BMW Malaysia memperkenalkan BMW X3 dalam tiga varian baharu, bersama dengan varian terbaharu BMW X4 di dalam negara.
BMW X3 sDrive20i M Sport, BMW X3 xDrive30i M Sport dan BMW X3 xDrive30e M Sport bersama BMW X4 xDrive30i M Sport buat julung kali diperkenalkan untuk pasaran Malaysia, sekali gus memaksimumkan kemampuan kuasa dan elektrifikasi jentera Sports Activity Vehicle bersaiz sederhana dari famili BMW X.
Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkongsi, “Portfolio BMW X telah
membina reputasinya di seluruh dunia buat sekian lama, dan khususnya di Malaysia dalam
pengeluaran jentera Sports Activity Vehicles (SAV) idaman ramai.
Tahun lalu, portfolio BMW X telah merekodkan lebih 3,200 penyerahan di Malaysia – menyumbang kepada lebih 38% daripada bilangan penyerahan yang dibuat oleh jenama BMW.

Kejayaan portfolio BMW X ini membayangkan kekukuhan pasaran Malaysia, lantas membuktikan keyakinan kami untuk terus membangunkan serta merevolusi industri automotif di sini menerusi penubuhan lebih banyak fasiliti dan infrastruktur
pemasangan tempatan.”
Setelah melalui beberapa iterasi dari segi visual, BMW X3 dan BMW X4 hadir dengan iras sporty yang menampilkan gril ‘kidney’ lebih besar dengan sambungan perangkai di tengah, rekaan apron hadapan baharu dengan salur masuk udara vertikal, bampar baharu, lampu hadapan yang dilangsingkan sebanyak 10 mm, didatangkan dengan teknologi LED penuh sebagai standard.
Bonet yang sedikit menaik, rungkup hadapan yang singkat serta siluet jentera ini yang berbentuk tirus menyerlahkan dinamik pemanduannya yang luar biasa. Versi hibrid plug-in jentera BMW X3 mudah dicam dengan port pengecasan yang terletak di belakang roda kiri hadapan.

Meskipun dimensi varian-varian baharu yang dipasang di Malaysia ini masih sama, BMW X3
baharu kini akan menampilkan roda aloi yang diubah suai dengan saiz sehingga 20 inci, termasuk lampu belakang LED penuh dengan kontur tiga dimensi di sekelilingnya, di samping paip ekzos yang lebih besar.
BMW X4 baharu pula mengekalkan garis bumbung persis coupe dan akan dilengkapi dengan komponen pemantul berkedudukan vertikal serta bampar belakang dengan
sisipan baharu.
BMW X3 dan BMW X4 akan didatangkan dengan bibir ekzos berbentuk bebas. Pakej M Sport, yang disediakan sebagai standard dalam varian-varian BMW X3 dan BMW X4 baharu menaik taraf kelengkapannya, turut hadir dengan pelbagai konfigurasi kenderaan yang diperhalusi.
Ia dapat dilihat pada komponen salur masuk udara dan apron hadapan pada kedua-dua model, berserta dengan tawaran warna, rim dan kemasan trim interior yang baharu.
Aneka rangkaian kuasa yang serba komprehensif.

BMW X3 baharu akan hadir dalam dua varian petrol – sDrive20i dan xDrive30i, di samping varian berelektrik, xDrive30e. Masih menguasakan BMW X3 sDrive20i dan BMW X3 xDrive30i baharu ialah enjin petrol TwinPower Turbo empat silinder yang mampu menjana output maksimum berjumlah 184 kk dan tork maksimum 300 Nm bagi sDrive20i, dan 252 kk dengan tork maksimum 350 Nm bagi xDrive30i.
BMW X3 sDrive20i berupaya untuk membuat pecutan dalam masa 8.2 saat, dan merekodkan kelajuan tertinggi mencecah 215 km/j, manakala BMW X3 xDrive30i mampu memecut dari 0-100 km dalam masa 6.3 saat pada kelajuan tertinggi mencecah
240 km/j.
Transmisi dibekalkan kepada BMW X3 sDrive20i dalam bentuk Automatic Steptronic 8 kelajuan dengan Fungsi Pengekalan Automatik, manakala BMW X3 xDrive30i dilengkapi dengan transmisi Steptronic Sport 8 kelajuan.

Sebagai alternatif, BMW X3 xDrive30i baharu menggandingkan jarak operasi enjin pembakaran dalaman (ICE) dengan motor elektrik berkuasa tinggi dan bateri yang mempunyai kapasiti kasar berjumlah 12 kWj untuk membekalkan jarak operasi sejauh 50 kilometer (WLTP) dalam mod elektrik sahaja – menjanjikan pengalaman pemanduan sporty yang tiada bandingannya dengan output emisi yang lebih rendah.
Para pemilik BMW X3 baharu juga dapat memilih antara versi pacuan semua roda seperti yang ditawarkan menerusi BMW X3 xDrive30i dan BMW X3 xDrive30e, atau pacuan roda belakang seperti yang ditawarkan melalui BMW X3 sDrive20i – kedua-duanya menampilkan suspensi M Sport dengan penalaan pecutan dan redaman khas untuk menaik taraf lagi aspek pengendalian. Manakala BMW X4 xDrive30i pula membawakan suspensi adaptif.

Harga jualan bagi varian-varian BMW X3 dan BMW X4 yang baharu dengan BMW Service and Repair Inclusive, termasuk Cukai Jualan dan Perkhidmatan (atas jalan, tanpa insurans) ialah:
BMW X3 sDrive20i M Sport Baharu RM 315,800.00
BMW X3 xDrive30i M Sport Baharu RM 358,800.00
BMW X3 xDrive30e M Sport Baharu RM 356,800.00
BMW X4 xDrive30i M Sport Baharu RM 398,800.00



































