Sesuatu yang menarik berlaku pada tahun ini ketika Samsung mengumumkan barisan peranti S22 terbaharu apabila buat pertama kali memperkenalkan model Galaxy S22 Ultra yang mengabungkan ciri Galaxy Note.

Secara kebiasaannya, Galaxy Note hadir secara berasingan tetapi kali ini pengeluaran peranti itu digantikan dengan model S22 Ultra.

Peranti S22 Ultra ini boleh dianggap sebagai peranti paling hebat apabila stylus S Pen disertakan dalam badan peranti ini dengan spesifikasi terbaik antara ketiga-tiga siri S22 yang dilancarkan pada tahun ini.

Ciri menarik lain ialah Samsung S22 Ultra ini dipadankan dengan fungsi kalis air IP68 yang mampu bertahan sehingga kedalaman 1.5 meter untuk tempoh sehingga 30 minit.

Tentu sekali abang sulung memiliki kelebihan tersendiri dan harganya pun boleh tahan!. Ini kerana melihat kepada rekabentuk luaran yang mana badannya diperbuat daripada Gorilla Glass menonjolkan ciri yang lebih premium dan lebih tahan lasak.

Samsung Galaxy S22 Ultra hadir dengan skrin 6.8-inci berukuran 163.3 x 77.9 x 8.9 mm millimeter, WQHD+ Dynamic AMOLED 2x, dijana cip Snapdragon 8 Gen 1 (4nm), memori sehingga 12GB RAM, storan sehingga 512GB, dan bateri 5000mAh.

Rekaan luaran

Rekaan kali ini kelihatan kemas namun masih nampak besar disebabkan fungsi Note yang perlu menawarkan pelbagai fungsi lebih daripada sebuah telefon pintar.

Paling ketara ialah rekaan pada bahagian kamera belakang yang tampil tanpa sebarang bingkai, jelas kelihatan satu persatu lensa foto. Ada yang puji dan ada yang komen tidak begitu sesuai rekaan sebegitu.

Mungkin Samsung ada alasan tersendiri mahu menampilkan kelainan pada peranti ini atau mahu membezakan antara sebuah peranti bercirikan Note. Apa yang penting kena ada kerangka tahan lasak untuk melindungi lensa dan isu habuk yang mungkin timbul.

Samsung kali ini memperkenalkan sistem Vision Booster bagi membolehkan skrin kelihatan lebih terang dengan warna yang tepat di bawah mentari yang terik.

Skrin ini kelihatan cantik, tajam, pantas dan jitu manakala kandungan HDR juga boleh ditonton dengan selesa. Tatalan juga kelihatan lancar dibantu oleh sokongan 120Hz dan sebagai sebuah peranti premium anda tidak perlu bimbang mengenai kualiti visualnya.

Sebagaimana model S22, peranti ini yang dibaluti kerangka aluminium Armour yang kalis calar dan tahan lasak juga menerima sentuhan rekaan baharu Contour Cut Design apabila bahagian bingkai dan bonggol kamera tidak bercantum.

Panel hadapan serta belakang menggunakan Gorilla Glass Victus+ yang dikatakan lebih tahan lasak. Kaca yang digunakan pada panel belakang ini bukan dari jenis berkilat maka tidak mengumpul kotoran dengan mudah.

Agak kecewa kali ini, Samsung tidak menyertakan kerangka ataupun pengecas dengan setiap pembelian maka bersedialah untuk berbelanja lebih.

Seterusnya pada bahagian bawah terdapat kekisi speaker, port USB-C dan slot kad SIM. Slot SIM hanya menyokong dua SIM bersaiz nano tanpa sokongan kad mikro SD.

Di Malaysia storan yang ditawarkan ialah 128, 256 dan 512GB. Jadi pilihan storan yang serasi dengan keperluan peribadi anda perlu dilakukan semasa peranti dibeli.

Cip untuk Android paling berkuasa dipadankan dengan 8/12 GB RAM dan storan sehingga 512GB namun tiada lagi varian dengan 16GB. Bagi mereka yang merasakan penawaran RAM mungkin tidak mencukupi, terdapat ciri RAM Plus yang menambah sehingga 8GB RAM lagi secara maya apabila diperlukan dengan mengambil ruang storan peranti.

