Perodua meneruskan usahanya menyokong institusi awam utama di seluruh negara dengan menyumbang peralatan perubatan dan hamper bernilai RM 87,967 kepada Hospital Besar Shah Alam.

Inisiatif berterusan itu bertujuan menyokong usaha pasukan barisan hadapan kesihatan Malaysia dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan di seluruh negara.

Turut hadir ke majlis penyerahan di Hospital Besar Shah Alam tersebut adalah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad dan Pengarah Hospital Besar Shah Alam, Dr Ruzita Othman.

Perodua menyumbang 1 unit Free Standing Warmer, 3 unit Photolight, Jelipad berteknologi tinggi, 7 unit stetoskop neonat, 1 set LSCS yang digunakan semasa pembedahan dan 10 unit gunting pembedahan ke wad pediatrik Hospital Besar Shah Alam.

Pembuat kereta kompak tersebut turut menaja hamper kepada para pesakit dan juga pasukan barisan hadapan.

Zainal berkata, Perodua mengiktiraf kepentingan usahasama antara awam dan swasta dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan di negara ini.

“Kami ingin menjadi warga korporat yang bertanggungjawab dan kami akan membantu semampu yang boleh dalam memastikan akses kepada bekalan perubatan untuk hospital dan keseluruhan sistem penjagaan kesihatan adalah konsisten dan berterusan.

“Kami akan terus berkomunikasi dengan institusi-institusi awam utama dan Kementerian Kesihatan untuk melihat di mana kami boleh memberikan nilai tambah dalam sistem penjagaan kesihatan negara,” katanya.

Setakat ini, Perodua telah menyumbang bekalan perubatan kepada hospital-hospital
awam termasuk Hospital Sungai Buloh, Hospital Selayang dan Hospital Wanita dan
Kanak-Kanak Sabah di Likas.