UDA Holdings Berhad (UDA) syarikat pemaju hartanah, pengurusan aset, fasiliti dan perhotelan serta agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sekali lagi bertindak proaktif dalam membantu masyarakat sekitar dengan menghulurkan bantuan persiapan ke sekolah melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) UDA Cares Educational.

Menerusi program ‘Back to School 2022’ tersebut, UDA menyumbang hampir RM50,000 kepada 330 pelajar sekolah rendah dan menengah di sekitar Kedah, hari ini.

Berucap pada majlis tersebut, Datuk Norliza Abdul Rahim, Pengerusi UDA berkata, “Program ‘Back to School 2022’ di Kedah ini adalah salah satu inisiatif UDA dalam membantu mengurangkan beban bagi komuniti setempat khususnya di wilayah perniagaan UDA, yang sentiasa peka dengan situasi semasa ini, UDA berharap dapat membantu keluarga terutama sekali pelajar yang memerlukan dalam persediaan sekolah.

Semoga langkah murni menyantuni komuniti setempat yang berterusan ini dapat mengeratkan hubungan UDA dengan masyarakat yang seterusnya memberi nilai tambah kepada mereka.” ketika menyempurnakan majlis tersebut di The Jerai Hotel.

Turut hadir Mejar Jeneral (B) Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Penasihat (Hal Ehwal Agama) Perdana Menteri Malaysia, Senator Dato’ Wira Othman Aziz, Pengerusi MARA Corporation Sdn Bhd (Mara Corp) dan Zainuddin Deni, Ketua Pegawai Operasi, UDA Land (North) Sdn Bhd.

Pada majlis tersebut, 330 pelajar yang terdiri dari 165 pelajar sekolah rendah dan 165 pelajar sekolah menengah dari sekitar Kedah menerima bantuan RM150 berupa pakaian seragam sekolah, stokin, kasut hitam dan tuala.

Pelajar berpeluang untuk memilih dan mengukur sendiri pakaian masing-masing yang bersesuaian terus dari pembekal bagi memudahkan proses penyerahan. Datuk Norliza turut menyerahkan beg sekolah serta alat tulis sumbangan peribadinya kepada para pelajar.

Majlis tersebut turut menyaksikan 50 orang pelajar yang terdiri daripada pelajar sekolah menengah dan rendah menerima sumbangan tersebut secara terus. Bagi penerima yang lain, Pusat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Setar akan mengedarkan sumbangan secara pandu lalu bagi tujuan menjaga keselamatan murid-murid dari jangkitan Covid-19.