Nampak gaya pengeluar peranti terkemuka dari China ini tidak duduk diam begitu sahaja. Selepas kejayaan memperkenalkan model pertengahan Oppo Reno6 Z, sekali lagi mempertaruhkan peranti terbaharu iaitu Oppo A95.

Ia merupakan sebuah lagi peranti pintar dengan janaan cip dengan skrin berukuran 6.43-inci AMOLED FHD+ dengan kadar segar semula standard.

Peranti kali ini masih mengekalkan ciri penggunaan sistem tri-kamera yang kelihatan kemas ditempatkan dalam modul kamera berbentuk segi empat.

Paling ketara ialah terdapat tulisan AI 48 MP Triple Camera pada bingkai kamera dibelakang peranti ini yang menunjukkan ia menggunakan sensor utama 48 Megapixel.

Rekabentuk

Rekaan peranti ini agak menarik kerana menggunakan bingkai logam yang dibulatkan dan dipadankan dengan panel belakang plastik manakala bonggol kamera berbentuk empat segi kelihatan tidak terlalu menonjol.

Paling mencuri perhatian ialah warna refleksi atau berkilau-kilau pada bingkai belakang peranti ini yang sentiasa menjadi tarikan.

Peranti ini amat selesa dipegang kerana panel belakangnya menggunakan permukaan plastik yang kasar sekali gus mengurangkan kesan cap jari atau habuk.

Seterusnya, butang kuasa diletakkan pada sisi kanan, sementara itu butang laras audio pula pada sisi kiri.

Terdapat slot untuk SIM pada sisi kiri dengan keupayaan menyokong 2 SIM nano dan satu kad mikro SD yang boleh digunakan secara serentak.

Melihat kepada rekaan dibahagian bawah pula dilengkapi bicu audio 3.5mm bersama dengan sebuah pembesar suara mono.

Bagaimanapun, tiada sokongan audio stereo dan sistem audio Dolby Atmos yang biasanya ada pada peranti kelas pertengahan buatan Korea Selatan.

Skrin

Melihat kepada skrin, paparan warna pada skrin 6.43-inci AMOLED dengan resolusi FHD+ menghasilkan warna yang menarik dan menyerlah. Fungsi menatal pada peranti ini mudah digunakan sama ada ketika jari digerakkan dari atas ke bawah dan sebaliknya.

Jika mahu menggunakan mod hitam, tekan sahaja butang pada skrin dan apa yang menarik pada peranti Oppo ini ialah tersedianya butang Screen Recording yang mana anda boleh merekod video YouTube misalnya atau siaran langsung sesuatu majlis yang dijalankan menerusi dalam talian seperi facebook.

Ciri ini adalah satu kelebihan yang ada pada Oppo A95 dan amat praktikal ketika kebanyakan pengguna banyak bergantung kepada peranti dalam segala urusan harian khususnya dalam era pandemik COVID-19.

Peranti ini turut mempunyai pengimbas cap jari terbina di bawah skrin dari jenis optikal selain dilengkapi cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 662 SoC dan System Booster.

Kamera 

Perkara pertama yang sering diutamakan apabila memiiki peranti pintar ialah ciri kameranya.

Oppo A95 dilengkapi sistem tri-kamera pada bahagian belakang dengan lensa utama bersaiz 48MP, lensa macro 2MP dan lensa Depth 2MP manakala kamera hadapan pula dilengkapi 16 MP.

Sokongan zoom optikal hanya pada kadar 10 kali ganda sahaja manakala ciri rakaman video pula adalah sehingga resolusi 1080P atau 720p EIS pada 30 frame per saat (fps) dengan sokongan ciri Steady Video.

Terdapat juga ciri gerakan perlahan (slo-mo) dalam rakaman video disertakan dalam peranti ini manakala ciri SoLoop membolehkan anda mencipta video dengan cara kreatif.

Ciri kemampuan kamera pada peranti ini amat baik pada sebuah peranti kelas pertengahan kerana hasil gambar kelihatan jelas dan nyata khususnya dalam keadaan pencahayaan yang baik termasuk ketika zoom digital digunakan.

Apa yang menarik ialah anda boleh mengaktifkan ciri HDR dan AI pada kamera peranti ini yang memberikan hasil gambar lebih menarik serta jelas.

Untuk menyimpan semua gambar ini tidak mempunyai masalah kerana ia dipadankan dengan memori 6GB RAM (tambahan 2GB RAM), storan dalaman 128GB dan bateri berkapasiti 5000mAh yang menyokong pengecasan pantas 33W.

Jika mahu merakam gambar pada waktu malam tekan sahaja mod Night dan hasilnya gambar kelihatan terang serta menarik.

Perisian

Peranti ini dipadankan dengan versi Android 11 dan sistem operasi ColorOS 11.1. Sistem memori 6GB yang ditawarkan adalah cukup besar untuk sebuah peranti kelas pertengahan.

