Yang Di Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dato Seri Utama Ahmad Fuzi Abdul Razak menerima kunjungan hormat daripada Pengerusi NGO Antarabangsa yang juga merupakan Profesor Adjung dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican di pejabatnya hari ini.

Pertemuan empat mata selama kira-kira dua jam itu membincangkan pelbagai isu yang boleh dimanfaatkan untuk kepentingan dan pembangunan Negeri Pulau Pinang.

Menurut Mustapha, antara perkara yang disentuh ketika kunjungan berkenaan ialah isu-isu semasa, serantau dan isu antarabangsa.

Mustapha (kiri) membincangkan pelbagai isu dengan TYT Yang Di Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dato Seri Utama Ahmad Fuzi Abd Razak.

“Isu pandemik Covid-19 juga disentuh dimana ramai rakyat yang terkesan termasuklah mereka yang kehilangan pekerjaan dan sektor perniagaan yang terjejas.

“Kerajaan Pulau Pinang banyak membuka peluang-peluang pelaburan serta pelancongan domestik dan antarabangsa. Kehadiran pelabur-pelabur dari luar negara amatlah di alu-alukan di negeri ini,” katanya.

Datuk Dr Mustapha pernah berkhidmat di pelbagai jabatan kerajaan termasuklah di Wisma Putra dan pernah menjadi Penasihat Ekonomi serta Ketua Eksekutif Syarikat Berkaitan Kerajaan, di Terengganu.

Yang Di Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dato Seri Utama Ahmad Fuzi Abdul Razak menyampaikan buku cenderamata kepada Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican (kanan)

Selain itu, pengalaman yang ada pada beliau itu amat luas dan boleh digunakan sebagai sumber rujukan. Mustapha turut terlibat dalam ceramah sukarelawan, motivasi dan kerjaya di universiti-universiti awam Malaysia bagi memberi semangat jati diri kepada para graduan.

Beliau sentiasa menawarkan diri bagi membantu anak muda yang tidak mempunyai pekerjaan supaya mencari dan merebut peluang dengan memulakan perniagaan atau menceburi pelbagai bidang kemahiran yang ditawarkan oleh Kerajaan.