Selepas kejayaan memperkenalkan peranti Oppo A95 pada tahun lalu, pengeluar peranti terkemuka dari China ini terus agresif pada tahun ini mempertaruhkan peranti terbaru iaitu Oppo A96.
Pengenalan model telefon pintar ini yang bakal dilancarkan tidak lama lagi tampil dengan rekaan bingkai lebih segar khususnya rekaan semula kamera belakang yang kelihatan kemas.
Berbanding model terdahulu yang menggunakan sistem tri-kamera pada A95, model A96 kali ini yang menggantikan model terdahulu hanya dilengkapi dengan dua kamera sahaja dan siap tertera sensor utama 50 Megapiksel pada bingkai kameranya.

Rekabentuk
Rekaan peranti setebal 8.4 mm ini agak menarik kerana menggunakan bingkai logam yang dibulatkan dan dipadankan dengan panel belakang plastik manakala bonggol kamera berbentuk empat segi kelihatan tidak terlalu menonjol.
Paling mencuri perhatian ialah warna refleksi atau berkilau-kilau pada bingkai belakang peranti ini yang sentiasa menjadi tarikan.
Peranti ini juga amat selesa dipegang kerana panel belakangnya menggunakan permukaan plastik yang kasar sekali gus mengurangkan kesan cap jari atau habuk.

Seterusnya, butang kuasa diletakkan pada sisi kanan, sementara itu butang laras audio pula pada sisi kiri.
Terdapat slot untuk SIM pada sisi kiri dengan keupayaan menyokong 2 SIM nano dan satu kad mikro SD yang boleh digunakan secara serentak.
Melihat kepada rekaan dibahagian bawah pula dilengkapi bicu audio 3.5mm bersama dengan dua pembesar suara dan dua mikrofon.
Skrin
Melihat kepada skrin, paparan warna pada skrin 6.59 inci (kali ini skrin lebih besar berbanding 6.43-inci pada model A95) HD Penuh dengan kadar penyegaran 90Hz manakala pengimbas cap jari digabungkan dengan butang kuasa di sisi.

Bagaimanapun, agak janggal kali ini Oppo hanya menggunakan skrin iaitu 1080 x 2412 HD Penuh sedangkan model terdahulu dipadankan dengan skrin AMOLED dengan resolusi FHD+ bagi menghasilkan warna menarik dan menyerlah.
Jika mahu menggunakan mod hitam, tekan sahaja butang pada skrin dan apa yang menarik pada peranti Oppo ini ialah tersedianya butang Screen Recording yang mana anda boleh merekod video YouTube misalnya atau siaran langsung sesuatu majlis yang dijalankan menerusi dalam talian seperti facebook.
Ciri ini adalah satu kelebihan yang ada pada Oppo A96 dimana Oppo sering berbangga dengan ciri Bokeh dan amat praktikal ketika kebanyakan pengguna banyak bergantung kepada peranti dalam segala urusan harian khususnya dalam era pandemik COVID-19.
Kamera

Oppo A96 dilengkapi sistem dua-kamera pada bahagian belakang dengan lensa utama bersaiz 50MP, lensa Bokeh 2MP manakala kamera hadapan pula dilengkapi 16MP.
Sokongan zoom optikal hanya pada kadar 10 kali ganda sahaja manakala ciri rakaman video pula adalah sehingga resolusi 1080P atau 720p EIS pada 30 frame per saat (fps) dengan sokongan ciri Steady Video.
Peranti ini juga menyokong Wifi, Bluetoth, GPS, HSPA 42.2/5.76 Mbps dan LTE-A. Ia juga dilengkapi dengan kapasiti bateri 5000 mAh dengan berat hanya 191gram, dan menggunakan Android 11, ColorOS 11.1.

Terdapat juga ciri gerakan perlahan (slo-mo) dalam rakaman video disertakan dalam peranti ini manakala ciri SoLoop membolehkan anda mencipta video dengan cara kreatif.
Ciri kemampuan kamera pada peranti ini amat baik pada sebuah peranti kelas pertengahan kerana hasil gambar kelihatan jelas dan nyata khususnya dalam keadaan pencahayaan yang baik termasuk ketika zoom digital digunakan.
Apa yang menarik ialah anda boleh mengaktifkan ciri HDR dan AI pada kamera peranti ini yang memberikan hasil gambar lebih menarik serta jelas.

