Keluarga BMW R 18 menambahkan dua ahli baharu dalam varian “Big Boxer” yang sesuai untuk tunggangan jarak jauh.

BMW Motorrad Malaysia pada hari ini telah merungkai ketibaan jentera BMW R 18 Bagger dan BMW R 18 Transcontinental baharu – kedua-duanya hadir secara eksklusif sebagai “First Edition”, sekali gus meluaskan lagi portfolionya bagi pasaran tempatan menerusi jentera terkini yang dirumus untuk perjalanan jauh.

Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkongsi, “Sebelum tahun 2021
melabuhkan tirainya, kami berbesar hati untuk memperkenalkan dua ahli baharu dalam keluarga BMW R 18 yang membariskan jentera kruiser serba ikonik.

BMW R 18 Bagger dan BMW R 18 Transcontinental baharu merupakan pendamping yang sempurna bagi perjalanan jauh, ia bukan sahaja menawan, malah turut membekalkan keselesaan dan tunggangan berprestasi tinggi di atas jalan raya.

Memandangkan sempadan antara negeri telah dibuka semula, digandingkan pula dengan ketibaan jentera kruiser baharu ini – ayuh kita terus jadikan Hidup Sebuah Pengembaraan
dalam normal baharu, pastinya tanpa membelakangkan keselamatan.”

BMW R 18 Bagger dan BMW R 18 Transcontinental baharu menggandingkan kuasa “Big Boxer” yang mengagumkan dengan konsep casis serba klasik berdasarkan model-model terdahulu, termasuk aneka kelengkapan eksklusif, serta reka bentuk yang memukau.

BMW R 18 Bagger akan membekalkan kepuasan emotif yang sebenar diinginkan oleh para peminat motosikal. Manakala BMW R 18 Transcontinental menampilkan pelbagai elemen reka bentuk yang diperhalusi serta teknologi motosikal moden yang membezakannya sebagai jentera yang ideal bagi perjalanan jarak jauh – biar secara solo atau bersama pembonceng dan muatan.

Memperhalusi perwatakan jentera klasik “Big Boxer”

BMW R 18 Bagger dan BMW R 18 Transcontinental baharu mempersembahkan siluet memanjang berbentuk titis air yang menawan.

Seperti kruiser terdahulu yang dirumus untuk menjelajah, penampilan BMW R 18 Bagger dan BMW R 18 Transcontinental mencakupi elemen-elemen yang bergaya seperti bingkai gulung berkembar, aci universal dengan saduran nikel berglos serta perumah klasik bagi kotak gear gandar belakang, membayangkan jentera “Big Boxers” BMW terdahulu yang bertaraf ikonik.

Pelitup tangki bahan api yang boleh dikunci juga turut dirangkumkan. Hadir secara eksklusif dalam varian “First Edition”, kedua-dua model ini menyediakan kelengkapan
tambahan bergred tinggi yang meliputi pelbagai komponen krom.

Bukan itu sahaja, ia turut didatangkan dengan kemasan permukaan yang istimewa, sulaman berkualiti tinggi dan inskripsi “First Edition” pada kedua-dua bekas muatannya.

Harga jualan (atas jalan, tanpa insurans, berserta Waranti 3 Tahun Baharu dan Program
Bantuan Tepi Jalan 3 Tahun oleh BMW Motorrad Malaysia) BMW R 18 Bagger dan BMW R 18
Transcontinental ialah:

BMW R 18 Bagger Baharu RM186,500.00
BMW R 18 Transcontinental Baharu RM198,500.00