Paling ketara pada peranti ini bukannya sahaja saiznya besar tetapi beratnya iaitu 229gram yang mungkin sedikit membebankan kocek seluar anda tetapi dengan ciri dimiliki memberikan satu kepuasan memilikinya.

Kamera hebat

Sudah namanya Ultra tentu sekali peranti ini dilengkapi sistem kamera paling hebat di dunia setakat ini. Banyak penambahbaikan dilakukan pada siri S22 Ultra kali ini.

Peranti ini dilengkapi dengan kuad-kamera belakang gabungan 108MP + 12MP + 10MP + 10MP, sementara kamera swafoto 40MP. Konfigurasi kamera pada Galaxy S22 Ultra kali ini adalah berbeza berbanding tahun lalu kerana penggunaan dua sistem lensa telefoto.

Satu lensa telefoto memberikan zoom optikal sehingga 3X manakala satu lagi memberikan zoom optikal sehingga 10X dengan mekanisme periskop.

Menerusi sistem periskop yang sama, zoom digital Space Zoom mampu merakam gambar sehingga 100X iaitu gambar zoom yang lebih baik dan stabil berbanding model S21 Ultra sebelum ini.

Saiz sensor mungkin kelihatan sama tetapi sebenarnya ditambah baik dengan penggunaan sensor ISOCELL yang dilengkapi saiz sensor lebih besar bagi meningkatkan prestasi fotografi waktu malam.

Paling menarik ialah apabila rakaman video juga menawarkan zoom sehingga 20X dan hasilnya video kelihatan lebih stabil serta tajam.

Ini kerana S22 Ultra kali ini dipadankan dengan sistem Zoom Lock bagi memberikan zoom yang stabil seperti menggunakan tripod walaupun pada tetapan zoom tertinggi. Hasil gambar ini dapat dilihat dibawah apabila penulis merakam gambar bucu Menara Berkembar Petronas KLCC.

Gambar masih kelihatan tajam sehingga 10X dan apabila zoom 30X kualiti gambar masih lagi baik tetapi mula menunjukkan sedikit kurang tajam pada gambar yang diambil menggunakan zoom 100X tetapi objek yang dirakam masih dapat dikenali.

Bagaimanapun, semua ini bergantung kepada jenis gambar yang mahu dirakam. Ketika peranti ini diuji untuk merakam nombor plat kenderaan dari dalam bangunan pada zoom 100X dapat dilihat jelas namun hasilnya amat memadai jika objek yang dirakam adalah bangunan atau sesuatu yang statik.

Boleh guna S-Pen

Samsung kali ini seolah-olah mahu mengangkat martabat Ultra dengan menawarkan ciri sokongan kepada stylus S Pen seakan peranti siri Galaxy Note dan Tab S7. Sokongan S Pen pada peranti ini adalah yang pertama kali diperkenalkan dalam siri telefon pintar Galaxy S.

Kelainan kali ini ialah Samsung menawarkan S Pen yang boleh disimpan di dalam tubuh peranti. Mekanisme spring yang wujud sejak Galaxy Note 5 dikembalikan untuk memudahkan ia dikeluarkan dari tempat simpanan.

Ia kembali boleh ditambat secara bluetooth yang membolehkan ia digunakan untuk mengawal kamera, kawalan peranti dan aplikasi menerusi ciri Air Action.

Jadi, anda boleh menggunakan S Pen ini untuk tujuan apa sahaja seperti mengedit gambar, rakaman video mahupun menulis pada skrin peranti ini dengan mudah.

Perubahan pada perisian pula ialah kemampuan mengesan tulisan tangan untuk diubah kepada teks dengan sokongan lebih 80 bahasa.

S Pen turut menjadi lebih berguna kerana ciri mengubah tulisan tangan kepada teks kini boleh digunakan pada kesemua aplikasi tanpa perlu menekan butang “Handwriting to text” terlebih dahulu pada Samsung Keyboard.

