Sebut sahaja mengenai televisyen, semestinya jenama Samsung terlintas dalam setiap fikiran pengguna kerana Samsung adalah jenama pertama dalam dunia televisyen selama 15 tahun berturut-turut.

Penulis sendiri sudah menggunakan televisyen Samsung bersaiz 43 inci yang dibeli kira-kira 5 tahun lalu dan masih beroperasi dengan baik tanpa sebarang masalah besar.

Apa yang menyebabkan penulis tertarik untuk membeli televisyen jenama Korea Selatan ini kerana kagum apabila sebuah hotel yang terletak ditengah-tengah bandar raya Moscow, Russia menggunakan televisyen Samsung di ruang tamunya ketika menghadiri satu persidangan dunia yang diadakan kira-kira 11 tahun lalu.

Begitulah perjalanan sejarah pembuatan televisyen yang dahulunya hanya mempunyai satu fungsi iaitu memaparkan imej yang jelas tanpa gangguan tetapi kini menawarkan pelbagai ciri inovatif yang lebih pintar seakan sebuah skrin komputer bersaiz ‘super’ ultra lebar.

Pelbagai fungsi pintar yang ditawarkan mampu melengkapkan kehidupan pengguna moden masa kini sekali gus memenuhi citarasa gaya hidup pengguna.

Untuk tahun 2021, Samsung hadir dengan pelbagai jenis siri televisyen iaitu Neo QLED, MICRO LED, Crystal UHD dan juga televisyen yang memenuhi citarasa gaya hidup pengguna dalam kategori Lifestyle TV.

Prebiu.com yang pertama kali diberi kesempatan menguji televisyen pintar terbaharu Samsung Crystal UHD TV bersaiz 65 inci cukup teruja apabila dipelawa untuk membuat ulasan kerana sebelum ini reviu lebih kepada tertumpu kepada telefon pintar dan gajet elektronik lain.

Rekabentuk Dan Spesifikasi

Bermula daripada saiz paparan, siri Samsung AU9000 UHD 4K Smart TV ini hadir dengan pilihan paparan 43, 50 inci, 55 inci dan 65 inci. Jika dibuat perkiraan kasar saiz sebenar televisyen ini dengan tapak ialah 1451.7 x 897.5 x 290.2 mm (WxHxD).

Tahap resolusi pula ialah 3,840 x 2,160 dan dilengkapi dengan sistem pemproses jenis Crystal 4K mampu menghasilkan indeks kualiti gambar (PQI) sebanyak 2800. Paparan gambar LED ini turut dibantu oleh sistem Julat Dinamik Tinggi (HDR) dengan sokongan HDR 10+.

Kelebihan memiliki sistem HDR ini meningkatkan julat aras cahaya pada TV anda supaya anda boleh menikmati spektrum warna yang besar dan semua butiran visual, walaupun dalam adegan paling gelap.

Sistem pemproses 4K yang cukup berkuasa memastikan anda mendapat resolusi sehingga 4K untuk kandungan yang anda gemari. Anda juga akan mengalami lebih banyak ekspresi warna seakan-akan hidup kerana teknologi pemetaan warnanya yang canggih.

Apa yang pasti menonton filem kegemaran pada TV bersaiz 65 inci memberikan satu kepuasan yang tidak terkata kerana gambar yang dihasilkan benar-benar besar dan terang tanpa menjejaskan sedikitpun kualiti gambar.

Meskipun TV seberat 21.7 kilogram (dengan tapak) ini kelihatan sangat besar, namun jika dipandang pada bahagian sisi, rekaannya cukup nipis dan ini adalah kelebihan ciri Air Slim.

Crystal UHD menampilkan profil ultra nipis, membolehkan TV anda digabungkan dengan mudah dengan ruang dalaman anda untuk penampilan minimalis yang terserlah dengan sangat elegan jika diletakkan di ruang tamu.

 

Sistem Bunyi Q-Symphony

Sistem bunyi pada TV ini memang menakjubkan seakan anda sedang menonton wayang dipanggung. Ini kerana bunyi yang dihasilkan daripada TV dan bar bunyi yang disusun secara harmoni.

