Memang tidak sah bagi Samsung jika tidak memperkenalkan fon telinga nirwayar terbaharu setiap kali peranti terkini diperkenalkan.

Inilah yang berlaku dalam dunia teknologi masa kini yang pantas berubah. Ini adalah fon telinga terbaharu Galaxy Buds2 Pro yang dilancarkan bersama-sama dengan siri model telefon pintar Samsung Z Fold4 dan Z Flip4.

Apa yang menarik dengan fon telinga kali ini ialah rekaannya lebih kompak dan dikatakan 15 peratus lebih kecil berbanding generasi sebelum ini manakala rekaan putik audio adalah dari jenis dalam telinga dengan dibekalkan penyumbat silikon.

Rekaan Luaran

Fon telinga pada kali ini dibaluti dengan warna kusam atau matte berbanding krom pada Galaxy Buds Pro yang diperkenalkan pada tahun lalu.

Begitu juga dengan pod pengecas fon telinga yang sedikit kesat dipegang memudahkan anda mengenggamnya berbanding bekas terdahulu yang agak licin.

Ciri kemaskini ini lebih baik apabila mod Ambience yang membenarkan audio dari luar didengari tanpa fon telinga ditanggalkan. Tidak ketinggalan, ia juga mempunyai ciri 360 Audio dengan Direct Multi-Channel terbina dengan ciri Surround Sound untuk pengalaman audio maya daripada kesemua arah.

Rekaan aerodinamik fon telinga ini yang ditingkatkan dengan ciri pergerakan angin menjadikan pemakaiannya lebih selesa dan mudah dipakai.

Selain dilengkapi ciri pembatalan hingar aktif (ANC) sebagaimana model terdahulu, ciri ini sekali gus memudahkan pengguna mendengar dengan lebih jelas bunyi dihasilkan seakan bunyi dalam teater.

Ciri ANC ini juga boleh mengesan secara aktif apabila anda sedang bercakap, sekaligus mengawal kadar bunyi audio pada fon telinga secara automatik.

Ciri tukaran auto pula membolehkan fon telinga ini mengubah sambungannya sama ada kepada tablet atau telefon apabila diperlukan. Misalnya, apabila anda sedang menggunakan fon telinga ini yang ketika itu disambungkan kepada tablet untuk menonton wayang akan tiba-tiba beralih kepada telefon apabila menerima panggilan.

Sebaik sahaja anda sudah habis bercakap, fon telinga ini akan bersambung semula kepada tablet secara automatik tanpa perlu anda menekan kepada skrin. Hebat bukan!

Sambungan kepada Bixby

Selain itu, anda boleh terus bercakap ‘Hi Bixby’ untuk mengeluarkan arahan seperti membuat panggilan telefon, menukar muzik dan banyak lagi tanpa perlu menekan skrin. Anda juga boleh menukar sambungan antara peranti Samsung lain dengan menyebut nama peranti dan juga mengaktifkan ciri ANC atau mod Ambient.

Apa yang menarik ialah semua fungsi kawalan kepada fon telinga ini dapat dilakukan dengan mudah pada peranti telefon anda.

Dengan bateri berkapasiti 515mAh, spesifikasi atas kertas peranti ini mampu berfungsi selama 29 jam dengan ciri ANC yang dimatikan sebelum perlu dicas.

Ciri Terkini

Ia kemudiannya berkurang kepada 18 jam dengan sokongan ANC yang diaktifkan. Codec yang disokong pula ialah Samsung Seamless Codec HiFi, AAC dan SBC. Samsung turut menyertakan ciri kalis air IPX7 bersama-sama dengannya yang menjamin ia kalis peluh.

Satu lagi ciri menarik ialah anda boleh mengesan kedudukan fon telinga ini jika ia tercicir atau anda terlupa kali terakhir anda meletakkannya. Hanya perlu buka aplikasi SmartThings dan aktifkan butang mencari fon telinga.

Galaxy Buds2 Pro akan menghasilkan bunyi beep dengan jelas dan jika dalam mod Offline, anda masih boleh mencari lokasi terakhir fon telinga ini digunakan walaupun ia tidak lagi disambungkan kepada peranti anda.

Proses menambat bluetooth adalah mudah pada peranti Samsung. Buka pod pengecas dan ia akan dikesan terus dengan proses mengambil masa sekitar 10 saat bergantung kepada kelajuan Internet.

Pengguna sistem operasi lain pula boleh mengaktifkan pairing mode dengan menekan kedua-dua pad sesentuh Bud2 selama tiga saat. Pergi ke skrin tetapan bluetooth untuk menambat. Selepas itu TWS boleh digunakan tanpa masalah.

Cara paling mudah bagi pengguna Android dan PC ialah memuat turun aplikasi Samsung Wearables kerana pelbagai ciri seperti mengkustomasi pad sesentuh, mematikan pad sesentuh, Earbuds Fit Test dan Labs boleh diakses dengan mudah.

Kesimpulan

Memiliki sepasang fon telinga Galaxy Buds2 Pro ini memang mengujakan dan menyeronokkan khususnya kepada anda yang sememangnya aktif mendengar alunan muzik tanpa gangguan.

Selain rekaannya yang cukup menarik dan unik dengan citarasa golongan muda atau dewasa masa kini, anda tentunya kelihatan ‘trendy’ di mana sahaja anda berada.

Memiliki fon telinga terbaru ini dianggap berbaloi untuk sesiapa sahaja yang mahu mencari kelainan atau kelihatan menonjol di kalangan rakan-rakan.

Ciri ketersambungan peranti ini secara auto kepada peranti lain seperti telefon pintar, tablet hingga kepada televisyen menjadi satu kelebihan kerana fon telinga ini akan memberi notifikasi kepada peranti yang hendak disambungkan.

Untuk harga, Samsung Galaxy Buds2 Pro ditawarkan pada RM899 dengan pilihan warna seperti Graphite, White dan Bora Purple. Bagi yang berminat, sesi pratempah telah dibuka bermula sekarang dengan hadiah percuma berupa kerangka fon telinga bernilai RM99 yang diberikan secara percuma.