Komuniti perubatan sebulat suara menyeru agar peraturan diwujudkan bagi ekosistem pengurangan kemudaratan tembakau.

Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM), sebuah badan kebangsaan yang mewakili doktor institusi swasta di Malaysia, menamatkan persidangan pengurangan kemudaratan tembakau (THR) pertamanya pada hujung minggu lepas dengan dihadiri lebih 150 peserta daripada komuniti perubatan.

Seramai 13 penceramah termasuk tiga pakar THR antarabangsa, membentangkan kajian, pendapat dan cadangan mengenai THR. 

Dr Steven Chow, Presiden FPMPAM berkata, “Kami berbesar hati kerana persidangan THR pertama di Malaysia ini telah dihadiri oleh rakan-rakan pengamal kesihatan kami. Persidangan itu mengetengahkan pandangan yang berbeza, tetapi mencapai persetujuan bahawa kemudaratan daripada merokok adalah isu sejagat yang telah lama wujud dan perlu ditangani dengan berkesan.”

“Lebih daripada 1.1 bilion orang merokok di seluruh dunia, mengakibatkan penyakit kardiovaskular, pelbagai jenis kanser, dan penyakit paru-paru obstruktif.

“Di peringkat global, wabak senyap ini telah meragut kira-kira lima juta nyawa setiap tahun. Angka ini akan meningkat kepada 10 juta menjelang 2030 dengan beban kematian semakin dirasai oleh banyak negara membangun dan kurang maju.”

“Komuniti perubatan mempunyai peranan penting dalam memerangi ketagihan tembakau. Secara kolektif, kami bersetuju bahawa THR mempunyai potensi untuk menyumbang ke arah berhenti merokok yang menjadi matlamat utama komuniti kami.” 

Menyasarkan kepada ahli komuniti saintifik, kesihatan awam dan perubatan, persidangan maya itu membuka ruang pertukaran idea, pengetahuan, penemuan penyelidikan dan cadangan untuk penerimaan THR di Malaysia. 

Penceramah tempatan termasuk Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, Timbalan Dekan dan Pensyarah (Jaringan & Penjanaan), Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia; Dr Sivakumar Thurairajasingam Timbalan Ketua (Pendidikan), Profesor Psikiatri dan Perubatan Psikologi Monash University; dan Dr Lily Diana, Pakar Perunding Respiratori, Hospital Pantai Kuala Lumpur. 

Selain pakar profesional perubatan tempatan, persidangan itu turut menampilkan tiga penceramah antarabangsa iaitu Karl Fagerstrom dari Sweden yang merupakan  ahli  Persatuan Penyelidikan Nikotin dan Tembakau serta Timbalan Editor Penyelidikan Nikotin & Tembakau; Dr. Konstantinos Farsalinos, Penyelidik Bersama, Jabatan Kesihatan Awam dan Masyarakat Universiti Patras (Greece); dan Clive Bates yang merupakan bekas Pengarah  Action on Smoking and Health (UK) dan juga pakar berkaitan pengurangan kemudaratan tembakau. 

“Langkah pertama dalam kejayaan pelaksanaan strategi THR di Malaysia adalah kawal selia yang menyeluruh terhadap keseluruhan ekosistem. Peraturan mestilah berdasarkan bukti kukuh, pesakit dan juga membenarkan perokok dewasa mengakses maklumat THR dan pilihan rawatan.

“Persidangan itu menyeru agar pengamal perubatan am dilatih khas dan menawarkan kaunseling serta rawatan berhenti merokok sebagai sebahagian daripada amalan mereka. Pada penghujung hari, langkah kesihatan penduduk perlu diterjemahkan kepada pesakit yang ingin mendapatkan bantuan daripada doktor mereka.”

“Penglibatan bersama semua pihak berkepentingan dan pengguna adalah penting untuk memastikan peraturan/undang-undang akan berkesan kepada individu yang ingin berhenti merokok,” katanya lagi.