaan di syarikat baru (25%).

Kira-kira 4 dalam 5 profesional (81%) akan mempertimbangkan niat mereka untuk letak jawatan jika keadaan bersesuaian. Kenaikan gaji terus menjadi faktor penentu utama, perubahan tanggungjawab kerja (26%), dan perubahan kepimpinan (24%) menjadi faktor lain yang penting membuatkan mereka menukar fikiran.

Oleh itu, majikan telah meningkatkan usaha dengan mengambil langkah yang perlu untuk mengekalkan pekerja, seperti memadankan atau meningkatkan gaji (58%), menawarkan latihan dan peluang menambah kemahiran (56%), dan menyediakan jalan untuk pembangunan kerjaya (44%).

Bagaimanapun, hampir separuh profesional (45%) menyebut mereka tidak sedar akan perubahan yang dibuat oleh majikan, menandakan jurang dalam inisiatif mengekalkan pekerja oleh majikan.

86% professional juga mendedahkan mereka telah menilai semula lain-lain aspek kehidupan apabila tiba soal kerjaya, yang mana mereka mengutamakan kesihatan mental dan fizikal (76%).

Aspek lain termasuklah masa bersama keluarga (70%), dan makna/kepuasan kerja (68%). Ini selari dengan dapatan tahun ini oleh Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia, yang mendapati bahawa ramai majikan kini mengamalkan jadual kerja fleksibel untuk
memenuhi keperluan pekerja yang semakin berubah, antaranya keseimbangan antara hidup dan kerja serta kesihatan emosi.

Selain daripada fleksibiliti kerja, rakan kerja dan budaya yang memberi inspirasi kepada pekerja ialah dua perkara yang paling dihargai dalam satu-satu majikan (43%). Perkara ini diletakkan lebih tinggi berbanding kompensasi dan manfaat pekerjaan (41%).

Dapatan lain termasuk:

● Selain jangkaan gaji dan manfaat (66%), persaingan untuk calon (55%) dan kurang pengalaman industri (44%)
menjadi cabaran terbesar majikan apabila menggajikan pekerja.

● 87% syarikat menganggarkan pemberhentian kerja/perletakan jawatan dalam organisasi mereka meingkat
pada tahun lalu.

Ai Rene Tan, Pengurus Robert Walters Malaysia berkata:

“Pengalaman positif pekerja sangat penting dalam suasana pekerjaan hari ini. Menyedari dan mengiktiraf bakat, jaminan kerja dan memenuhi keperluan pekerja untuk kesejahteraan yang lebih baik adalah penting untuk menarik dan mengekalkan bakat.

Kepimpinan yang baik dan budaya kerja positif juga memberi kesan dalam menggajikan
bakat-bakat baru.”