“Kak! Boleh bayar guna kad atau online, tak?”
“Alamak kak, saya kurang cash. Boleh bayar online ke?”
“Kalau tak boleh bayar online, saya cancel ya kak, sebab saya tak ada cash”

Pernahkah anda mendengar luahan pelanggan seperti di atas? Pembayaran dalam talian merupakan kaedah pembayaran yang semakin diterima pakai oleh setiap pengguna pada masa kini.

Sistem e-pembayaran merupakan kaedah melakukan bayaran transaksi barangan dan perkhidmatan melalui sistem pembayaran elektronik atau sistem pembayaran dalam talian (Jurnal Ringgit, 2019). Kaedah ini bukan sahaja memudahkan pengguna, malah ia lebih selamat untuk digunakan dalam urusan jual beli.

Kini, perniagaan yang tidak menggunakan saluran elektronik sebagai salah satu kaedah pembayaran dalam urusan jual beli akan dianggap ketinggalan dan berpotensi untuk kehilangan pelanggan.

Oleh itu, peniaga perlu ambil tahu, ambil peduli dan faham mengenai keperluan dan faedah penggunaan saluran elektronik ini kerana ia amat penting demi kelestarian perniagaan mereka.

5 Faedah E-Pembayaran dalam Perniagaan:

1. Transaksi Pembayaran Segera

Semua urusan jual beli dapat dilaksanakan dengan lebih pantas berbanding dengan kaedah pembayaran konvensional.

Transaksi pembayaran boleh dilakukan di setiap kawasan/tempat bersama peranti yang mempunyai akses internet untuk menghubungkan anda dengan setiap platform e- pembayaran.

2. Tidak Perlu Beratur Panjang

Salah satu sebab utama pelanggan membatalkan niat mereka untuk membeli produk anda adalah apabila mereka perlu beratur panjang untuk membuat pembayaran. Maka, transaksi pembayaran dalam talian akan memudahkan pelanggan untuk membuat pembelian yang mudah, cepat, dan selesa tanpa perlu berebut-rebut.

3. Proses Pembayaran yang Lebih Selamat

Membawa wang tunai dalam jumlah yang banyak akan mendedahkan pelanggan kepada risiko kecurian atau kehilangan. Pembayaran dengan menggunakan wang digital adalah lebih selamat berbanding dengan wang tunai kerana setiap transaksi e-pembayaran yang dilakukan memerlukan kata laluan keselamatan untuk melengkapkan proses pembelian.

Anda tidak perlu mendedahkan data peribadi anda kepada pihak ketiga. Transaksi e- pembayaran dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan seperti Kod Pengaktifan Transaksi (TAC), Kata Laluan, dan sebagainya.

4. Menggunakan Teknologi Terkini

Sebagai seorang peniaga, mengikuti peralihan teknologi menjadi keutamaan dalam mengembangkan perniagaan. Secara purata, setiap individu di Malaysia membuat sebanyak 170 transaksi e-pembayaran dalam setahun pada tahun 2020 berbanding dengan 50 transaksi pada tahun 2019 (Jurnal Ringgit, 2019). Peningkatan ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia lebih suka menggunakan pembayaran dalam talian untuk membuat transaksi jual beli.

5. Memudahkan Peniaga Menjejaki Rekod Transaksi

Transaksi pembayaran dalam talian membolehkan maklumat pembelian dan harga jualan direkod secara automatik ke dalam sistem. Ini akan memudahkan peniaga untuk membuat kira-kira hasil jualan, untung rugi, dan juga menjejak aliran tunai perniagaan pada satu-satu masa.

Komen daripada PENIAGA yang telah menggunakan e-pembayaran dalam perniagaan:

“Transaksi juga sangat efektif sebab bayaran memang boleh masuk terus ke dalam akaun saya apabila pengguna hanya mengimbas kod bar gerai saya,” (Sinar Harian, 2020)

“Ramai yang sudah jadikan kaedah ini sebagai cara untuk membuat bayaran,” (Sinar Harian, 2020)

“Mereka hanya perlu semak dan imbas kod produk menggunakan telefon masing- masing dan tidak perlu bawa wang tunai terlalu banyak,” (Sinar Harian, 2020)

