Buat pertama kalinya, Samsung memperkenalkan peranti terbaharu dalam keluarga Galaxy A yang memiliki spesifikasi berbeza iaitu Galaxy A33 5G yang dilengkapi skrin 6.4″ FHD+ SAMOLED 90Hz.
Sebagaimana peranti abang-abangnya yang dibekalkan bateri sebesar 5000mAh dengan pengecasan 25W, adik bongsu ini turut sama dijana cip Exynos 1280 dan memori 8GB RAM tetapi memiliki storan hanya 128GB dengan sokongan kad mikro SD 1TB.
Galaxy A33 5G ialah salah satu dari tiga peranti baharu yang diumumkan dalam acara Galaxy Awesome Unpacked bulan lalu dan menjadi peranti baharu sebagai tambahan siri Galaxy A yang diperkenalkan sebelum ini.
Prebiu.com sekali lagi terpilih menjadi antara media pertama oleh Samsung Malaysia untuk menguji peranti model Galaxy A33 ini sebelum dilancarkan secara rasmi kepada umum.
Apa yang menarik pada peranti terbaharu dalam keluarga Galaxy A ini? Dalam ulasan sisi pandang pertama pada peranti ini ialah perbezaan ketara pada rekaan luaran dan spesifikasi kameranya.
Rekaan Kamera Unik
Sistem kuad-kamera menggabungkan sensor 48+8+2+5 MP dan kamera swafoto pula sebesar 13MP. Kamera swafoto diletakkan dalam takuk skrin dengan peranti turut mempunyai bezel yang lebih besar.
Bagaimanapun, bonggol kamera A33 ini ‘sedap mata memandang’ dan kelihatan lebih kemas manakala kedudukan semua lensa kamera disusun rata dalam dua baris menegak dengan lampu LED flash pula diletakkan pada bahagian bawah.
Kamera utamanya disokong oleh OIS (optical image stabilization) dan zoom digital sehingga 10 kali ganda manakala skrin diperbuat daripada Corning Gorilla Glass 5.
Bagi penulis, rekaan luaran semua telefon pintar hampir sama cuma membezakannya hanya ‘enjin’ dan spesifikasi yang ditawarkan. Tentu sekali jurutera Samsung sudah melakukan terbaik untuk menghasilkan peranti mampu milik Galaxy A33 ini pada harga bawah RM1,500.
Rekaan Kontur Badan
Pada pandangan mata kasar penulis, kemasan pada peranti yang berukuran 159.7 x 74 x 8.1 mm ini lebih ringkas dan minimalis bersama penggunaan satu tona warna penuh secara menyeluruh seakan sebuah peranti untuk golongan muda yang aktif.
Walaupun kelihatan ringkas, kemasan akhir matte yang digunakan nampak premium dan tidak mudah meninggalkan kesan cap jari atau mudah kotor.
Peranti ini ditawarkan dalam empat pilihan warna berbeza yang menarik – iaitu Awesome Peach, Awesome Blue, Awesome Black dan Awesome White. Memang Ohsemkan!
Susun atur butangnya adalah standard dimana, butang kuasa dan laras suara hanya diletakkan pada bahagian sisi kanan manakala terdapat satu lubang mikrofon dan slot untuk SIM pada bahagian bawah.
Ruangan ini menyokong slot dwi-sim namun ia direka berasaskan hibrid melalui slot Nano-SIM (SIM1) + Nano-SIM/microSD (SIM2).
Peranti ini disambungkan dengan port USB-C pada bahagian bawah dengan lubang mikrofon dan juga pembesar suara. Lebih menariknya di sini, pembesar suaranya adalah stereo dengan sokongan Dolby Atmos.
Bagaimanapun, untuk peranti terbaharu ini tiada lagi bicu audio dibekalkan malah tiada juga kepala pengecas disertakan.
Spesifikasi
Samsung Galaxy A33 5G hadir dengan skrin bersaiz 6.4 inci Super AMOLED FHD+ (1080 x 2400), Infinity-O Display dan kadar segar semula 90 Hz.
Kapasiti storan adalah yang terbesar diberikan iaitu 128GB dan turut disediakan kemudahan untuk tambahan slot kad storan sehingga 1TB.
Untuk spesifikasi dalaman, Samsung Galaxy A33 menggunakan cip pemproses baharu Exynos 1280 dengan lapan teras. Konfigurasi teras terdiri daripada Octa-core (2×2.4 GHz Cortex-A78 & 6×2.0 GHz Cortex-A55) dengan GPU Mali-G68.
Peranti seberat 186 gram ini juga dilengkapi memori 8GB RAM selain kemampuan kalis air IP67 dan bateri sebesar 5000mAh.
Bagi peranti A33 kali ini, Samsung tidak membekalkan kepala pengecas dan kabel bagi setiap pembelian yang menyokong pengecasan pantas 25W.
Samsung turut mengesahkan Galaxy A33 akan menerima sokongan sehingga empat versi Android dan tampalan sekuriti selama lima tahun. Sokongan ini setanding dengan yang diterima pada siri Galaxy S22 dan pertama kali dalam sejarah peranti kelas pertengahan Android.
Harga pasaran
Samsung Galaxy A33 5G yang baru diperkenalkan di pasaran negara ini ditawarkan pada harga RM1,499 untuk 8GB RAM/128GB storan dalam empat warna menarik iaitu Awesome Peach, Awesome Blue, Awesome Black dan Awesome White.
* Nantikan ulasan lebih mendalam Samsung Galaxy A33 5G