Samsung baru-baru ini telah melancarkan tiga peranti mercu sebagai pembuka tirai tahun 2022 menerusi siri Galaxy S22. Tiga variasi yang diperkenalkan iaitu Galaxy S22, Galaxy S22+ dan Galaxy S22 Ultra.

Kelebihan ketiga-tiga peranti mercu ini ialah ia pertama kali dilengkapi dengan cip Snapdragon 8 Gen 1 iaitu cip terbaik dan terpantas untuk peranti Android setakat ini dengan penggunaan teknologi 4nm dan dilengkapi lapan teras. Cip ini dipadankan dengan 8GB RAM dan storan sehingga 256GB.

Jika jumlah RAM dirasakan tidak mencukupi, terdapat ciri RAM Plus yang menambah sehingga 8GB RAM lagi secara maya. Secara teorinya S22+ boleh menggunakan sehingga 16GB RAM.

Prebiu.com yang diberi peluang untuk menguji peranti terbaharu Samsung Galaxy S22+  ini secara keseluruhannya amat tertarik dengan rekaan baharunya yang lebih segar dengan bonggol kamera yang tidak terlalu menonjol dan kelihatan lebih nipis berbanding model terdahulu.

Menerima peranti berwarna Phantom White yang diberikan ini, peranti ini kelihatan cukup premium dan selesa dipegang disebabkan rekaan badannya yang tidak begitu licin tetapi sedikit kesat.

Rekaan luaran premium

Bahan yang meliputi tubuh badan peranti ini lebih tahan lasak dan kukuh menerusi penggunaan Armor Aluminium yang sebelum ini digunakan pada Z Fold3 sekali gus tidak perlu bimbang jika peranti ini terjatuh atau terlepas daripada genggaman.

Panel polikarbonat yang digunakan pada model tahun lalu digantikan dengan panel Gorilla Victus+ yang juga tahan lasak dan kalis calar.

Meskipun rekaan bonggol kamera Contour Cut Design dikekalkan ia bertujuan melindungi lensa kamera dari sebarang hentakan dan tercalar dengan mudah. Ia mungkin nampak sedikit besar namun daripada segi saiz tidak terlalu tebal.

Satu lagi perkara yang menarik ialah panel belakang peranti tidak memerangkap kotoran disebabkan kekemasannya yang tidak berkilat.

Seterusnya pada bahagian bawah terdapat speaker, port USB-C dan kad SIM. Kad SIM hanya menyokong satu SIM bersaiz nano dengan satu lagi e-SIM dalaman tanpa sokongan kad mikro SD.

Model S22+ yang diuji ini dibekalkan dengan storan bersaiz 128GB yang cukup memadai untuk menyimpan beribu-ribu gambar dan video untuk jangka masa panjang.

Skrin hebat

Peranti ini dilengkapi panel skrin bersaiz 6.6″ Dynamic AMOLED 2X FHD+, dengan kadar segar semula mencecah 120Hz manakala bezel kawalan bunyi hanya diletakkan sebaris pada sebelah kanan.

Ciri terbaharu pada peranti ini ialah terdapat sistem Vision Booster untuk menerangkan lagi skrin di bawah cahaya matahari yang terik di Malaysia dan juga sokongan HDR10+.

Paparan skrinnya juga lancar dan pantas dengan memaparkan warna yang cukup baik serta jelas malah memberikan kepuasan apabila menonton video dalam tempoh jangka panjang.

Sebagai sebuah peranti berharga premium, pengimbas cap jari optikal diletakkan di bawah skrin dengan kedudukan pengimbas cap jari adalah agak tinggi yang memudahkan proses menyahkunci peranti.

Sokongan pengimbas cap jari amat mudah digunakan dan bagi yang mungkin inginkan sistem biometri yang lain, imbasan wajah disertakan dan ia berfungsi pantas dalam keadaan terang.

Skrin pada peranti ini juga rata dan tiada kesan lengkung seakan ‘edge’ manakala rekaan bezel yang lebih nipis untuk kawalan bunyi dan butang buka masih kekal di sebelah kanan.