Menggunakan peranti ini selama 3 minggu dirasakan lancar dan pantas, Prebiu.com cukup bertuah kerana terpilih dikalangan media terawal menguji peranti ini yang belum dilancarkan secara rasmi di pasaran.

Pelbagai ciri menarik turut disertakan seperti mod kanak-kanak, mengubah keseluruhan tema peranti, gestur, Oppo Share dan sokongan multi window.

Keupayaan cip MediaTek MT6853 Dimensity 800U 5G (7 nm) dan pemprosesan jenis Qualcomm SM6115 Octa-core sudah cukup memadai untuk menggunakan peranti ini ketika bermain game seperti Mobile Legend ataupun PUBG Mobile.

Apa yang menarik ialah tiada isu pemanasan yang melampau dikesan apabila menggunakan peranti ini dalam tempoh yang panjang.

Peranti ini juga berfungsi dengan cemerlang apabila aplikasi seperti Waze dan Maps diaktifkan selain aplikasi-aplikasi lain tanpa sebarang masalah.

Bateri

Keupayaan bateri 5000 mAh juga mampu menjadikan peranti ini dapat bertahan sepanjang hari pada penggunaan sederhana. Bateri boleh dicas semula dalam masa sekitar 60 minit menerusi pengecas 33W yang disertakan dalam kotak.

Peranti ini menggunakan kabel jenis USB-C yang mampu memberikan pengecasan yang pantas atau memindahkan sebarang maklumat ke dalam komputer.

Pengguna boleh mengecas peranti ini sehingga 30 peratus dalam tempoh hanya 15 minit atau cas penuh pada 72 minit.

Kesimpulan

Sebagai sebuah peranti kelas pertengahan, prestasi yang diberikan adalah memuaskan dan masih lagi lancar sungguhpun tanpa sokongan skrin 90Hz.

Dari segi penawaran ciri, Oppo berjaya menawarkan pengalaman yang berbeza berbanding peranti keluaran lain. Setiap peranti memiliki ciri tersendiri dan apa yang penting ialah ‘ciri mesra pengguna’ yang perlu ada sebagai satu kaedah menarik perhatian pengguna masa kini.

Dalam setiap pembelian peranti ini, anda akan dibekalkan dengan fon telinga dan set lengkap wayar pengecas jenis USB-C.

Ini kerana pasaran peranti kelas pertengahan amat berdaya saing dan harus menawarkan ciri tambahan.

Bagaimanapun, ciri yang boleh dipuji pada peranti Oppo A95 ini ialah rekaan yang selesa ditangan dengan berat hanya 175gram dan nipis hanya 7.95mm, skrin Amoled yang cantik dan aplikasi siap bina yang ditawarkan kepada pengguna. Dua pilihan warna menarik iaitu Glowing Rainbow Silver dan Glowing Starry Black ditawarkan kepada pengguna.

Ciri baterinya sebesar 5000 mAh memberi kelebihan kepada mereka yang ‘sentiasa melekat’ pada media sosial atau ‘kaki gamers’ untuk bermain game bersama rakan.

Selain itu, mungkin Oppo boleh memperbaiki ciri membuka skrin peranti ini pada satu hari nanti dengan hanya menekan jari beberapa kali pada skrin berbanding sekarang perlu menekan butang yang agak mengambil masa.

Harga

Sebagai ahli terbaharu bagi OPPO Siri A, OPPO A95 padat dengan siri inovasi daripada segi kedua-dua perkakasan dan perisian, menggabungkan prestasi kecekapan tinggi, dengan rekabentuk yang menarik perhatian untuk memenuhi pelbagai keperluan harian. OPPO A95 berharga RM1,099.

Pra tempahan 4 bermula dari 15 November 2021 sehingga 19 November 2021. Setiap pembelian pra tempahan akan layak untuk mendapatkan Enco Buds bernilai RM159 dengan hanya menambah RM1! Selain itu, ahli My OPPO boleh menebus tawaran terhad kod promo RM50 5 pada OPPO aplikasi.

Bukan itu sahaja, pelanggan juga boleh mendapatkan 6 bulan jaminan tambahan bernilai RM49.90 dan OPPO VOOC Powerbank 6 bernilai RM229 apabila membeli OPPO A95 di Kedai Atas Talian Rasmi OPPO dan mengambilnya di Kedai-Kedai Jenama OPPO.

Kini anda boleh memilih untuk membuat pra tempahan di semua My OPPO Space, Kedai-Kedai Jenama OPPO, Kedai Atas Talian Rasmi OPPO, semua Pengedar Sah OPPO, Kedai Atas Talian Sah OPPO, Rakan Rangkaian Kedai dan Rakan e-dagang seperti Shopee, Lazada serta Astro Go Shop.

Jualan pertama OPPO A95 akan bermula dari 20 November 2021 dan akan tersedia di semua My OPPO Space, Kedai-Kedai Jenama OPPO, Kedai Atas Talian Rasmi OPPO, semua Pengedar Sah OPPO, Kedai Atas Talian Sah OPPO, Rakan Rangkaian Kedai dan juga Rakan-rakan Kongsi Telco.