Bateri

Peranti ini dipadankan dengan kuasa bateri 5000mAh dan daripada segi pengecasan pula, kedua-duanya menyokong pengecasan pantas 45W, nirwayar 15W dan Wireless PowerShare (boleh berkongsi bateri dengan peranti lain yang dipadankan dengan ciri ini).

Samsung masih belum bersedia memberikan sistem pengecasan yang lebih pantas untuk siri Galaxy S tahun ini. Seperti pada S21 dan S21+, S21 Ultra juga tidak dijual dengan pengecas serta fon kepala di dalam kotak. Hanya sebuah kabel USB-C ke USB-C sahaja disertakan.

Dari segi sambungan selular pula, rangkaian 5G Sub 6 boleh digunakan dan spesifikasi lain ialah pembesar suara UWB, Dolby Atmos, WiFi 6E, bluetooth 5.1 dan kemampuan kalis air IP68.

Penambahbaikan kepada ciri Nearby Share turut dilakukan. Apabila dipilih pengguna boleh memilih untuk membuang data meta pada gambar yang ingin dikongsi.

Proses membuang data meta adalah semudah menekan butang pilihan sebelum penghantaran Nearby Share dilakukan. Ciri ini lebih mudah berbanding menghantar gambar atau video menerusi bluetooth.

Video animasi untuk latar belakang panggilan individu tertentu juga boleh dihasilkan menerusi sistem AR Emoji.

Ciri lain yang kembali ialah Edge Panels, DeX, sokongan Your Phone pada Windows 10, Multi Window dan Always On Display.

Kombinasi pemproses yang berkuasa pada Ultra ini turut menawarkan saiz RAM yang besar dan skrin 120Hz memberikan pengalaman penggunaan awal yang amat lancar.

Kesimpulan

Menguji peranti Samsung Galaxy S22 Ultra selama beberapa minggu ini, pengguna dapat berasakan banyak penambahbaikan telah dilakukan khususnya ciri kamera dan rakaman video.

Peranti ini cukup selesa dipegang dan bonggol kamera juga tidak terlalu menonjol sesuai dengan ciri premiumnya pada tanda harga lebih RM5,000.

Bagaimanapun, sedikit kecewa apabila kali ini, dengan setiap pembelian set Samsung S22 Ultra ini tidak disertakan dengan set pengecas dan fon telinga dalam kotaknya tetapi hanya kabel disediakan selain tiada sokongan kad mikro-SD tetapi diberikan kapasiti storan sebesar 256GB.

Selain itu, sedikit kelemahan yang penulis alami ialah peranti ini juga menjadi memanas apabila menggunakan kamera dalam masa lama namun ia sudah diatasi serba sedikit apabila tidak lagi menerima notifikasi untuk merehatkan sebentar peranti ini berbanding model terdahulu.

Ciri menarik lain ialah Samsung S22 Ultra ini dipadankan dengan fungsi kalis air IP68 yang mampu bertahan sehingga kedalaman 1.5 meter untuk tempoh sehingga 30 minit namun dinasihatkan tidak menggunakan telefon ini di kolam atau pantai.

Spesifikasi Samsung Galaxy S22 Ultra 5G:

  • 6.8″ Dynamic AMOLED 2X 1440 x 3088, 120Hz, HDR10+, (500 ppi)
  • Samsung Snapdragon 8 Gen 1 (4nm)
  • Samsung One UI 4.1 + Android 12
  • 8/12GB LPDDR5
  • 128/256/512GB UFS 3.1
  • 5000mAh Fast Charging 45W
  • Kamera belakang: 108+12+10+10 Megapixel f/1.8+f/2.2+f/4.9+f/2.4, Zum 100X, Ultra sudut lebar, OIS
  • Kamera depan: 40MP AF f/2.2
  • Pengimbas cap jari bawah skrin Ultrasonik, pembesar suara stereo AKG Dolby Atmos, IP68
  • Warna: Phantom Black, Phantom White, Burgundy, Green
  • Harga:  RM5,099 (8/128GB) / RM5,499 (12/256GB) / RM5,899 (12/512GB)