Rekaan Kamera Unik

Masih mengekalkan sistem tri kamera menggunakan lensa sudut lebar 50MP, ultra sudut lebar 12MP dan telefoto 10MP yang menyokong zum optikal sehingga 3X sahaja namun had zum digital adalah sehingga 30X.

Secara ringkasnya, peranti ini dilengkapi tri-kamera belakang gabungan 50MP + 12MP + 10MP, sementara kamera swafoto 10MP (MegaPiksel).

Sistem kamera peranti ini yang dibantu kecerdasan pintar (AI) akan berfungsi secara pintar untuk memberikan hasil gambar yang menarik, jelas dan tepat.

Bagaimanapun, bagi mereka yang memerlukan aplikasi kamera yang lebih profesional boleh menggunakan ciri Expert RAW kerana ia hadir dengan kawalan kamera yang lebih terperinci.

Lihat contoh dibawah bagaimana bangunan utama Genting Highlands yang dirakam menggunakan zum 30 kali dari jauh namun gambar yang terhasil agak sedikit kabur.

Gambar yang dirakam menggunakan zum 20 kali
Gambar yang dirakam menggunakan zum 30 kali

Bagaimanapun, untuk gambar yang lebih sedap mata memandang adalah lebih baik pada tahap zum 20 kali ganda. Gambar yang terhasil kelihatan lebih kemas dan tidak kabur.

Sebagaimana ciri aplikasi kamera pada peranti mercu Samsung terdahulu, terdapat ciri tambahan Single Take, mod malam, potret, panorama dan video dalam mod potret.

Samsung mendakwa sistem kamera mod malamnya dikenali sebagai Nightography mampu menghasilkan gambar pada waktu malam yang lebih cantik dan jelas disebabkan sensor kamera yang menyerap lebih banyak cahaya disekeliling sekali gus menjadikan setiap detik rakaman gambar lebih bermakna.

Kesan bokeh juga adalah baik dan boleh digunakan sama ada untuk gambar statik atau rakaman video yang nampak hebat menerusi mod potret.

Apa yang menarik ialah anda boleh mengubah latar belakang gambar sama ada kabur, berwarna, hitam putih dan sebagainya mengikut kehendak masing-masing.

Meskipun masih ada timbul isu kamera memanas ketika digunakan dengan kerap namun ia adalah lumrah pada platform Android dan iOS. Namun, untuk model S22+ kali ini tahap kepanasan tidak melampau dan kamera tidak pernah memberikan amaran terhenti kerana suhu terlalu tinggi.

Dari segi kemampuan kamera, gambar yang diambil menggunakan kamera S22+ adalah memuaskan untuk sebuah peranti mercu.

Ianya terang, tajam dan tidak mempunyai masalah hingar yang ketara. Dalam situasi pencahayaan yang baik penghasilan semua warna adalah amat baik. Warna kelihatan hidup dan menyamai situasi sebenar.

Ciri kamera dipertingkatkan

Bagaimanapun, sedikit penambahbaikan pada ciri dan prestasi seperti ciri baharu ‘Director’s View’ atau Mod Pengarah yang mana anda boleh membuat ulasan secara langsung menggunakan lensa kamera belakang secara terus tanpa menggunakan mod selfie.

Apa yang menarik dengan ciri Mod Pengarah ini ialah, skrin hadapan kamera boleh dipisahkan mengikut tiga pilihan sama ada 50:50 atau skrin kecil di sisi dan skrin penuh.

Jika dahulu, mod Live Focus digunakan untuk mengambil gambar bercirikan in-depth (latar belakang kabur), ciri itu kini digantikan dengan mod Potrait yang menawarkan lebih banyak pilihan kualiti gambar seperti Blur, Studio, High-Key Mono, Low-Key Mono, Backdrop dan Colour Point.