“Rasa selamat sikit kalau duit tidak banyak di kaunter kerana kita tidak tahu apa akan jadi, kawasan ini jika jam 9 malam ke atas sedikit sunyi, boleh jadi sasaran penjenayah,” (Berita Harian, 2020)

Komen daripada PELANGGAN yang telah menggunakan e-pembayaran:

“Saya suka kaedah ini sebab selalunya kalau nak guna kad kredit atau kad debit kita kena pergi pasar raya atau kedai makan yang besar-besar tetapi sekarang di gerai pun kita boleh gunakan kaedah pembayaran tanpa wang tunai,” (Sinar Harian, 2020)

“Bagi urusan beli barang atau makan, jika kedai itu terima kad debit atau e-wallet saya akan gunakan,” (Berita Harian, 2020)

“Sejak mula guna kad debit empat atau lima tahun lalu dan e-wallet kira-kira setahun lalu, dalam poket saya paling banyak ada antara RM50 hingga RM100 sahaja, itu pun untuk kecemasan.” (Berita Harian, 2020)

Maka, penggunaan kaedah e-pembayaran sudah menjadi keutamaan bagi setiap perniagaan masa kini. Ia bukan hanya memudahkan pengguna, malah lebih selamat serta membantu mengembangkan perniagaan yang dimiliki. Untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya, anda perlu berani membuat perubahan, bersifat dinamik dan sentiasa mencari peluang serta ruang untuk meningkatkan prestasi perniagaan anda.

Bertindaklah sekarang agar perniagaan anda terus berdiri teguh dan berkembang maju. Usahawan yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut tentang e-pembayaran, contoh aplikasi atau platform, kelebihan serta manfaat menggunakannya dalam perniagaan, boleh mengikuti modul ‘Digitalisasi Perniagaan Melalui E-Pembayaran’ di AKPK. Untuk membuat tempahan bagi mengikuti webinar ini, sila layari https://obs.akpk.org.my/

AKPK menyediakan perkhidmatan Pendidikan Kewangan yang boleh dimanfaatkan oleh semua individu isi rumah mahupun Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS).

Perkhidmatan ini boleh diakses daripada laman web power.akpk.org.my yang menyediakan pelbagai modul pendidikan kewangan serta laman web ask.akpk.org.my untuk pelbagai bahan pembelajaran kewangan— semuanya tersedia secara dalam talian. Kami juga mengalu-alukan mana-mana organisasi yang berhasrat menjemput kami untuk memberikan taklimat pengurusan kewangan kepada kakitangan mereka.

Selain itu, AKPK juga memberikan khidmat nasihat kewangan kepada mereka yang menghadapi masalah dalam bayaran balik pinjaman serta menawarkan bantuan melalui Program Pengurusan Kredit (PPK) untuk individu, dan Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil

(SPPK) untuk PKS dan perusahaan mikro. Melalui program dan skim ini, AKPK membantu untuk membuat rundingan dengan pihak bank atau pemberi kredit untuk menstrukturkan semula bayaran balik pinjaman dan merumuskan satu pelan bayaran balik pinjaman/pembiayaan baharu mengikut kemampuan semasa peminjam/pelanggan.

Jika anda memerlukan pelan penyelesaian pengurusan kewangan yang holistik, dapatkan terus daripada AKPK SECARA PERCUMA—TANPA EJEN. Layari services.akpk.org.my untuk mengakses perkhidmatan AKPK dengan menghantar borang dalam talian yang telah dilengkapkan untuk dihubungi oleh penasihat kewangan AKPK.

Semua khidmat nasihat kewangan dan pengurusan kredit kami adalah percuma dan kami tidak pernah melantik ejen atau pihak ketiga untuk berurusan bagi pihak kami. Berhubunglah terus dengan AKPK dan jangan terpedaya dengan panggilan atau tawaran pihak ketiga yang mendakwa sebagai kakitangan AKPK atau menawarkan perkhidmatan dengan bayaran/caj tambahan.

Untuk sebarang maklumat tentang pengurusan kewangan termasuklah panduan dan pautan kepada semua perkhidmatan AKPK, anda juga boleh melayari laman media sosial rasmi AKPK, iaitu @AKPKofficial di Facebook, Instagram, Twitter dan terbaharu di LinkedIn dan TikTok. #AKPKSahabatKewanganAnda