UDA Holdings Berhad (UDA), syarikat pemaju hartanah dan pengurusan aset berperanan membangunkan kawasan bandar sejak di awal penubuhannya sehingga kini. Usaha ini selari dengan hasrat kerajaan dalam mengimbangkan sosioekonomi di kawasan bandar seterusnya mempergiat urbanisasi.

Sejak penubuhan UDA di Wilayah Utara, sejumlah 18,486 unit kediaman dan 1,144 unit komersial telah dibangunkan di mana 99% kediaman dan 93% komersial dimilki oleh Bumiputera.

Penglibatan UDA bagi penempatan semula penduduk asal Tanjong Tokong bermula pada tahun 1972 di kawasan seluas 43 ekar di mana 25 ekar telah dibangunkan dan baki 18 ekar bakal dibangunkan sebagai penempatan semula (rumah ganti), rumah mampu milik dan rumah kos sederhana.

Pada tahun 1998 pemberian tanah reklamasi seluas 54 ekar adalah untuk menampung sebahagian kos pembangunan penempatan semula penduduk Tanjong Tokong.

Sehingga tahun 2020, UDA telah menyelesaikan sejumlah 1,486 unit penempatan semula penduduk asal Tanjong Tokong dan UDA sedang melaksanakan pembangunan untuk baki 650 keluarga yang dijangka siap dalam tempoh 4 tahun.

Hampir keseluruhan unit-unit kediaman penempatan semula di Tanjung Tokong diberi secara percuma di peringkat penduduk asal (BPTOL), anak-anak BPTOL yang layak dan penyewa unit rumah yang layak.

UDA juga tiada perancangan untuk merobohkan penempatan rumah-rumah pangsa yang telah dibina kerana ianya telah menjadi hak milik penduduk tersebut bagi memastikan kepentingan penduduk di Tanjong Tokong terjaga.

Sejak tahun 1996, UDA tidak lagi mendapat bantuan kewangan dari kerajaan. Oleh yang demikian, pembangunan secara usaha sama antara UDA dan syarikat lain adalah salah satu inisiatif bertujuan membantu UDA dalam kelangsungan operasi perniagaan.

UDA komited memikul amanah bagi membantu Bumiputera khususnya dalam pemilikan dan pembabitan mereka di kawasan bandar. Dalam waktu yang sama, UDA juga perlu mengimbangkan antara keuntungan dan tanggungjawab bagi membantu memperkasakan golongan Bumiputera.

UDA juga merupakan perintis kepada pembangunan tanah wakaf di Pulau Pinang yang menjadi model pusat komersial dan kediaman pertama seumpamanya di negara ini. Pembangunan tanah wakaf memberi peluang kepada umat Islam untuk memiliki hartanah.

Antara pembangunan tanah wakaf dengan usaha sama Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAIPP) yang telah dibina di sekitar Pulau Pinang adalah Wakaf Seetee Aisah (Taman Warisan Impian), Legasi Casarina dan Wakaf Mohammad Hashim.

Usaha sama UDA dengan MAIPP juga membantu meningkatkan nilai hartanah wakaf seterusnya memperkukuh fungsi MAIPP dalam membangunkan umat Islam di Pulau Pinang.