Tahun ini, Sunway Malls (Rangkaian Pusat Beli-Belah Sunway) akan menginjak tahun ke-25 sejak pertumbuhannya meledak dengan pembukaan Sunway Pyramid di Sunway City Kuala Lumpur (SCKL).

Menarik perhatian setiap individu dengan struktur piramid dan kepala singa yang tersergam indah di perkarangannya, Sunway Pyramid merupakan titik permulaan bagi Sunway Malls sementara ia terus melebarkan sayapnya dengan enam lagi kompleks di seluruh negara, bertapak di rantau utara, selatan, dan bahagian pusat negara Malaysia – termasuk di hati para pelanggan yang mendambakan pengalaman membeli-belah yang menarik.

Sejajar dengan arus kemajuan semasa, serta trend digitalisasi – Sunway Malls baru sahaja memperkenalkan cabang e-dagangnya, Sunway eMall untuk membekalkan pengalaman membeli-belah yang lebih memudahkan khususnya sepanjang dua tahun yang lalu.

Tirai Sambutan Jubli Perak ke-25 dibuka dengan majlis makan malam di bangunan Sunway Resort Hotel yang telah diperbaharui, diadakan sempena detik bersejarah ini dan untuk mengiktiraf para individu yang telah membantu menjadikan sambutan ini sebuah realiti.

Sebuah video merakamkan pencapaian Sunway Malls turut ditayangkan, di samping anjuran majlis penganugerahan buat para peruncit yang telah bersama Sunway Malls selama 25 tahun.

HC Chan, Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Malls & Theme Parks berkongsi,“Bagi Sunway Malls, 25 tahun yang telah kita lalui ini penuh dengan pengalaman yang bermakna dan begitu mengagumkan.

“Kami telah memulakan operasi pada tahun 1997 dengan Sunway Pyramid yang berkeluasan NLA 1 juta kaki persegi. Setakat hari ini, kami telah berjaya membuka 7 pusat beli-belah dengan NLA keseluruhan berjumlah 5 juta kaki persegi. Dari sini, kami berhasrat untuk menggandakan bilangan pusat beli-belah serta NLA tersebut dalam tempoh 5 tahun yang akan datang.”

Sebagai tanda penghargaan buat pembeli-belah atas kesetiaan mereka, Sunway Malls juga bakal mengadakan Acara Penghadiahan Jubli Perak ke-25.

Mengambil tempat di Sunway Pyramid, Sunway Velocity Mall, Sunway Carnival Mall, Sunway Putra Mall and Sunway Big Box Retail Park dari 22 Julai hingga 14 Ogos 2022, acara penghadiahan ini akan meliputi peraduan ‘Spin the Wheel’, yang hanya memerlukan pembeli-belah membelanjakan minimum RM150 dalam dua resit untuk memperoleh satu putaran bagi memenangi aneka hadiah yang ditawarkan.

Pembeli-belah yang berbelanja lagi banyak di pusat-pusat beli-belah ini layak untuk mendapatkan putaran tambahan pada setiap hari, dan Ahli Sunway Pals atau pemegang kad Citi akan memperoleh satu lagi putaran atas perbelanjaan mereka.