Pengerusi NGO Antarabangsa yang juga Profesor Adjung UMT Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican berkata, sebagai seorang Islam apa sahaja yang dilakukan termasuk bekerja  dianggap sebagai ibadah jika kita mengikut garis panduan dikehendaki oleh syarak.

Beliau berkata, ini kerana semua orang yang bukan Muslim pun ada garis panduan dan kepercayaan untuk melaksanakan etika kerja yang terbaik termasuk nilai dan adab tersendiri.

“Untuk kerjasama majikan dan pekerja penting bagi mencapai matlamat kejayaan organisasi. Sikap majikan yang cemerlang ialah memahami keadaan pekerjanya seperti masalah tertentu cara menyelesaikannya memberi sokongan dan tidak memilih bulu atau berat sebelah.

“Manakala pekerja juga cuba kerja terbaik dengan membantu majikan termasuk adab kita dengan hormat menghormati adalah tunjang yang utama disamping menunjukkan keupayaan kita dalam pekerjaan dengan penuh kreativiti, idea idea baru untuk tambah baik sistem yang sedia ada,” katanya.

Mustapha berkata demikian ketika temubual bersama UMT FM live Facebook bertajuk ‘Adab Bekerja Nilai Yang Semakin Terhakis’ bersama Mohd Nor Sukri Abd Rahman dan DJ Rudy di Studio UMT, Terengganu.

Dr Mustapha berkata, budaya berbincang dan berunding atau memberi nasihat dan berterus terang perlu ada dalam menyelesaikan masalah kerana budaya ini diamalkan sejak zaman Rasulullah SAW menerusi amalan Syura atau Musyarawah.

“Justeru, adalah satu kewajaran setiap majikan mendengar pandangan pekerja sekiranya ada perkara yang perlu disampaikan sama ada berbentuk masalah atau tambah baik dalam pekerjaan.

“Dengan cara ini hubungan baik majikan dan pekerja dalam organisasi pastinya memberi natijah yang cukup besar dalam pengembangan organisasi dan ianya akan menyumbang kepada keharmonian dan ukhuwah sesama majikan dan pekerja,” katanya.

Dari kiri ke kanan, DJ Bard, Mustapha dan Mohd Nor Sukri

Beliau menyarankan agar golongan muda dapat menimba ilmu dan mengambil pengalaman yang untuk disesuaikan keadaan di tempat kerja kerana adab bekerja dan nilai-nilai yang baik ini boleh membantu pada masa depan.

“Mengambil contoh seperti negara Jepun yang masih mengamalkan sikap dan adab yang tinggi, budaya kerja yang rajin, menjaga kebersihan, berdisplin tinggi dan mengekalkan adab hormat menghormati antara suatu sama lain.

“Contoh yang kita boleh ambil ialah sikap dan adab Nabi kita Rasulullah SAW dan para sahabat. Sekiranya kita ingin berjaya dunia dan akhirat, keikhlasan dalam setiap pekerjaan kita, maafkan orang yang prasangka kepada kita dan bantu mereka yang lemah.

Kita akan jadi pekerja terbaik di mata pekerja lain, jika hati kita bersih kita melihat dunia dengan mata lebah dan bila hati kotor kita melihat dunia dengan mata lalat iaitu penuh kekotoran. Jadi sebaik-baik manusia adalah yang bermanfaat untuk orang lain,” katanya lagi.