Q Symphony secara unik membolehkan pembesar suara TV dan bar bunyi beroperasi secara serentak untuk kesan sekeliling yang lebih baik tanpa meredam pembesar suara TV.

Bagi mereka yang gemar bermain game, tentu sekali bunyi yang dihasilkan mampu meningkatkan semangat ketika bermain ‘game’ kegemaran anda tanpa berasa jemu apatah lagi bersama rakan-rakan di rumah.

Motion Xcelerator Turbo

Peminat ‘gamer’ tentu sekali berpuas hati memiliki skrin sebesar 65 inci ini (super ultra lebar). Ini kerana nisbah skrin 21:9 dan 32:9 memberi anda kawasan tontonan tambahan yang anda perlukan untuk memaksimumkan pengalaman permainan.

Anda juga boleh mengoptimumkan permainan anda dengan Bar Permainan, menu pada skrin yang membolehkan anda membuat pelarasan masa nyata pada nisbah skrin, semakan ketinggalan input, FPS, HDR, tetapan set kepala wayarles dan banyak lagi.

Sistem Motion Xcelerator Turbo pula membolehkan anda meningkatkan kejelasan gerakan anda untuk kandungan permainan yang anda gemari. Dengan teknologi penyegaran dinamik unik Samsung, Motion Xcelerator Turbo menyediakan prestasi gerakan yang berbeza dengan model 60Hz untuk menyokong permainan VRR dan kandungan 120Hz.

TV Pintar 

Siri Samsung Crystal UHD Smart TV ini juga hadir dengan beberapa ciri-ciri yang menarik, termasuklah aplikasi-aplikasi seperti Netflix, YouTube, Google Play Movies, dan juga iflix, servis penstriman Astro selain menyokong sistem AppleTV.

Apa yang menarik ialah anda boleh menonton rancangan kegemaran dalam dua skrin pada waktu sama iaitu multi-view skrin. Selain itu, anda boleh jadikan TV ini sebagai galeri album untuk dipaparkan kepada sanak saudara dengan hanya satu sentuhan pada telefon pintar Samsung anda.

Selain itu, anda juga boleh menghubungkan TV anda dengan komputer laptop sebagai komputer peribadi (PC) bagi tujuan pembentangan kertas kerja atau menyediakan laporan bagi sesuatu projek.

Untuk memudahkan lagi penggunaan TV ini, Samsung juga hadir dengan pengawal TV One Remote yang bukan sahaja boleh mengawal semua fungsi-fungsi televisyen tersebut dari satu tempat, ia juga hadir dengan mikrofon di dalamnya supaya anda boleh memberi arahan suara kepada TV tersebut untuk mengaktifkan aplikasi-aplikasi dan beberapa fungsi yang lain.

Bagi mereka yang ingin menonton TV cara berbeza, anda boleh menggunakan rangka No-Gap Wall Mount yang membolehkan anda melekapkan rangka dinding tanpa perlu mengukur kedudukan dengan begitu teliti.

Anda boleh melaraskan rangka ini setelah rangka dan televisyen ini dipasang dengan mudah, tanpa perlu risau televisyen ini terlalu senget. Ia juga boleh ditolak ke arah atas, bawah, kiri dan kanan untuk keselesaan anda.

Kesimpulan

Jika anda seorang peminat seni wayang dan mahukan pengalaman menonton filem yang tiada tandingan, siri Samsung Crystal UHD 4K Smart TV ini sebuah televisyen yang tiada tandingan buat masa ini.

Gabungan teknologi paparan yang tercanggih, ciri-ciri yang menarik dan mudah digunakan, dan juga rekaan yang amat premium memberi televisyen ini kelebihan yang kami rasakan jenama lain tidak boleh atasi buat masa ini.

TV ini juga mendapat penarafan lima bintang dengan tahap penggunaan tenaga 430kWh setahun. Jadi TV ini benar-benar pintar dan tidak hairanlah TV ini akan terpadam sendiri sekiranya penontonnya sudah lena tidur.

Dari segi harga pula, sudah pastinya Samsung AU9000 UHD 4K Smart TV ini hadir pada harga yang mampu milik iaitu siri TV dalam saiz 65 inci pada harga RM5,399.00.