Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Negeri Terengganu Dato Dr Mustapha Ahmad Marican menyarankan agar pelajar senior di sekolah bersama-sama membantu pelajar yang lebih junior bagi menggelakkan kes buli di sekolah.

Beliau yang juga Profesor Adjung Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berkata, pelajar senior harus menunjukkan sikap yang penyayang dan saling menghormati kepada pelajar lain.

“Mereka harus menjadi ‘abang dan kakak’ kepada pelajar junior dan bukannya bersikap kasar atau membuli pelajar junior.

“Bagaimanapun, sekiranya ada kes tertentu membabitkan buli, jangan tunggu dan laporkan segera kepada guru sekolah. Guru sekolah dan kakitangan juga memainkan peranan melindungi murid-murid sama ada di dalam atau di luar sekolah sehinggalah pelajar ini pulang ke rumah masing-masing,” katanya ketika memberikan motivasi kepada 40 murid tahun 6 dari Sekolah Kebangsaan Felda Cherul, Kemaman, Terengganu.

Hadir sama Guru Besar Rafidah Setapa, guru-guru ,wakil pejabat pendidikan negeri dan wakil DinMega, Mohd Syarifuddin M Tajudeen.

Program kesedaran ini bagi memupuk semangat kekeluargaan, kerjasama dan cegah Jenayah selari dengan konsep “Keluarga Malaysia”.

Mustapha turut menyampaikan peringatan agar murid-murid menjauhi dari orang tidak dikenali dan berjalan secara berkumpulan di luar sekolah.

Beliau berkata, sekolah mesti menjadi kawasan paling selamat dari sebarang anasir jenayah khususnya kepada murid-murid.

Sementara itu, ibu bapa juga perlu memainkan peranan agar tidak mudah menunding jari kepada pihak sekolah dan apabila anak mengadu, ia perlu disemak dan disiasat terlebih dahulu oleh pihak sekolah.

“Ketika ini, banyak perkara diviralkan di media sosial dan kita tidak harus mudah percaya dan siasat dahulu kebenaran sesuatu laporan. Kalau tidak pasti jangan kongsi.

“Kita kena wujudkan konsep kerjasama dan harmonikan keadaan dengan cara hidup bermasyarakat. Pelbagai aktiviti boleh dirancang bersama menerusi pembabitan beberapa pihak seperti persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG), Polis Diraja Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) atau lain-lain agensi berkaitan,” katanya.

Dr Mustapha berkata, pihak MCPF juga bersedia bekerjasama dengan pihak yang memerlukan bantuan termasuk pusat pengajian tinggi, pertubuhan belia, pusat tahfiz dan persatuan penduduk dan usaha melahirkan masyarakat bebas jenayah.