Apa yang penting ialah hasil gambar kamera peranti ini cantik dan terang manakala mod potret yang kelihatan lebih pantas untuk diproses sambil kualiti yang pengguna Samsung kenali. Warna yang cukup tajam, butiran yang jelas dan jitu.

Satu lagi ciri menarik pada peranti ini ialah rakaman video dalam kualiti 8K, iaitu resolusi paling tinggi dalam satu-satu telefon pintar menjadikan kualiti videonya lebih berkualiti berbanding di panggung wayang.

Dengan kualiti 8K 24 frame per saat (fps), setiap vlog dan memori yang diambil boleh direkod, dimuat naik dan ditonton terus ke laman YouTube.

Lagi satu, apabila anda boleh menjadikan rakaman video itu sebagai album gambar berkualiti 33MP menggunakan ciri 8K Video Snap.

Spesifikasi 

Samsung Galaxy S22+ dibekalkan dengan bateri berkapasiti 4500 mAh dengan sokongan pengecasan sehingga 45W, nirwayar pula sehingga 15W dan pengesan berbalik peranti lain Wireless PowerShare.

Seperti tahun lalu, pengecas tidak disertakan dengan setiap pembelian. Hanya kabel USB-C ke USB-C dan pin talam SIM disertakan.

Spesifikasi lain pada peranti ialah sokongan WiFi 6E, Bluetooth 5.2, sistem GPS dan ketahanan kalis air IP68 selain sokongan sistem audio Dolby ATMOS menerusi pembesar suara stereo.

Sokongan Android empat versi dan sekuriti lima tahun juga ditawarkan kepada pemilik peranti ini oleh Samsung.

Sebagaimana ciri model terdahulu, peranti S22+ turut dilengkapi pembesar suara Dolby Atmos, WiFi 6E, Bluetooth 5.1 dan kemampuan kalis air IP68.

Kesimpulan

Jika anda seorang yang mementingkan penampilan dan mahukan keseronokan dalam memiliki telefon pintar, Samsung S22+ adalah pilihan tepat kerana ciri baharu yang ditampilkan kali ini lebih menyeronokkan.

Setiap penambahbaikan yang dilakukan pada peranti seberat 195 gram ini memberikan kelebihan kepada anda yang memerlukan satu peranti untuk kegunaan harian, cekap dan pantas daripada segi pemprosesan.

Dengan cip Snapdragon 8 Gen 1 (4nm), dan kamera utama 50MP sudah cukup memadai walaupun rekaan badannya agak sedikit berat yang mungkin membebankan kocek seluar anda atau lenguh apabila mahu berbual panjang dengan rakan.

Selain itu, peranti ini hadir dengan ciri pemadam objek dimana anda boleh mengedit gambar dengan memadam apa sahaja objek yang anda tidak gemar di dalam gambar.

Ciri menarik lain ialah Samsung S22+ ini dipadankan dengan fungsi kalis air IP68 yang mampu bertahan sehingga kedalaman 1.5 meter untuk tempoh sehingga 30 minit namun dinasihatkan tidak menggunakan telefon ini di kolam atau pantai.

Spesifikasi Samsung Galaxy S21+:

  • 6.6″ Dynamic AMOLED 2X FHD+ (2340 × 1080) 120Hz HDR10+
  • Samsung Snapdragon 8 Gen 1 (4nm)
  • Samsung One UI 4.1 + Android 12
  • 8GB LPDDR5 + 128GB
  • 4500mAh Pengecasan Pantas 45W
  • Kamera belakang: 50MP f/1.8 + 10MP f/2.4 ultra lebar OIS + 10MP f/2.2 telefoto OIS
  • Kamera depan: 10MP AF f/2.2
  • WiFi 802.11 a/b/g/n/ac/ax, Bluetooth 5.1, USB-C
  • Pengimbas cap jari bawah skrin Ultrasonik, pembesar suara stereo AKG Dolby Atmos, IP68
  • Warna: Green, Phantom Black, Phantom White dan Pink Gold
  • Harga:  RM4099