Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) kini menerima pra-tempahan untuk model Golf R-Line dengan anggaran harga diantara RM155,000 dan RM165,000.
Golf ialah satu revolusi automotif yang telah mengubah dunia permotoran sejak debutnya pada tahun 1974. Ia juga membentuk serta menetapkan penanda aras menerusi kejuruteraan dan prestasi yang mengagumkan.
Dengan lebih 35 juta unit terjual sehingga kini, Golf ialah ikon yang terus berevolusi untuk memberi keterujaan setiap kali.
Golf serba baharu mengekalkan warisannya, sambil menjadi generasi yang paling progressif dengan aspek prestasi yang telah ditambah baik, peningkatan digitalisasi serta kawalan lebih intuitif. Perubahan tersebut dapat dilihat dengan jelas pada penampilannya yang kemas dan kontemporari.
Rekaan lampu utama LED dan gril hadapan yang lebih sempit, bersertakan bampar yang garang membuatkan penampilannya semakin mantap. Diinspirasikan oleh model R yang berprestasi tinggi, R-Line hadir dengan pakej gayaan sporty, dan pada masa sama mengekalkan nilai terbaik.
Setiap aspek ruang dalaman dihasilkan dengan penuh berhati-hati bagi memastikan kenderaan ini dapat berhubung rapat dengan pemandu berbanding model terdahulu. Justeru, Golf serba baharu menawarkan landskap dalaman digital sepenuhnya yang dikenali sebagai Driver’s Workspace bagi memberi kemudahan dan ketersambungan yang lancar.
Papan pemuka yang revolusionari itu melibatkan skrin Digital Cockpit bersaiz 10.25” generasi baharu; stereng multi fungsi dengan kawalan sentuhan haptik serta sistem infohibur Discover Media termaju bersaiz 10” lengkap bersama ciri navigasi. Satu lagi ciri baharu ialah pemilih gear generasi baharu yang kompak dan inovatif – ia menjadi model pertama Volkswagen yang dibekalkan dengan ciri itu di Malaysia.
Bagi disesuaikan dengan rekaan luarannya yang sporty, R-Line hadir dengan tempat duduk hadapan sports dibalut fabrik Sardegna dan Art Velours penyangga sisi untuk keselesaan terbaik. Logo R-Line juga hadir pada perehat kepala.
Reka bentuk dan ciri Golf serba baharu dihasil untuk memberi keterujaan, manakala prestasi pula melangkaui apa yang dijangkakan.
Model R-Line mempunyai enjin turbo 1.4TSI yang dipadankan dengan kotak gear automatik 8-kelajuan shift by wire yang mampu menjana kuasa 150PS dan tork 250Nm.
Model R-Line didatangkan dalam lima warna termasuk dua yang baharu: Moonstone Grey (kelabu) dan Kings Red (merah). Warna lain termasuk Atlantic Blue (biru) serta Deep Black (hitam) dan Oryx White (putih).
VPCM menyokong aspek selepas jualan menerusi penyelenggaraan percuma selama tiga tahun, serta lima tahun jaminan tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan untuk lima tahun.