Sejak pengenalannya, Isuzu D-Max serba baru telah mencuri perhatian ramai dengan gabungan intipati, kemewahan dan kemampuannya untuk tampil dengan penawaran menyeluruh yang lengkap dalam dunia trak pikap.
Pencapaian sebagai pemenang pelbagai anugerah trak tahunan terbaik membuktikan kekuatannya sebagai ikon rekaan dan layak mendapat layanan karpet merah sebagai kenderaan rasmi KL Fashion Week (KLFW) 2022.
Tema KLFW 2022 tahun ini, “The Bigger, The Better” sangat bersesuaian dengan imej Isuzu D-Max generasi ketiga dan memperluaskan lagi dimensi pilihan bagi penggemar gaya hidup yang mencari kelainan yang berada di luar kebiasaan untuk memenuhi minat dan keperluan mereka.

“Dengan rekaan canggih, kelengkapan penuh serta kemampuan untuk melakukan apa jua di mana saja, Isuzu D-Max mencabar norma kebiasaan dan membolehkan anda untuk mengukir memori tersendiri dengannya.
“Bersama KLFW, kami ingin membawakan rekaan imaginatif yang mengilhami ini selangkah lagi ke hadapan dan untuk dikongsi bersama khalayak,” kata Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Kenkichi Sogo.
Sebagai penaja Kenderaan Gaya Hidup Terulung untuk acara berkenaan, Isuzu D-Max X-Terrain mempamerkan identitinya yang tersendiri, suatu perkara yang telah menjadikannya sebuah kenderaan urban dengan daya tarikan tersendiri, lengkap dengan pelbagai kemampuan lain termasuk off-road.

Trak pikap ini berbangga dengan ciri canggihnya yang membantu memudahkan pengguna di bandar. Ini termasuklah peninjau 360-darjah, pengecas telefon tanpa wayar, sambungan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar serta ciri Sistem Bantuan Canggih Pemandu.
Semua ini membolehkan Isuzu D-Max X-Terrain mengubah tanggapan umum terhadap sebuah trak pikap dan menjadikannya kenderaan gaya hidup dalam persekitaran urban yang menawan.
Isuzu D-Max X-Terrain akan ditampilkan dalam acara KLFW tahun ini yang akan bermula pada 15 hingga 21 Ogos 2022 di Pavilion Kuala Lumpur. Tiga unit Isuzu D-Max X-Terrain akan dipamerkan di pusat ibu kota — unit dalam warna Valencia Orange yang mewakili sisi kembara menyeronokkan; unit Onyx Black yang menonjolkan sisi premium dan gayanya; dan juga unit Silky Pearl White yang mencerminkan kompleksiti dan kepintarannya.
Temui kesemuanya di laluan pejalan kaki utama di pusat Kuala Lumpur—satu di ruang legar air pancut Pavilion, satu di laluan penghubung ke Quivio dan satu lagi di seberang jalan di hadapan Fahrenheit.