Selain memiliki kamera yang baik dengan ciri Nightography, peranti Samsung Galaxy S22+ juga dilengkapi cip Snapdragon 8 Gen 1, iaitu cip mercu paling berkuasa untuk sebuah peranti Android pada tahun ini.

Penggunaan cip ini menjadikan peranti ini tidak mempunyai sebarang isu untuk melancarkan pelbagai jenis aplikasi ditambah pula dengan memori sebesar 8GB RAM dan storan sehingga 256GB.

Ini bukanlah saiz RAM yang paling besar tetapi menerusi ciri RAM Plus pengguna boleh menambah 4GB RAM secara maya sekiranya diperlukan.

Selain itu, peranti ini turut dipadankan dengan bateri kapasiti sebesar 4500 mAh dengan sistem pengecasan sehingga 45W cukup untuk menyokong apa jua aplikasi yang kerap digunakan termasuk platform media sosial.

Kelebihan apabila menggunakan peranti dalam keluarga Galaxy S ini ialah sokongan pengecasan nirwayar sehingga 15W dan malah boleh mengecas peranti lain menerusi ciri Wireless PowerShare.

Misalnya, anda boleh mengecas mana-mana peranti dalam keluarga Galaxy S menggunakan peranti S22+ ini atau gajet lain seperti jam pintar mahupun Galaxy Buds pada bila-bila masa tanpa perlu mencari wayar atau soket kuasa.

Bagaimanapun, pastikan dahulu tahap bateri pada peranti S22+ ini lebih daripada 30 peratus kerana jika kurang daripada itu, ia tidak mampu mengecas peranti lain.

Melengkapi spesifikasi peranti ialah sokongan WiFi 6E, Bluetooth 5.2, sistem GPS dan ketahanan kalis air IP68.

Sebagai sebuah peranti premium, sudah tentu dilengkapi sistem audio Dolby ATMOS menerusi pembesar suara stereo.

Berita baik kepada anda yang memiliki peranti terbaharu ini ialah Samsung menawarkan sokongan empat generasi Android dan tampalan sekuriti selama lima tahun pada siri Galaxy S22+.

Ini bermakna anda akan memperolehi kemaskini perisian Android 16 dan OneUI 8 dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ciri lain yang menarik ialah perisiannya menggunakan versi Android 12 dengan One UI 4.1 iaitu perisian yang lebih baik untuk tema dan ikon peranti. Berdasarkan imej latar belakang yang digunakan, peranti akan memberikan saranan warna yang digunakan pada ikon aplikasi dan warna tema antaramuka. Pilihan widget juga ditambah baik supaya lebih berguna.

Elemen-elemen antaramuka juga kemas dan ergonomik malah penawaran warna pastel tidak menyakitkan mata. Anda boleh menatal dan menukar mana-mana tetapan dengan mudah dan lancar menerusi perisian yang dilengkapi pada peranti hebat ini.

Kesimpulan

Bagi anda yang sudah selesa menggunakan peranti Samsung, kemaskini perisian Ui akan terus memberikan pengalaman yang menarik kerana banyak kelebihan diberikan kepada pengguna Android.

Menggunakan peranti ini untuk apa juga tujuan seperti menghubungkan kepada Android Auto di sistem audio kenderaan cukup mudah dilakukan begitu juga kepada komputer laptop menerusi Link to Windows.

Paling menyeronokkan apabila mahu berkongsi gambar dengan rakan-rakan atau ahli keluarga sendiri menerusi aplikasi Quick Share dengan pantas tanpa sebarang isu. Anda hanya perlu aktifkan aplikasi berkenaan dan berkongsilah dengan mudah apa sahaja sama ada gambar atau dokumen tertentu.