Kaji selidik Zurich Malaysia mendapati rakyat Malaysia tidak bersedia menghadapi musim tengkujuh. Hanya satu daripada tiga pemandu (34%) dilindungi daripada kerugian akibat ribut (termasuk pokok tumbang) dan hanya 29% daripada tanah runtuh

Zurich Malaysia mendapati bahawa 59% daripada pemandu Malaysia masih tidak mempunyai kelindungan yang mencukupi terhadap kerosakan akibat banjir sebagai salah satu daripada penemuan Kaji Selidik Impak Pandemik terhadap Perlindungan.

Pengguna jalan raya mungkin mengalami kerugian besar jika mereka tidak bersedia
dan beranggapan bahawa mereka tidak akan terjejas.

Dapatan ini membimbangkan kerana Malaysia kerap mengalami musim tengkujuh, seperti musim Monsun Timur Laut yang melanda dari November hingga Mac tahun depan.

Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengeluarkan amaran kepada beberapa buah negeri yang dijangka mempunyai taburan hujan yang lebih tinggi daripada purata antara 450 mm dan 1,000 mm pada bulan November dan Disember.

Selain banjir, tanah runtuh dan pokok tumbang adalah risiko yang pengguna jalan raya Malaysia tidak bersedia menghadapi. Hanya satu bagi setiap tiga pengguna jalan raya (34%) mempunyai perlindungan untuk ribut, termasuk pokok tumbang, dan hanya 29% dilindungi untuk tanah runtuh.

Kaji selidik ini juga mendapati bahawa dari segi pembaharuan insurans dan takaful kenderaan, rakyat Malaysia masih menggunakan ejen untuk berbuat demikian. Daripada 990 responden yang memiliki kenderaan bermotor, 38% memilih untuk menggunakan ejen walaupun terdapat portal dalam talian.

Namun begitu, portal dalam talian adalah kaedah yang paling popular dengan 43% daripada pengguna jalan raya menggunakannya. Ini menunjukkan kepentingan teknologi dalam pasaran hari ini.

Sementara itu, 16% daripada rakyat Malaysia memilih untuk mengunjungi kios atau pejabat pos bagi memperbaharui insurans atau takaful kenderaan mereka.

Dari segi perlindungan insurans dan takaful kenderaan, trend yang perlu diberi perhatian ialah kebanyakan rakyat Malaysia memilih pelan yang meliputi semua pemandu (36%), dan bukannya hanya pemandu yang dinamakan dalam polisi (34%).

Ini amat berguna jika pemilik kereta berada di dalam kenderaan tetapi tidak memandu, seperti mengambil gilaran untuk memandu dalam perjalanan rentas negeri yang panjang.

Sesetengah rakyat Malaysia mungkin mendapatkan perlindungan semata-mata untuk memiliki insurans atau takaful kenderaan yang sah supaya dapati memperbaharui cukai jalan. Ini kerana 47% daripada responden melaporkan mereka tidak pasti kandungan pelan perlindungan mereka.

Dijalankan pada September 2021, kaji selidik tersebut melibatkan 1,201 rakyat Malaysia di seluruh negara, di mana 990 daripadanya adalah pemilik kenderaan. Ia merupakan usaha Zurich Malaysia untuk memahami landskap pengguna tempatan dan mereka bentuk pelan perlindungan yang sesuai dengan keperluan gaya hidup supaya dapat membina masa depan yang lebih cerah bersama.