Dengan persaingan bagi juara keseluruhan masih terbuka, Festival TOYOTA GAZOO Racing dan pusingan akhir Vios Challenge Musim 4 bakal menjadikan hujung minggu ini (20-21 November) penuh debaran di Litar Antarabangsa Sepang.

Tambahan pula, ini buat julung kalinya “perlumbaan dalam gelap” diadakan! Dengan tiada pelumba yang jelas mendahului di hadapan selepas dua pusingan atau empat perlumbaan sebelum ini, tidak kurang lima pesaing berpeluang menjadi juara keseluruhan dalam kesemua empat kategori perlumbaan yang dipertandingkan, termasuk Super Sporting bagi
pelumba professional dan elit; Sporting untuk pelumba amatur; Promotional untuk selebriti
tempatan; dan Rookie untuk pelumba muda.

“Musim 4 akan dikenang sebagai antara yang paling mencabar ekoran wabak Covid-19 dan, pada tahap tertentu, ia mungkin memberi kesan kepada prestasi pasukan dan pelumba.

Selepas Pusingan 1 pada Februari lalu, perintah kawalan pergerakan (PKP) terpaksa dikuatkuasakan dan berlanjutan sehingga lapan bulan, menyebabkan Pusingan 2 hanya dapat diadakan bulan lalu (Oktober) dan pusingan akhir pula pada hujung minggu ini,” kata Presiden UMW Toyota Motor Ravindran K.

“Di satu sisi lain, ia juga menjadikan persaingan bertambah sengit. Tiada seorang pun pelumba yang mempunyai kelebihan yang tidak dapat diatasi dan juara hanya dapat ditentukan pada pusingan akhir.

Menambahkan lagi cabaran pada pelumba, ini kali pertama Vios Challenge diadakan pada waktu malam!”

Ravindran mengucapkan penghargaan kepada Kerajaan, Kementerian Belia dan Sukan, Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) dan Litar Antarabangsa Sepang atas kebenaran untuk sukan bermotor kembali diteruskan dan menetapkan langkah yang ketat bagi menghalang penularan wabak Covid-19.

Pada masa sama, UMW Toyota Motor telah melaksanakan langkah keselamatan tambahan, termasuk mengehadkan perlumbaan hanya kepada tetamu dan petugas penting, dengan perlumbaan disiarkan secara langsung secara dalam talian kepada para peminat.

“UMW Toyota Motor komited dengan siri perlumbaan ini dan kami amat gembira dapat menamatkan musim kali ini walaupun di tengah waktu yang mencabar. Kejayaan Vios Challenge sebahagian besarnya atas sokongan pemandu dan pasukan yang mengambil bahagian dan juga peminat sukan bermotor, dan saya ingin menyampaikan penghargaan tak terhingga kerana menjadikannya siri perlumbaan yang terbaik dan paling diterima di Malaysia.”