Isuzu D-Max generasi ketiga serba baru mencatatkan jualan tertinggi untuk pasaran tempatan pada bulan Mac 2022, mengatasi jualan bulanan tertinggi yang pernah dicapai sejak Isuzu Malaysia mula beroperasi di sini pada 2005.

Angka rasmi menunjukkan yang Isuzu Malaysia mencatatkan 1,233 pendaftaran bagi Isuzu D-Max terbaru sepanjang Mac, didorong oleh serahan kenderaan yang kembali meningkat bertujuan untuk memenuhi pesanan tertangguh sebelum ini.

Angka baru ini mengatasi rekod Isuzu yang sebelumnya, dengan 885 unit terjual pada Disember 2014 selepas pengenalan varian 3.0 liter V-Cross yang sangat popular ketika itu.

Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Kenkichi Sogo memaklumkan, peningkatan serahan dari kilang telah membolehkan syarikat itu memendekkan penantian pelanggan bagi mendapatkan kenderaan baru mereka.

“Sebagai sebuah jenama yang mementingkan pelanggan, dan faham bahawa pemilik kenderaan kami sangat bergantung kepada kenderaan Isuzu mereka untuk selalu
bersedia berkhidmat bagi segala urusan, keutamaan kami adalah untuk meningkatkan bekalan bagi memenuhi permintaan yang juga semakin bertambah terhadap trak pikap pelbagai guna ini,” katanya.

“Saya sangat berterima kasih kepada semua pelanggan yang sabar menunggu ketibaan D-
Max terbaru mereka. Kami akan terus meningkatkan bekalan bagi bulan-bulan mendatang bagi mengurangkan lagi tempoh menunggu untuk pelanggan mendapatkan kenderaan mereka,” tambahnya.

Peningkatan bekalan berkenaan dapat dicapai melalui peruntukan tambahan dari kilang dan menyaksikan varian paling banyak diserahkan sepanjang Mac adalah varian 1.9 Premium Auto dengan sejumlah 350 unit.

Sebagai pilihan popular warga Malaysia, varian 1.9 Premium Auto menawarkan rekaan bergaya, prestasi pemanduan cemerlang, ciri dalaman premium dan cukai jalan paling rendah bagi segmennya; mempertemukan semua perkara yang diidamkan dari sebuah
trak pikap dalam satu pakej.

Permintaan terhadap varian flagship X-Terrain juga memperlihatkan peningkatan kepada 163 unit serahan, walaupun model ini, yang merupakan model popular di peringkat global, turut mengalami kekurangan bekalan.

Varian berkenaan yang dilengkapi aspek keselamatan canggih dan ciri untuk keselesaan telah terbukti menjadi pilihan terbaik bagi pelanggan yang mahukan sebuah trak pikap yang memberikan nilai terbaik untuk semua lapisan penggunaan.

Shunsuke Okazoe

Bakal Ketua Pegawai Eksekutif terkini Isuzu Malaysia, Shunsuke Okazoe menggariskan keperluan untuk mengutamakan kepuasan pelanggan melalui usaha jualan dan lepas jualan yang diperbaik lagi.

Okazoe yang memegang ijazah undang-undang daripada Universiti Kyushu telah terlibat
dengan perniagaan Isuzu sejak 26 tahun lalu.

Pernah memikul tanggungjawab di peringkat antarabangsa di Jepun, Amerika, India dan Thailand, beliau telah menyandang beberapa kedudukan dalam lapangan korporat dan perancangan jualan, beliau menekankan bahawa keutamaannya ketika bertugas di Malaysia adalah untuk memperkukuh rangkaian Isuzu dan memberikan lebih kepuasan kepada pelanggan.

“Walapun Isuzu Malaysia secara relatifnya masih sebuah syarikat yang baru, jumlah pelanggan kami telah berkembang agak pesat dalam tempoh 17 tahun ini. Reputasi jenama yang kukuh, barisan produk yang boleh diharap serta rangkaian sokongan yang kuat telah membantu kami mewujudkan sebuah platform yang sangat kukuh untuk pertumbuhan.

“Sasaran kami adalah untuk memperkaya sistem sokongan selari dengan pertambahan populasi pelanggan Isuzu,” katanya lagi.