Apa yang menarik pada peranti A96 kali ini ialah penambahan memori dari 6GB kepada 8GB RAM (tambahan 2GB RAM), storan dalaman 256GB dan bateri berkapasiti 5000mAh yang menyokong pengecasan pantas 33W Supervooc.
Jika mahu merakam gambar pada waktu malam tekan sahaja mod Night dan hasilnya gambar kelihatan terang serta menarik.
Perisian
Peranti ini dipadankan dengan pemproses CPU Qualcomm SM6225 Snapdragon 680 4G (6 nm) dan sistem operasi ColorOS 11.1. Sistem memori 8GB yang ditawarkan adalah cukup besar untuk sebuah peranti kelas pertengahan.

Prebiu.com yang terpilih dikalangan media terawal menguji peranti ini yang belum dilancarkan secara rasmi di pasaran dapat merasakan penggunaan peranti ini lancar dan pantas.
Pelbagai ciri menarik turut disertakan seperti mod kanak-kanak, mengubah keseluruhan tema peranti, gestur, Oppo Share dan sokongan multi window.
Beberapa penambahbaikan pada perisian peranti ini antaranya dilengkapi System Booster, Bullet Screen Message, notifikasi anti-intai, Air Gesture dan kalis calar, kalis air dan debu selain melepasi ujian anti-jatuh.

Notifikasi anti-intai akan bertindak pintar apabila kandungan notifikasi anda akan disorokkan apabila orang lain cuba melihat skrin peranti ini pada jarak 20 hingga 80 cm. Hebat bukan!
Ciri Air Gestures pula membolehkan anda mengawal peranti ini menggunakan gaya tangan anda manakala ciri Widevine DRM L1 Classsification menyokong kualiti tinggi platform media seperti Netflix HD dan Amazon Prime Video HD.
Bateri
Keupayaan bateri 5000 mAh juga mampu menjadikan peranti ini dapat bertahan sepanjang hari pada penggunaan sederhana. Bateri boleh dicas semula dalam masa sekitar 5 minit untuk tempoh panggilan telefon selama 3 jam dan 38 minit atau panggilan whatsapp sehingga 58 minit menerusi pengecas 33W yang disertakan dalam kotak.

Peranti ini menggunakan kabel jenis USB-C yang mampu memberikan pengecasan yang pantas atau memindahkan sebarang maklumat ke dalam komputer.
Pengguna juga boleh mengecas peranti ini sehingga 55 peratus dalam tempoh hanya 30 minit atau cas penuh pada 71 minit.
Selain itu, peranti ini dilengkapi ciri mod jimat kuasa yang membolehkan anda membuat penghantaran mesej sehingga 58 minit dengan hanya tahap bateri sebanyak 5 peratus.
Selain itu, ciri pengecas malam juga bertindak menggunakan ciri kecerdasan pintar (AI) yang akan berhenti mengecas bateri apabila mencecah tahap 80 peratus pada waktu malam dan secara automatik mengecas selama sejam sebelum pengguna peranti ini bangun dari tidur.

Kesimpulan
Walaupun belum dilancarkan, Oppo Malaysia telah berkongsikan beberapa maklumat tentang spesifikasi Oppo A96.

Dari segi penawaran ciri, Oppo berjaya menawarkan pengalaman yang berbeza berbanding peranti keluaran lain. Hasil daripada gambar juga lebih kemas dan cantik.
Setiap peranti memiliki ciri tersendiri dan apa yang penting ialah ‘ciri mesra pengguna’ yang perlu ada sebagai satu kaedah menarik perhatian pengguna masa kini.

Peranti ini juga menawarkan ciri pengesanan cap jari pada sisi kanan dengan maksimum lima cap jari boleh didaftarkan dan pengecaman wajah sebagai salah satu ciri keselamatan pintar yang ditawarkan.
Dalam setiap pembelian peranti ini, anda akan dibekalkan dengan fon telinga dan set lengkap wayar pengecas jenis USB-C serta kepala pengecas.
Dua pilihan warna menarik iaitu Starry Black dan Pearl Pink ditawarkan kepada pengguna.








































































